Desakan PRN Johor lebih awal, beri tekanan kepada PM

PETALING JAYA: Pilihan raya negeri (PRN) Johor lebih awal mungkin digunakan untuk mencetuskan pilihan raya umum (PRU) tahun ini, kata seorang penganalisis politik Azmi Hassan.

Manakala seorang lagi penganalisis, Awang Azman Pawi pula positif bahawa PRU akan “selesai” menjelang Julai.

Azmi, bekas pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM), berkata mereka yang memihak kepada PRU lebih awal mungkin akan berusaha sedaya upaya untuk mendesak PRN Johor diadakan tidak lama lagi kerana Barisan Nasional (BN) mungkin memenangi lebih banyak kerusi di negeri itu.

Mereka sedar bahawa Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden Umno, mungkin hanya mengadakan pilihan raya itu pada 2023, sementara beliau mengukuhkan kuasanya.

Bagaimanapun, “sokongan berbelah bahagi dan ketidakstabilan dalam Umno mungkin menyaksikan gesaan untuk PRU semakin meningkat jika BN melakukan lebih baik di Johor,” katanya.

Kerajaan negeri Johor pimpinan BN, hanya mempunyai majoriti satu kerusi berikutan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Osman Sapian daripada Bersatu pada Disember.

Kerajaan itu diwakili 16 kerusi Barisan Nasional (BN), 11 daripada Bersatu dan satu kerusi daripada PAS manakala pembangkang, Pakatan Harapan pula mempunyai 27 kerusi.

Azmi berkata kerajaan negeri boleh terus berfungsi walaupun hanya mempunyai majoriti satu kerusi tetapi ia akan berdepan tekanan untuk diadakan pilihan raya, atas alasan sukar untuk meneruskannya dengan margin tipis.

“Kemungkinan besar tujuannya adalah untuk mengadakan PRU pada pertengahan tahun ini,” katanya.

Penganalisis sosio-politik Awang Azman Pawi percaya bahawa Johor akan mengadakan PRN tidak lama lagi.

Menurutnya, Covid-19 tidak lagi menjadi faktor memandangkan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) dilakukan lebih ketat ketika PRN Melaka dan Sarawak baru-baru ini.

Awang berkata, PRN Johor yang lebih awal akan membolehkan BN menggunakan jenteranya untuk memberi tumpuan terhadap kerusi Parlimen di Johor dan negeri lain.

Katanya, prestasi lebih baik dalam PRN akan meningkatkan persepsi terhadap BN untuk memenangi lebih banyak kerusi pada PRU15 dan memberi tekanan kepada Ismail untuk mengadakan pilihan raya itu pada tahun ini.

“Ia (pilihan raya umum) sepatutnya selesai menjelang Julai,” katanya.

Desakan PRN Johor lebih awal, beri tekanan kepada PM


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Rupa-rupanya Kamal Adli

Resepi Crab Rangoon Viral Gila

Gerai nasi dagang tak menang tangan lepas viral, 2 jam ‘sold out’

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker