Iktibar Pertempuran Malaya

TAHUN ini kita memperingati ulang tahun ke-80 Pertempuran Malaya (1941-1942). Ia peristiwa amat penting, bukan hanya kepada sejarah moden Malaysia tetapi juga dalam sejarah ketenteraan kerana pertahanan Tanah Melayu dan Singapura yang dianggap kubu kuat Empayar British telah jatuh dalam tempoh singkat.

Malah, tidak berketerlaluan untuk menyifatkan kejatuhan Tanah Melayu dan Singapura pada 1942 menandakan permulaan kepada berakhirnya empayar British.

Kebanyakan sarjana berpendapat peperangan di Pasifik bermula dengan peristiwa serangan terhadap Pearl Harbor pada 7 Disember 1941 tetapi jika dikira mengikut perbezaan masa serangan terhadap Kota Bharu, ia berlaku lebih awal.

Kita bukan mahu menyalahkan sesiapa sama ada Jepun atau British yang bertanggungjawab atas keselamatan dan pertahanan Tanah Melayu ketika itu. Sebaliknya, adalah untuk merungkai peristiwa yang telah berlaku dan pengajaran boleh diperoleh. Perbincangan terbahagi kepada dua iaitu dari aspek ketenteraan dan cabaran masa kini.

Aspek ketenteraan pertama − tentera British di Tanah Melayu dilengkapi aset dan persenjataan usang, berbanding tentera Jepun. Misalnya, pertahanan udara Tanah Melayu bergantung kepada pesawat pejuang jenis Brewster Buffalo B-399E yang mempunyai pergerakan terhad berbanding pesawat pejuang tentera Jepun seperti Nakajima Ki-43 dan Mitsubishi A6M ‘Zero’. Sebaik sahaja pendaratan tentera Jepun di Kota Bharu, tentera udara Jepun telah melancar serangan udara ke atas pengkalan udara British di Butterworth, Alor Setar dan Sungai Petani. Kemuncak keagungan tentera udara Jepun apabila Kumpulan Udara Genzan berjaya menenggelamkan dua buah kapal perang British kelas pertama iaitu HMS Prince of Wales dan HMS Repulse pada 10 Disember 1941 sekali gus melumpuhkan Force Z tentera laut British dan membolehkan tentera Jepun mencapai kawalan laut.

Kerajaan harus mengambil iktibar Pertempuran Malaya dari segi kepentingan aset udara dalam pertahanan negara. Malah, dalam era moden, aset udara tidak hanya terhad kepada pesawat pejuang tetapi peralatan sokongan seperti radar dan unmanned aerial vehicle (UAV).

Pengajaran ketenteraan yang seterusnya adalah ketidakpastian dan kegagalan pucuk pimpinan tentera British untuk melancarkan ‘Operasi Matador’ yang merupakan operasi ketenteraan bagi menduduki kawasan Selatan Thai di Segenting Kra sebagai pertahanan hadapan bagi menghalang serangan tentera Jepun.

Ini kerana, menjelang November 1941, pasukan perisikan British telah berjaya mengesan pengumpulan tentera Jepun secara besar-besaran di Indochina untuk menyerang Tanah Melayu dari arah utara dan timur laut. Namun, Ketua Komander Panglima Tentera Udara Pemerintah Timur Jauh British, Robert Brooke-Popham dan Panglima Pemerintah di Tanah Melayu, Leftenan Jeneral Arthur Percival berpendapat operasi terlalu awal dan boleh menjejaskan hubungan British dengan Thailand.

Panglima sebelum beliau, Mejar Jeneral William Dobbie pada 1937 mempunyai pendapat berbeza. Dobbie menyarankan agar pertahanan kawasan utara dan timur laut Tanah Melayu harus dipertingkatkan. Beliau juga meramalkan pendaratan musuh boleh dilakukan di Songkhla dan Pattani di Thailand serta Kota Bharu.

Ramalan Dobbie terbukti benar, malangnya cadangannya tidak diendahkan. Kegagalan melancarkan Operasi Matador membolehkan tentera Jepun mara dengan mudah. Pengajarannya, keselamatan di kawasan sempadan harus dikawal rapi bagi mengelak pencerobohan.

Ketiga, strategi pertahanan British di Tanah Melayu − jika berlaku serangan luar, maka pengukuhan tentera dari Britain dan tentera Amerika Syarikat (AS) boleh memberi sokongan. Strategi itu terbukti tidak berkesan kerana tumpuan British ketika itu adalah pertahanan di Eropah melawan kemaraan tentera Nazi Jerman.

Pada masa sama, tentera AS terpaksa berdepan serangan tentera Jepun di Filipina, maka ia tidak memungkinkan AS memberi bantuan berkesan kepada pertahanan Tanah Melayu. Pengajaran daripada kesilapan itu adalah isu keselamatan dan pertahanan tidak boleh hanya bergantung kepada sokongan pihak luar semata-mata. Yang penting adalah ketahanan nasional.

Justeru, salah satu cara meningkatkan ketahanan nasional untuk memperingati pertempuran yang telah berlaku ialah dengan melakukan kajian secara mendalam.

Jika di AS, pembuat filem boleh menghasilkan banyak filem peperangan tetapi di Malaysia kita hanya ada filem Sarjan Hasan dan Leftenan Adnan.

Generasi muda memerlukan hero untuk menjadi idola mereka. Sifat Leftenan Adnan Saidi yang sanggup menggadai nyawa mempertahankan tanah air harus dipupuk dalam kalangan belia masa kini.

* Dr Roy Anthony Rogers ialah Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Resepi Mee Sup Pedas Cina, Bikin Terliur

Juri program ‘najis’, tak hadap kau sekolah tak? – Diva AA

Netizen terkejut tengok harga makanan kayangan di Tanjung Malim (Video)

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker