BN mahu pentadbiran yang kukuh dan stabil di Johor

PENGERUSI Barisan Nasional (BN) dan UMNO Johor, Datuk Hasni Mohammad mahu mengembalikan kegemilangan dan kestabilan seperti yang pernah dinikmati di negeri itu sebelum ini.

Beliau berkata, keputusan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) kerana mahu mewujudkan sebuah kerajaan negeri yang kukuh diperlukan untuk mentadbir seterusnya merangka lebih banyak pembangunan kepada rakyat Johor.

“Jadi bagaimana pembubaran DUN Johor ini dilihat susah sangat sehingga ada yang menyatakan tujuan tangguh dan bubar itu kerana saya sebagai menteri besar yang gila kuasa,” kata beliau.



Ikuti penjelasan beliau dalam wawancara oleh wartawan Sinar Harian, NOR AZURA MD AMIN dan SHAFIQ TINO di Kediaman rasmi Menteri Besar Johor, Saujana di Jalan Hassan Al-Attas baru-baru ini.

SINAR HARIAN: Kerajaan negeri pimpinan Datuk masih mempunyai satu majoriti, mengapa Dewan Undangan Negeri (DUN) tetap dibubar?

HASNI: Saya selalu cakap 56 ADUN, kerajaan negeri ada 28, manakala pembangkang iaitu Pakatan Harapan (PH) pula ada 27. Saya kira situasi ini sebagai hung government (kerajaan tergantung) atau tidak stabil.

Ditambah pula situasi Speaker daripada parti Amanah. Situasi itu menyebabkan kedudukan sama di DUN iaitu kerajaan dan pembangkang masing-masing ada 28 kerusi, seterusnya menyebabkan keadaan kerajaan negeri tergantung.



Sampai bila sidang DUN perlu bergantung kepada Speaker dalam keadaan bersetuju atau tidak? Ini soal maruah. Kerajaan negeri perlu ada keabsahan.

Johor suatu ketika dahulu cukup kukuh tidak pernah dipersoalkan keabsahannya. Tentunya saya juga perlukan kerajaan negeri seperti itu.

Saya juga tegaskan, situasi Melaka dan Johor jauh beza. Di Melaka itu hilang majoriti selepas wujud usaha membentuk satu pakatan baharu yang membawa kepada pembubaran DUN pada Oktober tahun lalu. Individu yang keluar daripada UMNO di sana cuba untuk menyertai parti pembangkang.

Tetapi berbeza situasinya di Johor. Di sini pembubaran DUN dilakukan kerana kerajaan negeri yang kukuh diperlukan untuk mentadbir seterusnya merangka lebih banyak pembangunan kepada rakyat Johor.



Jadi bagaimana pembubaran DUN Johor ini dilihat susah sangat sehingga ada yang menyatakan tujuan tangguh dan bubar itu kerana saya sebagai Menteri Besar yang gila kuasa.

Saya juga pasti semua parti politik di negara ini hendakkan kuasa. Kuasa berkenaan ada pada kerajaan, bukan pada pembangkang.

Apa beza mereka (pembangkang) tandatangan memorandum persefahaman dengan kerajaan? bukankah itu mereka juga hendak kuasa. Jika tidak mahu kuasa jangan tandatangan memorandum, mereka boleh sahaja sokong Perdana Menteri sama ada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atau Tan Sri Muhyiddin Yassin.

— Benarkah PRN Johor dikaitkan dengan kluster mahkamah?



Kluster mahkamah tiada kena mengena langsung dengan keputusan bubarkan DUN yang membawa kepada PRN Johor diadakan. Ini semua pada saya gimik politik murahan yang cuba dilemparkan kepada BN.

Apakah dengan kemenangan BN di Melaka pada PRN di sana pada November lalu mempengaruhi perbicaraan dan keputusan kluster mahkamah ini?

Saya tidak lihat perkara itu berlaku sama sekali. Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak masih hadir perbicaraan dan keputusan mahkamah sama sekali tidak berubah disebabkan BN menang dalam PRN.

Banyak pihak pertikai keabsahan kerajaan negeri termasuk kaitkan PRN Johor dengan tangan-tangan ghaib. Jika diimbas kembali sejarah Johor banyak wujudkan peluang pekerjaan dan ekonomi yang stabil disebabkan ketika itu adanya sebuah kerajaan yang stabil.



Saya tidak akan cakap BN boleh menang semua kerusi sama seperti zaman Tan Sri Muhyiddin Yassin jadi Menteri Besar atau ketika Tan Sri Abdul Ghani Othman.

Kita semua menjunjung demokrasi maka saya bersedia memimpin kerajaan negeri dengan adanya wakil pembangkang di dalam DUN. Pendekatan semak dan imbang itu yang terbaik kepada rakyat.

 

— Berkenaan calon BN, adakah akan berlaku tindakan menutup Pusat Daerah Mengundi (PDM) jika berlaku protes calon?



PRN Johor turut memberi peluang kepada BN untuk mengetengahkan calon yang mempunyai ciri- ciri Wali iaitu winnable (boleh menang), acceptable (diterima) serta likeable (disenangi).

Penting juga kepada setiap calon mempunyai keupayaan untuk membangunkan kerajaan negeri. Atas dasar itu, kita perlu dilihat sebagai parti yang dinamik dan bukannya yang statik.

Semua sedar kesetiaan kepada parti itu penting, maka calon-calon yang akan dipilih kelak perlu menghormati keputusan parti. Begitu juga dengan pimpinan di peringkat bahagian dan akar umbi.

Berkenaan tutup PDM sebagai protes calon, saya melihat UMNO di peringkat bahagian mahupun cawangan dan komponen parti baik MIC dan MCA kesemuanya sudah matang.

Keadaan politik sekarang tidak sama seperti ketika PRU14. Saya juga yakin pimpinan UMNO berpegang kepada prinsip setia kepada parti. Justeru, tiada alasan untuk mereka menutup PDM sebagai tanda protes. Sebaliknya kesetiaan dan kemenangan itu perkara lebih besar perlu diperjuangkan.

— Sebagai Pengerusi BN Johor, bagaimana Datuk melihat fungsi dan kerelevanan setiap parti komponen untuk mendapatkan keyakinan rakyat mengundi semula BN, selepas apa yang berlaku pada PRU14?

Saya tidak nampak bahawa BN ini membelakangkan konsep kongsi kuasa. Ada juga pengalaman kita di mana sokongan masyarakat Cina membuatkan BN menang di banyak kawasan. Ada juga masa-masa di mana pengundi UMNO yang membuatkan kerusi-kerusi MCA dapat dimenangi.

Jadi kaedah kongsi kuasa ini memang menjadi sesuatu yang merupakan kekuatan dalam BN, saya kira bukan sahaja berlaku di pihak MCA atau MIC, ada sahaja di peringkat UMNO begitu, tetapi kita harap rakan-rakan komponen kita dalam menghadapi PRN Johor kali ini dapat keluar habis-habisan untuk memastikan calon-calon mewakili BN menang.

Kongsi kuasa dalam BN ini tidak sama dengan kongsi kuasa parti-parti gabungan itu lain. Sebab itu, saya percaya bukan mudah untuk bergabung-gabung ini dan saya tak dapat melihat bahawa bagaimana Parti Warisan (Warisan) atau Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mahu berada di Johor ini, sedangkan jasa dan khidmat parti-parti yang sudah lama bertapak ini merupakan parti lebih sesuai bertanding.

— Di peringkat negeri rundingan bagi pembahagian kerusi bagi setiap komponen BN, adakah ada mengalami sebarang masalah?

Di peringkat UMNO kita sudah mencapai persetujuan jumlah kerusi yang kita rasa boleh bertanding dan macam saya cakap, MCA dan MIC juga penting memenangi dengan calon-calon yang boleh menang dalam PRN kali ini. Hanya tinggal calon sahaja yang belum dikenal pasti.

— Adakah pembahagian kerusi menggunakan formula sama seperti dinyatakan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang mahukan sejumlah 42 kerusi bagi UMNO?

Kalau itu yang dihasratkan, saya rasa ia tidak mencerminkan rupa bentuk kerajaan yang kita harapkan. Kemungkinan besar kerusi yang nak diagihkan antara komponen dalam BN perlu melihat kepada keadaan di mana peluang untuk menang itu tinggi.

Jadi bukan sekadar kerana kerusi itu MCA atau MIC, maka harus kekal… tidak. Lebih-lebih lagi dengan penambahan pengundi baharu, maka kita perlu melihat semula profil pengundi dan kawasan tertentu. Kita akan buat rundingan mendalam jika kita adakan kerusi bagi parti politik Friends of BN.

— Wujud dakwaan beberapa pihak yang memaklumkan UMNO dan BN mengharapkan peratusan keluar mengundi rendah berlaku yang mana akan memberikan lebih kelebihan. Pandangan Datuk?

Pada PRN kali ini, tidak semestinya pengundi Cina keluar beramai-ramai. Itu akan mengurangkan peluang BN untuk menang.

Saya tidak fikir kita perlu berpendapat begitu. Rata-rata yang saya tahu, mereka berpendapat jika keluar mengundi rendah, ini merujuk kepada masyarakat Cina tidak mahu keluar mengundi.

Saya rasa sudah sampai masa kita kikis pemikiran begini kerana di Johor, peratus mengundi Melayu dan bukan Melayu sudah hampir seimbang.

Jadi kalau kita nak menang, kita perlukan sokongan semua. Kalau peratusan keluar mengundi itu rendah, maknanya orang Melayu pun tidak keluar mengundi.

Maka, ia tidak boleh dianggap bahawa peratusan keluar mengundi rendah boleh memberi kelebihan kepada UMNO. Mungkin di negeri lain, saya tidak tahu tetapi di Johor ini, Melayu dan bukan Melayu tidak jauh beza daripada segi jumlahnya.

 

– Bagaimana Datuk melihat cabaran pengundi baharu pada PRN Johor?

Jumlah pengundi di negeri ini mencatatkan pertambahan hampir 30 peratus, dengan pertambahan 749,731 pengundi muda susulan pendaftaran automatik Undi18.

Ia menjadikan jumlah pengundi untuk PRN Johor meningkat kepada kira-kira 2.5 juta orang berbanding 1.8 juta pada PRU14.

Pertambahan itu sesuatu yang menarik kerana akan berlaku pertambahan antara 20 hingga 30 peratus pengundi baharu di semua 56 kawasan DUN di Johor.

Pendaftaran pengundi (Undi18) termasuk pengundi pertama kali bermula sejak Disember lalu dan diwartakan pada 16 Januari lepas. Sudah tentu ia menjadikan PRN Johor lebih mencabar.

Saya sedia maklum mengenai pengundi baharu itu, malah sudah bersedia untuk menghadapinya.

BN juga memperjuangkan orang muda. Banyak dasar dan hala tuju mereka diperjuangkan oleh kerajaan BN sebelum ini. Ia terbukti apabila setiap kali rancangan Malaysia dirangka sehingga Rancangan Malaysia ke-12, kehendak orang muda tidak diketepikan baik ekonomi, pendidikan ataupun perumahan.

Di Johor, Institut Dato’ Onn diwujud bagi membolehkan orang muda dan mahasiswa berinteraksi menyampaikan hasrat mereka.

BN tidak janji kosong terhadap orang muda dengan menjanjikan bulan dan bintang tetapi akan lakukan terbaik dengan menyediakan ruang dan peluang kepada mereka.

– PROFIL

Datuk Hasni Mohammad

Tarikh lahir: 27 Mac 1959

Umur: 63 tahun

Asal: Pontian, Johor

Isteri: Datin Fazlina Omar

Anak: Empat orang

Pendidikan: Sarjana Muda Sains Kejuruteraan Awam, Universiti of Missouri, Rolla, Amerika Syarikat

Pengalaman kerjaya: Jurutera perunding

Pentadbiran:

– Menteri Besar Johor ke-18 (2020-2022)

– Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Johor (2013-2018)

– Karier politikAhli Majlis Tertinggi UMNO (2018-kini)

– Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor (2018-kini)

– Pengerusi Barisan Nasional Johor (2018-kini)

– Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut (2008-2022)

– Ahli Parlimen Pontian (2004)

– Ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada tahun 2004-2008

– Setiausaha Politik kepada Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (2000)

– Ketua Pemuda UMNO Pontian (1993-2001)


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


SPRM tahan pengarah jabatan lulus tiket penerbangan anak isteri

Khemah kenduri kahwin halang pintu rumah jiran

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker