Dana MITRA diseleweng, SPRM tahan 22 suspek



SHAH ALAM – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seramai 22 individu berhubung kes penyelewengan geran dana program pembangunan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) di bawah Kementerian Perpaduan Negara.

Menurut sumber SPRM, kesemua suspek ditahan sekitar negeri Perak, Selangor, Kedah, Johor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Melaka dalam operasi Mitra 2.0 pada Khamis.

“Suspek ditahan bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan dana peruntukan bagi program pembangunan sosioekonomi masyarakat India B40 di bawah Kementerian Perpaduan Negara.

“Individu yang ditahan melibatkan pengarah syarikat, presiden serta setiausaha persatuan dan pertubuhan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Difahamkan operasi yang dinamakan Mitra 2.0 ini menumpukan kepada baki 17 syarikat dan pertubuhan yang tergolong dalam kumpulan yang telah menerima dana berjumlah RM1 juta hingga RM9 juta.




Menurutnya, sebanyak 337 syarikat, persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) dikenal pasti menerima peruntukan dari dana dianggarkan berjumlah RM203 juta sejak tahun 2019 hingga 2021.

Katanya, peruntukan paling tinggi yang diluluskan ialah pada tahun 2019 iaitu melebihi RM90 juta yang diberikan kepada 205 syarikat, persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) dengan lapan daripada mereka menerima dana melebihi RM1 juta.

“Fokus siasatan dalaman ini akan meneliti semua bentuk permohonan, laporan perbelanjaan dan program yang dikatakan telah dilaksanakan oleh penerima geran peruntukan Mitra dari tahun 2019 hingga 2021.

“SPRM telah bekerjasama dengan Kementerian Perpaduan Negara dengan menubuhkan pasukan khas siasatan dalaman bagi memberikan tumpuan ke atas 310 syarikat yang telah menerima peruntukan di bawah RM 1 juta,” katanya.

Menurutnya, daripada 22 suspek tersebut, seramai enam individu direman antara empat ke enam hari manakala 16 lagi dibebaskan dengan jaminan SPRM.




Sinar Harian pada 7 Disember melaporkan bahawa siasatan berhubung penyelewengan dana Mitra berada di peringkat akhir.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihak pendakwa raya bersetuju untuk membuat pendakwaan dan lebih sembilan individu yang terlibat bakal dituduh di mahkamah awal tahun ini.

Isu Mitra mula hangat diperdebatkan semasa sesi penggulungan Bajet 2022 Kementerian Perpaduan di Parlimen berikutan beberapa ahli Parlimen pembangkang tidak berpuas hati dengan jawapan Datuk Halimah Mohamed Sadique berhubung perkara tersebut.

Dana MITRA diseleweng, SPRM tahan 22 suspek

 


Baca Artikel Menarik:




Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Kemelut Lee Zii Jia dan BAM, Peja akhirnya mainkan peranan



Leave a Reply

Your email address will not be published.