Khairuddin digugurkan Hadi kerana lebih pertahankan MN daripada PN

Sebaran :

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Kuala Nerus Mohd Khairuddin Aman Razali membayangkan penggugurannya sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat, berkaitan dengan desakannya mahukan parti itu mengutamakan kerjasama dengan Umno menerusi Muafakat Nasional (MN).

Ditanya oleh FMT, sebab beliau digugurkan, Khairuddin hanya berkata “boleh baca apa yang tersirat.”

Beliau tidak mengulas lanjut namun menghantar pautan Facebook kepada artikel terbarunya selepas pengguguran itu, yang mengingatkan pemimpin mengenai hukum syarak “wajib” untuk mengusahakan perpaduan antara PAS dan Umno.

“Ia bukan isu perpaduan pemimpin kerana pemimpin politik meskipun bergaduh masih boleh duduk semeja makan dan minum senyum dan tawa,” kata Khairuddin.



“Tetapi ia melibatkan hubungan ahli marhaen yang lurus dan tulus dengan parti masing-masing.

Justeru, kata beliau, “menjadi tanggungjawab pemimpin untuk memperkasakan dan menyuburkan lagi perpaduan yang telah berjaya dibina ini.”

“Ini kerana perpaduan antara umat Islam dari dua kelompok besar melebihi empat juta ahli ini pada hukum syaraknya wajib diusahakan bukannya sunat.

“Mereka yang cuba merobohkan perpaduan ahli dua parti Melayu Islam tentulah mereka yang berkepentingan diri dan berhawa nafsu duniawi bukan demi kepentingan umat,” jelasnya.



Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang mengumumkan pengguguran Khairuddin sebagai AJK PAS semalam, menentang MN diteruskan jika Umno tidak menerima Bersatu dalam gagasan itu.

Hadi menuduh kalangan pemimpin Umno sebagai melanggar piagam MN kerana berkeras tidak mahu menerima Bersatu pimpinan Muhyiddin Yassin.

“PAS terbuka tetapi malangnya dia (pimpinan Umno) nak PAS dengan Umno sahaja, jadi tak bolehlah, PAS tak boleh diarah, PAS parti tersendiri, PAS bukan di bawah BN (Barisan Nasional),” kata Hadi sebelum ini.

Dalam pada itu, Khairuddin memberitahu FMT sungguhpun digugurkan sebagai AJK PAS Pusat, beliau kekal sebagai Setiausaha Majlis Syura parti.



Katanya, perlantikan sebagai Setiausaha Majlis Syura PAS dibuat oleh Mursyidul Am Hashim Jasin.

“Saya masih lagi Setiausaha Majlis Syura, itu lantikan Mursyidul Am dalam mesyuarat syura,” katanya.

Ahli lain Majlis Syura PAS adalah Hadi dan Timbalan Presiden parti Tuan Ibrahim Tuan Man.

Majlis syura PAS merupakan badan tertinggi dalam parti Islam itu yang diberi kuasa menafsir, menjelas dan menghuraikan dasar, menafsir perlembagaan, mengeluarkan arahan supaya dasar parti dipatuhi.

Semalam, Hadi enggan menyatakan punca Khairuddin digugurkan sebagai AJK PAS Pusat, selain menyifatkan ia sebagai “perkara biasa.”

Pada 23 Nov lalu, Khairuddin merupakan antara tiga pemimpin PAS yang dilantik semula sebagai AJK bagi sesi 2021-2023 selepas tewas dalam pemilihan parti itu di samping Mohd Zuhdi Marzuki dan Nik Abduh Nik Abdul Aziz.

Khairuddin digugurkan Hadi kerana lebih pertahankan MN daripada PN


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Rupa-rupanya Kamal Adli

Resepi Crab Rangoon Viral Gila

Gerai nasi dagang tak menang tangan lepas viral, 2 jam ‘sold out’


Sebaran :

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *