Gelombang lebih besar jika Omicron tidak dikawal

Gelombang lebih besar jika Omicron tidak dikawal

Negara mungkin berdepan gelombang baharu COVID-19 sekiranya jangkitan varian Omicron merebak secara meluas dalam komuniti dengan jangkaan impaknya lebih besar berbanding varian Delta.

Pakar Mikrobiologi Perubatan dan Ketua Unit Kawalan Infeksi, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Dr Sharifah Azura Salleh, berkata walaupun mengikut laporan luar negara tahap keparahan bagi jangkitan Omicron ringan dan sederhana teruk, ia masih boleh melumpuhkan sistem kesihatan negara jika kes melonjak secara drastik.

“Jika varian Omicron ini merebak dalam komuniti, kes akan naik dengan cepat. Sekarang, kes harian COVID-19 dalam negara secara puratanya 2,000 ke 4,000 kes, jadi kita tidak mahu ia naik sehingga berbelas ribu sebagaimana gelombang varian Delta.

“Jika ia merebak dalam komuniti, walaupun jangkitan di tahap sederhana teruk, golongan yang berisiko seperti warga emas akan tetap ada kemungkinan dimasukkan ke hospital. Bayangkan jika sehari cecah 10,000, cukup sekadar 5 peratus memerlukan rawatan di hospital, implikasinya amat besar kepada sistem kesihatan negara,” katanya kepada BH, hari ini.

Dr Sharifah Azura tidak menolak kemungkinan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepenuhnya terpaksa dikuatkuasakan semula di seluruh negara jika penularan dalam komuniti berada di tahap serius.

“Setakat ini, belum banyak kes Omicron dalam komuniti dengan kebanyakannya membabitkan individu yang pulang dari luar negara termasuk jemaah umrah dan dari negara lain seperti United Kingdom.

“Jika kita tidak mampu mengawal penularan dalam komuniti, kerajaan mungkin terpaksa melaksanakan PKP, berbanding yang dilaksanakan secara bersasar ketika ini,” katanya.

Sementara itu, Profesor Epidemiologi dan Biostatistik, Kuliyyah Perubatan, Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Prof Dr Jamalludin Ab Rahman mempunyai pandangan selari dengan kemungkinan negara turut terkena tempias gelombang Omicron.

“Sukar sesebuah negara bebas dari Omicron kerana kita tidak mampu menutup sempadan negara sepenuhnya.

“Keupayaan kita mendapat gelombang ini juga dipengaruhi keupayaan untuk menguji kes dalam komuniti. Walaupun Omicron dilaporkan oleh Afrika Selatan, ia tidak bermakna ia berasal dari sana. Mungkin ia telah lama tersebar di seluruh dunia dan mungkin telah lama berada dalam komuniti kita.

“Lebih sukar untuk mengesan kes positif terutama Omicron kerana ia tiada gejala, selain negara kurang berkemampuan menjalankan penjujukan gemom yang meluas sebagaimana negara maju lain,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, pelaksanaan PKP bukan penyelesaian terbaik untuk mengawal penularan Omicron, sebaliknya kerjasama dan peranan rakyat dengan mempraktikkan langkah pencegahan kesihatan awam amat penting bagi mengelakkan kemungkinan jangkitan secara besar-besaran.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Jabatan Perubatan Kemasyarakatan dan Pencegahan, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya (UM), Prof Dr Noran Naqiah Hairi, berkata tindakan kerajaan termasuk menangguhkan sementara ibadat umrah, menguatkuasakan semula perintah isolasi di pusat kuarantin dan menyekat sementara pengembara membabitkan negara dengan jangkitan Omicron antara langkah kesiapsiagaan bagi mengelakkan risiko kemunculan gelombang baharu yang lebih membahayakan.

“Apa yang kerajaan sedang buat sekarang untuk mengelakkan penyebaran Omicron dalam komuniti.

“Ia dapat dilihat melalui perlindungan bagi setiap individu dengan menggalakkan pengambilan dos penggalak, selain itu kerajaan turut mengambil tindakan dalam populasi dengan mengumpul data mengenai jangkitan Omicron sebagaimana jangkitan dikesan dalam kalangan pengembara yang pulang mengerjakan umrah,” katanya.

Jelasnya, walaupun Omicron baru dikesan dalam tempoh lebih sebulan dengan tahap keparahannya di peringkat sederhana, terlalu awal untuk membuat kesimpulan bahawa ia tidak mendatangkan implikasi besar pada masa akan datang.

“Tahap keparahan sederhana itu hanya berpandukan kepada jangkitan respiratori. Maknanya, kita berpandukan kepada lima kategori tahap jangkitan COVID-19. Namun, masih banyak perkara yang tak diketahui contohnya mengenai bagaimana impaknya dalam isu ‘long covid’ dan kesan kepada kualiti kehidupan bekas pesakit,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata gelombang varian membimbangkan (VOC) Omicron berkemungkinan besar akan turut melanda Malaysia.

Jelasnya, Malaysia menggunakan beberapa strategi seperti memperluaskan liputan dos penggalak, mengawal pintu masuk antarabangsa dan TRIIS (uji, lapor, pengasingan, maklumkan, dapatkan) dan MySJ Trace bagi mengelakkan penularan Omicron. BH

Gelombang lebih besar jika Omicron tidak dikawal


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU</a


Aliff Syukri gila publisiti tapi realitinya lain

Janggut suami Heliza jadi tumpuan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker