Kesatuan Afrika akan berpecah kerana Israel?

KESATUAN Afrika kelihatan bakal menghadapi pertembungan dalaman berkaitan hubungannya dengan Israel pada sidang kemuncak yang akan berlangsung pada hujung minggu ini.

Pertembungan itu merupakan satu titik perbalahan yang jarang berlaku untuk blok yang sangat menghargai konsensus dalam apa jua usul perbincangan.

Pertikaian itu dimulakan pada Julai tahun lalu apabila Moussa Faki Mahamat iaitu Pengerusi Suruhanjaya Kesatuan Afrika dari Chad mengiktiraf status Israel sebagai pemerhati kepada kesatuan tersebut.



Kesatuan itu mempunyai 55 anggota yang beribu pejabat di Addis Ababa, Habsyah.

Ibu pejabat Kesatuan Afrika di Addis Ababa, Habsyah. - Foto AFP
Ibu pejabat Kesatuan Afrika di Addis Ababa, Habsyah. – Foto AFP

Pengiktirafan itu memberikan diplomat Israel ‘kemenangan’ yang mereka kejar selama hampir dua dekad lalu.

Negara anggota kesatuan itu yang berpengaruh terutamanya Afrika Selatan, dengan cepat menyuarakan protes terdapat pemberian status tersebut dengan menyatakan Cape Town tidak dirujuk dengan betul berhubung isu berkenaan.

Ia juga menyatakan langkah itu bercanggah dengan banyak kenyataan yang dikeluarkan oleh kesatuan tersebut termasuk daripada Moussa sendiri yang menyokong Palestin.



Menteri-menteri luar kesatuan tersebut gagal menyelesaikan isu itu pada mesyuarat yang berlangsung pada Oktober tahun lalu manakala Afrika Selatan dan Algeria telah meletakkannya dalam senarai agenda sidang kemuncak bagi ketua-ketua negara yang bermula pada Sabtu ini, menurut dokumen Kesatuan Afrika yang dilihat oleh AFP.

BLOK AFRIKA

Walaupun terdapat senarai pelbagai isu termasuk wabak koronavirus dan rampasan kuasa di negara anggota-anggota kesatuan tersebut baru-baru ini, penganalisis menjangkakan persoalan tentang status Israel itu akan dibincangkan pada sidang kemuncak berkenaan yang menandakan ulang tahun ke-20 penubuhannya.

Kesatuan itu ditubuhkan pada 9 Julai 2002 di Durban, Afrika Selatan.



Mungkin juga ada undian sama ada anggota-anggota kesatuan berkenaan menyokong atau menolak keputusan Moussa.

“Selepas pembentukan Kesatuan Afrika, isu itu (status Israel) telah timbul dan akan memecahkan secara serius blok itu,” kata Na’eem Jeenah iaitu Pengarah Eksekutif Pusat Afro-Timur Tengah di Johannesburg.

“Tidak kira bagaimana keputusan itu dibuat pada sidang kemuncak ketua negara-negara pada Februari ini, Kesatuan Afrika akan berpecah dengan cara yang tidak pernah berlaku pada masa lalu,” ujarnya.

Sebanyak 72 buah negara, blok serantau dan organisasi telah pun diberikan status pemerhati termasuk Korea Utara, Kesatuan Eropah dan Program Bersama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Penyakit AIDS/HIV (UNAIDS), menurut laman web kesatuan tersebut.



Israel sebelum ini mendapat status itu di Pertubuhan Perpaduan Afrika (OAU).

Namun, ia kehilangan status itu apabila badan itu dibubarkan dan digantikan dengan Kesatuan Afrika pada tahun 2002.

Israel mengaitkan kehilangan status itu dengan pemimpin Libya, Muammar Gaddafi yang memegang kuasa besar di Kesatuan Afrika sehingga kematiannya pada tahun 2011 akibat dibunuh oleh rakyatnya sendiri ekoran kebangkitan penduduk menentang pemerintahannya.

Apabila Moussa mengumumkan status pemerhati itu kepada Israel pada Julai tahun lalu, Kementerian Luar rejim Zionis tersebut mengeluarkan kenyataan yang menggambarkan pengecualiannya sebelum ini sebagai ‘anomali’ atau penyimpangan daripada peraturan dan menyatakan bahawa ia mempunyai hubungan dengan 46 buah negara Afrika.



Kementerian itu juga berkata, status baharu Israel akan membolehkan ia membantu Kesatuan Afrika dalam memerangi pandemik Covid-19 dan keganasan.

“Bekerja di peringkat dua hala dengan kebanyakan negara Afrika adalah hebat dan itu adalah prinsip asas hubungan dengan Afrika,” kata Iddo Moed iaitu Timbalan Ketua Hal Ehwal Afrika di Kementerian Luar Israel kepada AFP pada minggu lalu.

“Tetapi, saya fikir bagi Israel adalah penting juga untuk menjalin hubungan formal dengan Afrika sebagai sebuah benua,” tambahnya lagi.

KUTUK PENGEBOMAN



Kira-kira dua bulan sebelum menerima status pemerhati Israel itu, Moussa sendiri mengutuk pengeboman Israel di Semenanjung Gaza serta serangan ganas oleh pasukan keselamatan rejim Zionis tersebut di pekarangan Masjid al-Aqsa di Baitulmaqdis dengan menyatakan tentera Israel bertindak melanggar undang-undang-undang antarabangsa.

Penganalisis dan diplomat berkata, adalah tidak jelas bagaimana undian mengenai status Israel itu akan dilakukan.

Antara penyokong Israel ialah Rwanda dan Maghribi manakala kebanyakan anggota Kesatuan Afrika itu masih tidak menyatakan pendirian masing-masing.

Sebarang keputusan mengenai Israel memerlukan sokongan dua pertiga daripada negara yang menganggotai kesatuan tersebut.

Supra Mahumapelo yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Parlimen Afrika Selatan mengenai hubungan antarabangsa memberitahu AFP bahawa adalah penting bagi Kesatuan Afrika untuk menangani isu itu.

“Adalah tidak dapat difahami bagi Kesatuan Afrika mengiktiraf dan memberikan status kepada Israel,” katanya.

Seorang pemerhati, bagaimanapun, merungut ketegangan perdebatan itu nampaknya ditakdirkan untuk mencetuskan polarisasi dalam kalangan anggota kesatuan tersebut.

“Setiap usaha sepatutnya dilakukan untuk mengelakkan isu ini daripada menjadi punca polarisasi. Sekarang ia akan menjadi gangguan yang teruk pada masa anda tidak memerlukannya,” kata Solomon Dersso iaitu pengasas badan pemikir Amani Africa yang memberi tumpuan kepada Kesatuan Afrika. – Agensi

Kesatuan Afrika akan berpecah kerana Israel?


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Norjuma Habib bakal dikeluarkan waran tangkap

Bila kita tekan butang, dia marah

‘Kalau kena dengan TMJ senyap pula…’

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker