Letupan kuat bunuh 17 orang dan 59 cedera

ACCRA – Sekurang-kurangnya 17 orang terbunuh dan 59 lagi  cedera dalam letupan kuat di sebuah bandar di Ghana yang berlaku selepas lori membawa bahan letupan untuk sektor perlombongan berlanggar dengan sebuah motosikal, kata kerajaan.

Letupan besar itu meninggalkan kawah besar dan menyebabkan berpuluh-puluh bangunan kayu runtuh. Kemalangan berlaku di Apiate, dekat bandar Bogoso sekitar 300 kilometer ke barat ibu negara Ghana, Accra.

“Seramai 17 orang disahkan mati dan 59 mangsa yang cedera telah diselamatkan,” kata Menteri Maklumat, Kojo Oppong Nkrumah  dalam satu kenyataan.



Beliau berkata, tanda-tanda awal menunjukkan kemalangan itu melibatkan sebuah lori membawa bahan letupan untuk syarikat perlombongan, sebuah motosikal dan kenderaan ketiga yang berlaku dekat sebuah transformer elektrik.

“Daripada 59 mangsa yang cedera, 42 orang dirawat di hospital atau pusat perubatan dengan sebilangan mereka kritikal,” tambah Nkrumah.

Presiden Ghana, Nana Akufo-Addo menganggap kemalangan itu sebagai insiden yang  amat menyedihkan dan penuh tragis. Beliau juga menzahirkan ucapan takziah kepada waris mangsa  terkorban.

“Ini adalah Khamis yang hitam. Setakat ini (semalam) sebanyak 500 buah rumah terjejas. Sebahagian musnah sepenuhnya dalam letupan itu dan sebilangan yang lain mengalami keretakan,” kata Timbalan Penyelaras Pertubuhan Pengurusan Bencana Nasional, Sedzi Sadzi Amedonu.



“Bandar Apiate kini menjadi seperti bandar hantu,” katanya. – AFP


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET




Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker