Tangguh umrah, industri berhadapan dengan kerugian RM1 bilion

PETALING JAYA: Semua industri yang terlibat dengan perkhidmatan umrah dijangka menanggung kerugian RM1 bilion susulan keputusan kerajaan menangguhkan sementara perjalanan menunaikan ibadah itu bermula 8 Januari ini.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah Dan Haji (PAPUH), Datuk Seri Razali Mohd. Sham berkata, pihak terjejas bukan sahaja melibatkan agensi perkhidmatan umrah tetapi merangkumi industri lain seperti penerbangan dan penginapan serta proses yang membabitkan perjalanan jemaah ke tanah suci.

Menurut beliau, jumlah keseluruhan kerugian bakal ditanggung semua pengendali umrah sahaja sekitar RM300 juta.

“Apabila keputusan penangguhan diumumkan, sudah tentu ada jemaah mahu membatalkan perjalanan dan menuntut duit pembayaran sedangkan terdapat wang sudah dibayar lebih awal oleh pengendali seperti kos visa, penginapan dan penerbangan yang semua menelan lebih jutaan ringgit.

“Kita pun tidak tahu berapa lama tempoh penangguhan dan secara langsung memberi kesan kepada semua sektor yang terlibat umrah dengan jumlah keseluruhan bernilai RM1 bilion. Kalau para pengendali syarikat umrah sahaja, dijangka kami rugi sebanyak RM300 juta,” katanya.

Semalam, kerajaan memutuskan untuk menangguhkan sementara kebenaran perjalanan umrah bermula 8 Januari ini manakala tempahan tiket penerbangan perjalanan umrah yang baharu ditangguhkan berkuat kuasa hari ini

Bagi jemaah yang akan berlepas pada 1 hingga 7 Januari ini, mereka dibenarkan meneruskan perjalanan, namun perlu menjalani kuarantin di stesen kuarantin atau hotel yang dikenal pasti sebagai stesen kuarantin oleh Nadma apabila tiba di Malaysia.

Mengulas lanjut, Razali mengesa kerajaan menangguhkan keputusan itu di samping mengenakan prosedur standard operasi (SOP) ketat dengan menempatkan jemaah di pusat kuarantin di tempat-tempat disediakan.

Ibadah umrah ditangguhkan mulai 8 Januari – KJ

Katanya, beliau telah membangkitkan perkara itu sewaktu perbincangan dengan Kementerian Kesihatan dan agensi berkaitan yang berlangsung kelmarin, namun Nadma memberi alasan bahawa pusat kuarantin tidak mencukupi untuk menempatkan jemaah haji.

Dalam pada itu, Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd., Datuk Md. Daud Che Ngah berkata, dianggarkan kira-kira 4,500 jemaah di bawah kendaliannya terkesan dengan penangguhan tersebut dan mereka kini terpaksa menunggu sementara dalam tempoh ditetapkan sehingga keputusan seterusnya dibenarkan pergi ke tanah suci.

Katanya, walaupun ada jemaah yang sedih dengan keputusan itu, terdapat dalam kalangan mereka bimbang dengan situasi penularan Omicron dan berhasrat menangguhkan perjalanan serta-merta.

Bagaimanapun, menurut Md. Daud, bakal jemaah umrah tidak perlu khuatir kerana keputusan penangguhan bersifat sementara dan bukannya dibatalkan terus.

“Jemaah tidak rugi apa-apa kerana duit bayaran dijelaskan mereka tidak terjejas dengan penangguhan ini. Duit itu masih ada, cuma hanya sebahagian digunakan untuk membayar tambang penerbangan dan pendahuluan kos penginapan.

“Lagipun berdasarkan syarat ditetapkan kerajaan, jika penangguhan disebabkan wabak penyakit, jemaah berhak dapat pulangan bayaran cuma tidak sepenuhnya. Hal ini kerana 25 peratus daripada bayaran akan digunakan untuk kos pentadbiran,” kata beliau.

Tangguh umrah, industri berhadapan dengan kerugian RM1 bilion


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


 

Beri tempoh sebulan sebelum tangguh umrah, agensi pelancongan rayu kerajaan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker