Tambang rel, bas tanpa had naik RM20 tahun depan

Penggunaan pas perjalanan tanpa had bernilai RM50 sebulan, My50 bagi perkhidmatan rel dan bas kendalian Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) di Lembah Klang akan bermula 1 Jan depan.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata My50 yang terbuka eksklusif untuk warga Malaysia adalah menggantikan pas perjalanan tanpa had My30, yang diperkenalkan kerajaan di bawah skim Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) pada Jun 2020.

“Tempoh promosi untuk My30 berakhir pada 31 Dis 2021, dan ia akan diganti dengan pas perjalanan RM50 sebulan, yang diumum oleh Menteri Kewangan dalam Bajet 2022 di Dewan Rakyat pada 29 Okt lepas.

“Dengan pengenalan pas perjalanan My50 ini dan dengan perkembangan baik berterusan Pelan Pemulihan Negara (PPN), pihak kementerian dan Prasarana yakin 2022 akan menyaksikan peningkatan dalam jumlah penumpang menggunakan perkhidmatan kendalian Prasarana,” katanya pada sidang media mengenai pas perjalanan tanpa had My50 itu di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata pengenalan pas perjalanan My50 itu adalah bukti kerajaan amat prihatin dengan kebajikan dan kesejahteraan rakyat khususnya dalam keadaan mencabar sekarang selaras dengan aspirasi Keluarga Malaysia.

Wee berkata secara keseluruhan untuk 2021, berdasarkan data hingga 24 Dis, purata jumlah penumpang harian yang dikendalikan Prasarana adalah 462,246 orang.

“Sebelum penularan wabak Covid-19, Prasarana pernah mengendalikan hingga 1.1 juta penumpang sehari pada 2019.

“Dengan keupayaan dan kapisiti yang dimiliknya, Prasarana mampu meningkatkan frekuensi tren dan bas kendaliannya andainya permintaan meningkat, sambil memastikan penumpang terus menikmati perjalanan yang selesa, lancar dan selamat,” katanya.

Wee berkata bagi menjayakan inisiatif pas perjalanan itu, kerajaan memperuntukkan RM115 juta bagi pembayaran subsidi untuk menampung kos yang perlu ditanggung Prasarana dalam menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam berkelas dunia.

“Biasanya untuk pas bulanan, nilainya adalah RM200. Apabila kita beri satu pas perjalanan tanpa had dengan subsidi, bermaksud RM50 rakyat bayar, RM150 akan dibayar kerajaan,” katanya.

Menurut Wee, kemudahan pas perjalanan My50 turut disediakan di Pulau Pinang untuk penggunaan tanpa had perkhidmatan bas Rapid Penang di bawah label Pas Mutiara.

Katanya walaupun pas perjalanan My30 berakhir pada 31 Dis ini, pengguna yang membeli pas perjalanan berkenaan dan Pas Mutiara sebelum ini boleh terus menikmati kemudahan itu hingga 30 Jan 2022 sebelum beralih kepada pas My50.

– Bernama

Tambang rel, bas tanpa had naik RM20 tahun depan


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Kalau dahulu PH tak batalkan Projek Canal City masalah banjir di Selangor sudah selesai

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker