Topik kaum, agama paling tinggi dibincang semasa PRN Melaka

SHAH ALAM – Topik kaum dan agama menjadi isu paling tinggi diperbincangkan sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang diadakan pada akhir tahun lalu.

Laporan pemantauan sosial media berkaitan politik kaum dan agama dalam PRN Melaka oleh pertubuhan hak asasi manusia, Pusat Komas menunjukkan topik tersebut menjadi perkara paling banyak disentuh dalam tempoh berkempen diikuti isu Covid-19 dan lompat parti.

Pengarah Program Pusat Komas, Dr Ryan Yumin Chua berkata, jumlah ‘mention’ (mesej) dan ‘engagement’ (interaksi) bagi topik kaum serta agama masing-masing adalah sebanyak 12,800 dan 1.12 juta.

Beliau berkata, topik berkaitan lompat parti pula membabitkan sebanyak 11,000 ‘mention’ dan 476,000 ‘engagement’ manakala Covid-19 merekodkan 7,400 ‘mention’ dan 281,000 ‘engagement’.

“Apabila anda melihat dari segi ‘mention’ dan ‘engagement’ dalam talian, jumlah engagement yang tinggi itu sedikit sebanyak menunjukkan rakyat Malaysia dan masyarakat umum pada dasarnya memiliki kecenderungan kuat terhadap topik kaum dan agama,” katanya ketika membentangkan laporan tersebut secara dalam talian pada Isnin.

Disebabkan oleh kekangan prosedur operasi standard (SOP) mencegah penularan Covid-19, parti politik menekankan sebahagian besar kempen mereka di platform dalam talian seperti media sosial.

Mengulas lanjut, Yumin berkata, dalam menilai isu diperbincangkan di bawah topik isu kaum dan agama, tinjauan mendapati jumlah perbincangan untuk isu berkaitan provokasi agama adalah paling tinggi diikuti isu polisi berasaskan kaum serta perbahasan mengenai kaum serta agama.

Menurutnya, topik provokasi agama yang dikesan ialah isu kempen politik berasaskan agama dan penyatuan penganut serta isu lain berkaitan agama seperti jenama wiski ‘Timah’, penutupan kedai judi 4D di Kedah dan halangan minuman keras.

Dalam membuat perbandingan mengenai mesej disampaikan oleh tiga gabungan parti politik dalam PRN tersebut, beliau berkata, Perikatan Nasional (PN) merekodkan mesej berkaitan kaum dan agama sebanyak 56 peratus diikuti politik (25 peratus) dan ekonomi (19 peratus).

Barisan Nasional (BN) pula mencatatkan mesej politik tertinggi iaitu 54 peratus diikuti kaum dan agama (25 peratus) dan ekonomi (21 peratus) manakala Pakatan Harapan pula 48 peratus politik, 39 peratus kaum dan agama serta 13 peratus ekonomi.

Mengulas mengenai strategi komunikasi parti dan gabungan politik yang terbabit dalam PRN tersebut, beliau memaklumkan, BN dan UMNO menjadi yang paling tinggi menekankan naratif kepentingan dan hak bumiputera di samping agenda bahasa kebangsaan.

Sementara itu, Pas yang merupakan parti di bawah Perikatan Nasional (PN) pula menjadi parti tertinggi yang menyentuh mengenai topik agama disebabkan oleh penekanannya terhadap kempen penyatuan umat dan sokongan terhadap parti Islam.

“Sudah tentu perkara ini agak membimbangkan. Dua daripada gabungan (PN dan BN) yang bertanding dalam PRN Melaka adalah sebahagian daripada kerajaan persekutuan.

“Penting untuk disentuh bahawa di peringkat persekutuan mereka (kerajaan) sedang mencari dasar yang lebih inklusif seperti Keluarga Malaysia…untuk menggalakkan perpaduan nasional dengan layanan sama rata kepada setiap rakyat Malaysia.

“…tapi kalau kita lihat kepada mesej politik yang disampaikan, adalah membimbangkan kerana kebanyakannya adalah berpaksi kepada kaum dan agama,” ujarnya.

Sehubungan itu, Yumin berkata, pihaknya menggesa agar parti politik dan pemimpinnya supaya berhenti mengeksploitasi kaum dan agama dalam kempen dan aktiviti politik mereka terutamanya dalam PRN Johor yang akan datang.

Dalam pada itu, beliau berkata, Pusat Komas akan meneruskan pemantauan tersebut pada PRN Johor yang akan datang.

Projek pemantauan sosial berkaitan politik kaum dan agama itu dijalankan oleh Pusat Komas dengan kolaborasi bersama syarikat data maklumat Zanroo Malaysia bermula 1 November hingga 22 November tahun lalu semasa PRN Melaka.

Projek itu membabitkan pemantauan terhadap perbincangan awam, kenyataan dan tindakan ahli dan parti politik di sosial media untuk dinilai sama ada ia melibatkan tanda-tanda politik perkauman dan agama.

Terdapat sebanyak 38 kata kunci digunakan bagi memantau topik tersebut antaranya UMNO, Bersatu, DAP, Pas, PKR, Cina, Melayu, India, Pendatang, Artikel 153, Islam, sekolah vernakular, hak istimewa, tanah dan bumiputera.

 


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Rumah Kampung di Bota berusia lebih 100 tahun dialih ke Alor Setar

Pesawat MAS Mendarat Sewaktu Taufan Eunice Melanda UK (Video)

https://mykmu.net/2022/02/20/ogy-belasah-nazief-viral-sehingga-ke-rusia-video/​

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker