Syarat Utama Jika Anda Mahu Mengamalkan Ayat al-Quran Agar Berkesan

Syarat Utama Jika Anda Mahu Mengamalkan Ayat al-Quran Agar Berkesan

Oleh: Dr Mahyuddin bin Ismail, Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Pahang (UMP)

Al Quran adalah merupakan satu rahmat untuk manusia khususnya umat Islam. Ia merupakan satu-satunya mukjizat Rasulullah s.a.w. yang kekal sehingga hari kiamat. Isi kandungannya mengandungi panduan dan pedoman untuk kita melayari kehidupan. Ayat-ayatnya pula menjadi penawar bagi segala penyakit sama ada penyakit rohani mahupun penyakit jasmani.



Tidak hairanlah jika ramai antara kita yang mengamalkan ayat-ayat tertentu daripada al-Quran sebagai penyembuh atau untuk hajat tertentu. Antara ayat-ayat al- Quran yang biasa diamalkan dalam masyarakat kita ialah ayat 31 dari surah al-Baqarah sebagai ayat pengasih, ayat 1 dari Surah al-Masad sebagai ayat kebal, ayat 9 dari surah Yasin untuk ghaib, ayat 2-3 dari surah al-Talaq sebagai pelaris dan ayat 31 dari surah Yusuf sebagai ayat penyeri muka.

Pengamalan ayat-ayat ini kelihatan lebih baik dari beramal dengan jampi serapah dan mantera yang merapu-rapu. Walau bagaimanapun, timbul persoalan, sejauh manakah amalan sebegini dibenarkan? Apakah syarat-syarat untuk beramal dengannya? Dan apakah kesan sekiranya amalan tersebut berlawanan dengan apa yang ditunjukkan oleh Nabi s.a.w?

Iman Yang Mantap Adalah Syarat Utama

Allah Taala telah berfirman dalam surah al-Isra: 82:



“Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran, ayat-ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya.”

Menurut Syeikh Mutawalli As-Sya’rawi dalam tafsirnya halaman 5287, ayat tersebut menunjukkan bahawa ayat-ayat al-Quran hanya menjadi rahmat dan penyembuh penyakit jika dibaca dan diamalkan oleh orang-orang yang benar-benar beriman.

Antara tanda-tanda orang yang tulen imannya ialah solatnya khusyuk, sentiasa menjauhi perkara melalaikan, menunaikan zakat, menjaga kemaluan, menepati janji, menjaga solat, baik akhlak, menghormati jiran dan sebagainya.

Ciri-ciri ini dapat dilihat dalam al-Quran dan juga hadis Nabi s.aw. Bacaan ayat-ayat al-Quran oleh mereka yang mempunyai ciri-ciri sebegini akan memberikan kesan sangat mendalam kepada yang mendengarnya tidak kira Islam mahupun orang kafir.



Peristiwa pengislaman Saidina Umar merupakan contoh terbaik. Ketika Saidina Umar mendengar ayat Quran dibaca oleh kaum musyrik di hadapannya, bertambah kebencian dan kemarahannya terhadap Islam, dan ingin ia lari dari mendengarnya.

Tetapi apabila mendengar ayat tersebut dari mulut adiknya yang telah beriman, maka terus lembut jiwanya dan terpancar cahaya keimanan dari lubuk hatinya lantas beliau terus memeluk Islam. Hal ini digambarkan oleh Allah dalam surah at-Taubah: 124-125,

“Dan apabila diturunkan sesuatu surah (dari Al-Quran) maka di antara mereka (yang munafik) ada yang bertanya (secara mengejek): “Siapakah di antara kamu yang imannya bertambah disebabkan oleh surah ini?” Adapun orang-orang yang beriman, maka surah itu menambahkan iman mereka, sedang mereka bergembira (dengan turunnya). Adapun orang-orang yang ada penyakit (kufur) dalam hati mereka maka surah Al-Quran itu menambahkan kekotoran (kufur) kepada kekotoran (kufur) yang ada pada mereka; dan mereka mati, sedang mereka berkeadaan kafir.”

Yang demikian, jelas bahawa syarat terpenting untuk menggunakan ayat al- Quran sebagai penyembuh ialah keimanan yang mantap kepada Allah. Dalam beberapa riwayat, diceritakan bahawa para sahabat Nabi s.a.w. mampu menyembuhkan pelbagai penyakit termasuk kerasukan dan penyakit gila hanya dengan membaca surah al- fatihah dan al-Ikhlas sahaja.



Keimanan dan keyakinan mereka terhadap kekuasaan Allah untuk menyembuhkan menjadi senjata utama mereka.

Syeikh Mutawalli Sya’rawi seterusnya berkata, sekiranya ayat-ayat al-Quran dibaca sebagai jampi oleh seseorang yang zalim, fasik atau munafik, maka ia tidak akan mendatangkan manfaat tetapi membawa kemudaratan.

Sekiranya pengamal ayat-ayat ini mempunyai iman yang lemah, lama-kelamaan dia akan terpedaya oleh tipu daya syaitan sehingga timbul keyakinan bahawa ayat itu yang berkuasa. Secara tidak langsung, dia telah melakukan perbuatan syirik. Apabila keadaan ini berlaku, syaitan dan jin yang jahat akan mengambil kesempatan dengan mendakwa mereka adalah khadam atau malaikat yang menjaga ayat tersebut.

Tipu Daya Syaitan Sebagai Khadam Penjaga Ayat



Allah menegaskan bahawa sesiapa yang berpaling dari inti pati dan pengajaran sebenar dari ayat yang diturunkan, maka Allah akan jadikan syaitan sebagai qarin (pendamping) yang akan menyesatkannya dari jalan yang sebenar. Firman Nya dalam surah az-Zukhruf: 36-37,

”Dan sesiapa yang tidak mempedulikan pengajaran (al-Quran yang diturunkan oleh Allah) Yang Maha Pemurah, Kami akan adakan baginya syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya), lalu menjadilah syaitan itu temannya yang tidak renggang daripadanya. Dan sesungguhnya syaitan-syaitan itu tetap menghalangi mereka dari jalan yang benar, sedang mereka menyangka bahawa mereka orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.”

Ibnu Qayyim Al Jauzi dalam tafsirnya, juzu 1, halaman 490 menyatakan bahawa al-Quran adalah jalan bagi hati seseorang mendapat ketenangan. Justeru, sesiapa yang berpaling daripada ajaran sebenar al-Quran atau menggunakan ayat al-Quran dari tujuan asal ia diturunkan, maka Allah akan jadikan baginya seekor syaitan yang menjadi Qarin. Qarin inilah yang akan berkhidmat kepada pengamalnya.

Lalu timbul tanggapan bahawa malaikat yang menjaga ayat tersebut telah menjadi penolongnya. Inilah tipu daya dalam amalan-amalan kebatinan seperti ilmu ghaib, ilmu kebal, ilmu khadam ayat dan seumpamanya.



Melalui pengalaman merawat individu-individu yang mengamalkan ilmu tertentu khususnya ilmu khadam ayat, memang mereka mengakui memperolehi banyak kebaikan. Akan tetapi, sampai satu masa, ahli keluarga mereka (biasanya isteri) terlihat lembaga menyerupai diri pengamal walhal ketika itu beliau keluar bekerja dan tidak bermalam di rumah.

Ini menunjukkan bahawa jelmaan beliau itu adalah qarin syaitan yang kononnya menjaga diri, keluarga dan kediamannya. Lama kelamaan qarin syaitan ini akan mengganggu keharmonian hidup keluarga pengamal tersebut. Wallahu a’lam Utv

Syarat Utama Jika Anda Mahu Mengamalkan Ayat al-Quran Agar Berkesan


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU</a


Syarat Utama Jika Anda Mahu Mengamalkan Ayat al-Quran Agar Berkesan

Shila Amzah mangsa keganasan rumahtangga?

Damian pertahan tindakannya sambut Krismas

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker