Farmasi pandu lalu pertama Malaysia di Kubang Kerian

Farmasi pandu lalu pertama Malaysia di Kubang Kerian

Superbig Healthcare Sdn. Bhd., anak syarikat Superbig Capital Berhad memperkenalkan farmasi pandu lalu pertama di negara ini di Kubang Kerian, Kelantan dalam usaha menangani penularan Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Superbig Capital Berhad, Dr Wan Sazrina Wan Zaid berkata, konsep itu telah beroperasi sejak 1 November 2021 dan semakin mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai berikutan Prosedur Operasi Standard Terkini Bagi Perintah Kawalan Pergerakan.

Menurut beliau, buat masa sekarang terdapat 11 cawangan biasa dan pihaknya menjangka membuka 100 buah farmasi dalam tempoh empat tahun dengan sasaran jualan minimum RM1 juta setahun untuk setiap cawangan.

“Tahun ini sasaran jualan minimum antara RM25 hingga RM35 juta dengan jangkaan pembukaan 20 cawangan baharu.

“Angka ini dijangka dapat dicapai berdasarkan aliran peningkatan pelanggan yang cenderung mengunjungi farmasi untuk mendapatkan bekalan ubat-ubatan, vitamin dan makanan tambahan berbanding fasiliti hospital atau klinik.

“Ini berikutan kebimbangan orang ramai yang berusaha mengelak daripada kesesakan berada hospital dan klinik kerana bimbang dengan jangkitan Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Majlis perasmian farmasi pandu lalu itu telah disempurnakan oleh Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Mumtaz Md. Nawi semalam.

Hadir sama Presiden Persatuan Farmasi Malaysia (MPS), Amrahi Buang dan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Superbig Capital Berhad, Che Rahim Che Daud.

WhatsApp-Image-2022-02-03-at-21.22.11.jpeg?resize=523%2C573&ssl=1
Dr. Sazrina Wan Zaid (kiri) menyampaikan kad keahlian farmasi kepada Mumtaz Md Nawi (tengah) dan disaksikan Amrahi Buang (kanan) dalam Majlis Pelancaran Farmasi Pandu Lalu Pertama di Malaysia di Kubang Kerian di sini semalam.
Wan Sazrina menambah, konsep pandu lalu diperkenalkan di Farmasi Superbig Kubang Kerian sebagai usaha pihaknya meningkatkan inovasi perkhidmatan farmasi di Malaysia.

“Saya dan pengasas bersama, Che Rahim Che Daud telah menjalankan perniagaan farmasi komuniti sejak 26 tahun lalu dan sudah tiba masanya perkhidmatan ini dinaik taraf mengikut peredaran dan keperluan semasa.

“Konsep yang diperkenalkan memberi keselesaan kepada pelanggan yang kini lebih menyukai sistem pandu lalu di premis terpilih di samping membantu memudahkan orang ramai menjaga SOP terutama yang mempunyai penumpang kanak-kanak atau warga emas selain pelanggan juga tidak perlu memikirkan tentang isu parkir kereta.

“Selain itu faktor pendorong apabila dua tahun lepas, semasa menjaga arwah ibu yang sakit di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, saya mengalami kesulitan membeli ubat di farmasi berhampiran kerana sukar mendapatkan parkir kereta.

“Sejak itu saya nekad untuk meningkatkan perkhidmatan farmasi dan memperkenalkan konsep pandu lalu serta memastikan lokasi berdekatan dengan HUSM untuk memudahkan orang ramai mendapatkan bekalan perubatan mereka,” ujarnya.

Wan Sazrina berkata, persiapan sistem pandu lalu mengambil masa selama enam bulan kerana mencari peralatan yang berkualiti dan vendor yang berpengalaman.

Jelas beliau, hampir RM200,000 dibelanjakan hanya untuk peralatan dan infra pandu lalu bagi memastikan sistem tersebut beroperasi dengan sempurna.

“Selain memudahkan orang ramai mendapatkan bekalan ubatan dengan lebih selesa, tempoh masa berurusan juga hanya sekitar lima minit. Bagaimana pun apa yang lebih penting ialah ketepatan dalam membekalkan ubatan yang dipesan pelanggan.

“Sekiranya tempoh lebih lama diperlukan, pelanggan akan diminta untuk masuk ke dalam premis. Untuk tujuan ini, kami telah menyediakan kawasan parkir kenderaan khas yang berhampiran,” ujarnya

Sementara itu menurut Che Rahim, semua jenis ubat yang ada di farmasi terbabit boleh dibeli melalui kaedah pandu lalu.

“Syaratnya mesti mematuhi Akta Racun 1952, misalnya penjualan ubat terkawal dilakukan dan dipantau oleh ahli farmasi dan mestilah direkodkan. Bagi ubat terkawal yang memerlukan preskripsi, hanya dibekalkan jika telah dipreskrepsi oleh pihak doktor merawat.

“Caranya juga mudah, pelanggan akan memandu ke tingkap pertama untuk membuat pesanan dan setiap pesanan akan dipamerkan di skrin bagi memastikan ketepatan harga dan produk yang dipilih.

“Selepas menempah, pelanggan akan memandu ke tingkap ke dua untuk mengambil barang tempahan, membuat pembayaran serta mencatat butiran jika barang yang dibeli memerlukan rekod khas mengikut Akta Racun 1952,” katanya.

Mengenai perancangan syarikat pada masa akan datang, Che Rahim berkata, pihaknya mensasarkan Superbig Capital Berhad akan disenaraikan di Bursa Malaysia pada tahun 2026. Kelantan.

Sementara itu, orang ramai boleh melayari laman sesawang superbigpharmacy.com untuk tempahan dalam talian atau melalui di Shopee dan Lazada Superbig. MG

Farmasi pandu lalu pertama Malaysia di Kubang Kerian


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Keluarga Pelakon Ezzaty Abdullah Ada Dalam Kereta Api Terbakar Di Kelantan, Dukung Nenek Sekali

Lelaki cedera dibelasah kekasih gelap isteri

Wanita dihimpit lelaki tunjuk kemaluan ketika menunggang motosikal [VIDEO]

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker