Abu Zahar beri penjelasan atau letak jawatan – Fahmi

Abu Zahar beri penjelasan atau letak jawatan – Fahmi

Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil menggesa pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) Abu Zahar Ujang untuk memberikan penjelasan penuh atau meletakkan jawatan susulan kontroversi pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki.

Abu Zahar sebelum ini ‘membersihkan’ Azam daripada sebarang salah laku jenayah, mahupun konflik kepentingan.

Walaubagaimanapun, enam ahli LPPR hari ini menyangkal pendirian yang dizahirkan pengerusi lembaga itu.

“Kenyataan media dari enam Ahli Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) ini, yang menjauhkan diri mereka dari kenyataan Abu Zahar yang ‘membersihkan’ nama Tan Sri Azam Baki, sangat mengejutkan.

“Ia menimbulkan persoalan sama ada Abu Zahar telah membuat keputusan ‘membersihkan’ nama Ketua Pesuruhjaya SPRM itu secara bersendirian?

“Abu Zahar kini tiada pilihan kecuali untuk memberi penjelasan penuh secara terbuka berkenaan perkara ini – atau meletakkan jawatan serta merta. Amat jelas beliau tiada lagi hak moral untuk menjadi pengerusi LPPR,” kata Fahmi dalam kenyataan hari ini.

Enam ahli LPPR berkata kenyataan Abu Zahar ketika sidang media pada Selasa merupakan pendirian peribadi bekas presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) dan ketua Umno Bahagian Kuala Pilah itu.

“Dia (Abu Zahar) juga berkata tidak ada jenayah yang dilakukan atau konflik kepentingan dalam hal tersebut. Kami dengan terang ingin menyatakan bahawa ahli-ahli lembaga pada mesyuarat itu atau pada bila-bila masa selepasnya tidak menzahirkan pendirian sedemikian seperti yang dizahirkan Abu Zahar.

“Kami ingin menyatakan bahawa kenyataan berkenaan adalah sepenuhnya pandangan peribadi Abu Zahar,” kata mereka pada satu kenyataan bersama.

Enam ahli LPPR tersebut ialah Ismail Omar, Azman Ujang, Akhbar Satar, Hamzah Kassim, David Chua Kok Tee dan Mohammad Agus Yusoff.

Fahmi berkata kenyataan media enam ahli LPPR ini satu tamparan hebat buat kewibawaan Abu Zahar dan satu bentuk ‘undi tidak percaya’ terhadap beliau.

“Jelas, seperti yang dijangka pelbagai pihak, ‘penjelasan’ Abu Zahar dan Azam Baki tempoh hari hanya menimbulkan seribu satu persoalan baru,” katanya.

Azam dilanda kontroversi hebat berhubung dakwaan pemilikan saham di dua syarikat awam pada 2015. Berdasarkan laporan tahunan Excel Force Bhd 2015, Azam memiliki 2,156,000 waran dalam syarikat itu setakat 21 Mac 2016. Ketika itu, Azam adalah Pengarah Bahagian Siasatan SPRM.

Ia mengundang gesaan agar siasatan dilakukan berhubung hal itu dan Azam direhatkan.

Dalam satu sidang media pada Selasa, Azam berkata, dia memaklumkan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) bahawa akaun dagangan miliknya digunakan oleh adiknya, Nasir Baki, untuk memperoleh saham tersebut.

Saham itu telah dipindahkan kepada Nasir kemudiannya.

Pengerusi LPPR Abu Zahar Ujang yang turut hadir, berkata LPPR berpuas hati dengan penjelasan Azam bahawa dia tiada kepentingan kewangan mahupun konflik kepentingan dalam pemerolehan saham tersebut.

Selain Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) yang berkata akan menghubungi Azam, polis juga dilaporkan akan memulakan siasatan ke atasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Azam memulakan tindakan undang-undang terhadap pemberi maklumat yang paling awal mendedahkan dakwaan pemilikan saham tersebut. Mk

Abu Zahar beri penjelasan atau letak jawatan – Fahmi


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU</a


Ada apa dengan 11 Mac, 19 April dan 17 September?

Pelakon Indonesia, Cassandra Angelie kantoi melacur

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker