Pejuang, Warisan tambah ‘keserabutan’ pembangkang di mata pengundi?

MENJELANG Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, persaingan politik di antara parti-parti bertanding kelak bakal dimeriahkan lagi dengan kehadiran parti-parti baharu yang muncul selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Selain Parti Ikatan Demokratik Muda (Muda) yang terlebih dahulu mengorak langkah bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), beberapa parti baharu lain seperti Parti Pejuang Tanahairku (Pejuang), Parti Warisan (Warisan) dan Parti Bangsa Malaysia (PBM) sudah mengesahkan hasrat mencuba nasib di gelanggang PRN Johor.

Dengan penambahan jumlah pengundi baharu termasuk pengundi berusia 18 tahun ke atas mencecah 750,000 orang, tidak hairan PRN Johor pada 12 Mac kini dilihat sebagai medan pertempuran sangat mustahak untuk dijadikan ‘testing ground’ sebelum menghadapi PRU15.

Terkini, Pejuang mendedahkan bakal bertanding 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, manakala Warisan masih berteka-teki mengenai bilangan kerusi ditandingi meskipun kedua-dua parti itu sehingga kini belum memutuskan sama ada bersendirian atau membentuk kerjasama politik.

Pada Selasa, Pengerusi Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam satu warkah kepada rakyat Johor menegaskan tujuan parti itu bertanding pada PRN Johor adalah untuk menghalang pemimpin kluster mahkamah dan kleptokrasi daripada UMNO daripada kembali berkuasa dan melepaskan diri daripada kes mahkamah dihadapi mereka.

Warisan yang baru melebarkan sayap ke semenanjung Malaysia pula berkeyakinan parti itu mampu menjadi alternatif rakyat bagi mewujudkan sebuah kerajaan stabil, berintegriti serta tidak terikat sentimen perkauman dan keagamaan.

Dengan pengaruh dua parti yang pertama kali menyertai pilihan raya itu bakal teruji di negeri Harimau Selatan, adakah Pejuang dan Warisan mampu menghadirkan cabaran kepada parti-parti lebih dominan?

Secara praktikalnya, kehadiran Pejuang dan Warisan dalam PRN Johor mencerminkan satu ujian permulaan kepada kedua-dua parti itu mencari pengaruh di keseluruhan 56 kerusi DUN negeri itu.

Untuk Warisan, ia merupakan satu langkah permulaan berani untuk menguji pengaruh dan kewibawaan parti itu dalam kalangan pengundi semenanjung.

Bagi Pejuang pula, kehadiran mereka diperlihatkan sebagai satu alternatif kepada para pengundi konservatif Melayu Islam.

“Bagaimanapun, saya tidak nampak kedua-dua parti ini dapat menambat hati pengundi-pengundi Johor memandangkan sokongan majoriti pengundi konservatif Melayu Islam negeri itu masih didominasi UMNO, Pas dan sebilangannya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Bagi segmen pengundi bukan Melayu, mungkin parti seperti Warisan akan mendapat kelebihan tetapi secara keseluruhannya sokongan mereka masih terarah PH dan Muda.

“Namun begitu, sekiranya kedua-dua parti ini dapat menampilkan calon tokoh politik berpengalaman, dekat dengan hati pengundi serta menjalin kerjasama dengan koalisi pembangkang lain, peluang untuk parti-parti ini menang mungkin ada,” ujar Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Syed Agil Alsagoff kepada Sinar Premium pada Rabu.

Bagaimanapun, bagi beberapa pemerhati politik tempatan, kehadiran Pejuang dan Warisan ke PRN Johor sebenarnya menambahkan lagi ‘keserabutan’ blok pembangkang pada mata pengundi.

Bahkan secara psikologinya, apabila parti-parti dalam PH dan Muda sendiri pun dilihat tidak sepakat dalam memutuskan penggunaan lambang pilihan raya serta agihan kerusi, keyakinan rakyat Johor bahawa blok pembangkang mampu mewujudkan kerajaan stabil semakin terhakis.

“Berdasarkan kajian lapangan di beberapa DUN Johor, banyak responden memaklumkan kewujudan banyak parti politik sebenarnya memaparkan ‘keserabutan’ terutama dari pihak pembangkang.

“Dengan rakyat Johor lebih bijak menuntut pembentukan kerajaan negeri lebih stabil, secara psikologinya kecenderungan sokongan pengundi terarah kepada koalisi parti stabil dan tidak ‘messy’ seperti parti-parti kerajaan terutama BN.

“Hakikatnya, senario kegagalan pembangkang bersatu di bawah satu khemah menunjukkan mereka tidak memahami kehendak sebenar pengundi di Johor,” tegas Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar.

Lebih menarik, kajian lapangan Ilham Centre setakat minggu lalu juga mendapati kehadiran Pejuang dan Warisan sebenarnya dilihat akan memecahkan undi pengundi rasional dan atas pagar pengundi Johor yang sebelum ini diperolehi PH.

Dengan pengundi konservatif Melayu Islam dijangka terus mengekalkan sokongan terhadap parti dominan Melayu seperti UMNO dan Pas, calon-calon Pejuang juga berpotensi untuk hilang wang pertaruhan pilihan raya jika mereka bertegas untuk bergerak solo.

“Ilham Centre turut meramalkan kemungkinan besar pengundi Melayu, sama ada golongan konservatif, rasional, atas pagar dan muda, akan keluar mengundi lebih ramai pada PRN Johor kali ini berbanding PRN Melaka tahun lalu.

“Sekiranya benar, agak menarik untuk mengetahui ke manakah aliran sokongan pertambahan peratusan pengundi Melayu yang keluar mengundi akan ditumpukan sama ada berterusan menyokong UMNO-BN, beralih kepada PN atau diberikan kepada pembangkang,” kata Hisommudin lagi.

Berkenaan peluang Warisan, Hisommudin berpandangan tumpuan parti dipimpin bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sudah tentu untuk bertanding di kerusi majoriti pengundi bukan Melayu dan campuran.

Dengan parti itu kini menjadi tarikan bekas-bekas pemimpin DAP, UMNO dan Bersatu untuk meneruskan hayat politik masing-masing, kehadiran mereka menjadi nilai tambah kepada Warisan untuk bertapak di semenanjung.

“Namun berdasarkan logik perkiraan politik, bagi menumbangkan satu kebangkitan besar-besaran UMNO-BN, keutamaan pihak pembangkang adalah untuk mengelakkan pertembungan banyak penjuru.

“Justeru, Pejuang dan Warisan perlu menyatakan lebih awal pendirian mereka untuk bekerjasama dengan parti pembangkang lain. Mereka perlu mencontohi langkah politik Muda yang dilihat lebih berstrategik dalam menyelesaikan segala urusan kerjasama politik agar pengundi Johor dapat diuar-uarkan lebih awal,” kata Hisommudin lagi.

Pejuang, Warisan tambah ‘keserabutan’ pembangkang di mata pengundi?


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Rumah Kampung di Bota berusia lebih 100 tahun dialih ke Alor Setar

Pesawat MAS Mendarat Sewaktu Taufan Eunice Melanda UK (Video)

https://mykmu.net/2022/02/20/ogy-belasah-nazief-viral-sehingga-ke-rusia-video/​

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker