Isu bos SPRM: PAS kian mesra dengan kemungkaran, dakwa Amanah

Sebaran :

 

Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub mengakui dia “sedikit pun tidak terkejut” dengan pendirian disuarakan PAS berhubung kontroversi menyelubungi pegawai tertinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki.

Merujuk kenyataan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan semalam yang menyambut baik penjelasan Azam mengenai dakwaan pemilikan saham dalam beberapa syarikat, Salahuddin berkata PAS kini memang bersikap “mesra” dan “jinak” dengan “kemungkaran”.

Hal itu, katanya dapat dilihat dalam sikap yang dipamerkan parti itu dalam beberapa kes terdahulu.

Kata ahli parlimen Pulai berkenaan, sikap PAS itu dapat dilihat dalam skandal 1MDB dan kontroversi Lembaga Tabung Haji.



Selepas mendengar penjelasan daripada pihak yang dipertikaikan oleh ramai orang itu, kata Salahuddin, PAS kekal berpuas hati.

“Waktu itu (1MDB) saya terkejutlah, kerana itu bukan ‘warna’ PAS sebenarnya. Kerana saya hampir 30 tahun dengan PAS, ia tidak begitu. Kami (ketika itu) tetap konsisten menegur kemungkaran pemerintah.

“Tapi lama-kelamaan, PAS kian mesra dengan kemungkaran termasuk hari ini melibatkan isu Azam yang begini besar.

“Jadi saya rasa, PAS telah menjadi begitu mesra dan jinak dengan kemungkaran ini. Itulah sikap PAS pada sekarang,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.



Perubahan sikap itu, katanya, adalah kerana PAS kini lebih mementingkan kuasa dan hilang arah tuju sehingga tidak lagi melihat sebarang kemungkaran yang berlaku dalam kerajaan.

Takiyuddin semalam berkata PAS menyambut baik langkah Azam menjelaskan secara terbuka kontroversi menyelubungi Ketua Pesuruhjaya SPRM itu dan berharap penafian berkenaan dapat menghentikan tindakan pihak yang sengaja “menimbulkan keraguan” dan “menggugat kestabilan negara di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob”.

Takiyuddin turut meminta pihak yang terus membuat dakwaan ke atas Azam untuk membuktikan tuduhan berkenaan, dan yakin pihak berkuasa akan meneliti kenyataan tersebut dan mengambil tindakan yang adil berdasarkan fakta dan undang- undang.

Gesa jalankan siasatan



Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad turut menyifatkan kenyataan Takiyuddin itu sebagai tanda PAS telah “hilang kompas moral” serta dan menjadi parti yang gagal.

“Amat jelas PAS sudah hilang kompas moral serta hala tuju perjuangan serta berperangai sebagai ‘ular sawa kenyang’.

“Tak ada keperluan untuk saya katakan apa-apa kecuali, sebagai parti yang kononnya membawa imej Islam, PAS gagal dengan sepenuhnya. Total and complete failure,” kata ahli parlimen Shah Alam itu kepada Malaysiakini hari ini.

Untuk rekod, kelmarin Ketua Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari mengeluarkan kenyataan bernada berbeza daripada Takiyuddin apabila mencadangkan Azam direhatkan bagi memberi laluan kepada siasatan bebas.

Ahmad Fadhli memberikan cadangan itu bagi memastikan ketelusan dalam siasatan, serta membuktikan keseriusan kerajaan dalam menegakkan kedaulatan undang-undang.

Azam dilanda kontroversi hebat berhubung dakwaan pemilikan saham di dua syarikat awam pada 2015. Berdasarkan laporan tahunan Excel Force Bhd 2015, Azam memiliki 2,156,000 waran dalam syarikat itu setakat 21 Mac 2016. Ketika itu, Azam adalah Pengarah Bahagian Siasatan SPRM.

Ia mengundang gesaan agar siasatan dilakukan berhubung hal itu dan Azam direhatkan.

Dalam satu sidang media pada Selasa, Azam berkata, dia memaklumkan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) bahawa akaun dagangan miliknya digunakan oleh adiknya, Nasir, untuk memperoleh saham tersebut.

Saham itu telah dipindahkan kepada Nasir kemudiannya.

Pengerusi LPPR Abu Zahar Ujang yang turut hadir, berkata LPPR berpuas hati dengan penjelasan Azam bahawa dia tiada kepentingan kewangan mahupun konflik kepentingan dalam pemerolehan saham tersebut.

Selain Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) yang berkata akan menghubungi Azam, polis juga dilaporkan akan memulakan siasatan ke atasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Azam memulakan tindakan undang-undang terhadap pemberi maklumat yang paling awal mendedahkan dakwaan pemilikan saham tersebut.

Isu bos SPRM: PAS kian mesra dengan kemungkaran, dakwa Amanah


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Dakwaan Khalid Samad disangkal PKB


Sebaran :

Leave a Reply

Your email address will not be published.