Macau Scam: Penjawat awam rugi RM395,000

Macau Scam: Penjawat awam rugi RM395,000

KOTA BHARU: Seorang penjawat awam kerugian hampir RM400,000 selepas ditipu sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai insurans dan polis.

Terdahulu, pada September lalu, wanita berusia awal 50-an yang ketika itu berada di rumahnya di Machang menerima panggilan telefon daripada seorang suspek.

Menyamar sebagai pihak insurans, suspek memaklumkan mangsa membuat tuntutan insurans kemalangan sebanyak RM70,000, namun dinafikan oleh mangsa.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat, berkata pada hari sama, mangsa juga menerima panggilan telefon daripada suspek yang berbeza dan menyamar sebagai pegawai polis dan mendakwa hasil semakan lanjut mangsa terbabit dengan kes pengubahan wang haram dan akan ditangkap.

“Mangsa juga diminta menyediakan wang jaminan sebanyak RM500,000 sekiranya mahu menyelesaikan kes ini dan mangsa mendedahkan semua maklumat akaun miliknya kepada pegawai polis berkenaan.

“Mangsa juga dilarang memberitahu sesiapa mengenai siasatan ‘polis’ yang sedang dijalankan kerana bimbang akan mengancam keselamatan dirinya serta keluarga sekiranya sindiket mendapat tahu mengenai kerjasama yang diberikan mangsa kepada pihak polis,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya, bagaimanapun seminggu kemudian mangsa diarahkan mengumpulkan kesemua wang miliknya dalam satu akaun bank dan mangsa mengeluarkan wang simpanan daripada beberapa institusi kewangan berjumlah RM115,000 dan memasukkannya ke dalam satu akaun mangsa sendiri yang dipilih oleh suspek.

“Bagi menyediakan wang jaminan yang diarahkan, pada Oktober dan November lalu, mangsa membuat pinjaman dari dua bank berbeza berjumlah RM280,000 yang kemudian turut dipindahkan ke akaun bank milik mangsa.

“Selain itu, mangsa juga dalam proses membuat pinjaman dengan sebuah lagi institusi kewangan kerana wang jaminan belum cukup,” katanya.

Shafien berkata, Khamis lalu, mangsa membuat semakan baki akaun bank miliknya dan mendapati semua wang simpanan serta wang pinjaman yang dibuatnya sebelum ini telah dipindah keluar ke akaun bank pihak ketiga tanpa pengetahuan dan kebenaran mangsa.

“Mangsa terus membuat laporan polis dan kes ini dalam siasatan pihak kami bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang jika disabitkan kesalahan pesalah boleh dipenjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih daripada 10 tahun dan dengan sebat dan boleh dikenakan denda,” katanya. BH

Macau Scam: Penjawat awam rugi RM395,000


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU

‘Mejar Shuhada’ perdaya mangsa, liwat mangsa lelaki

Aksi Polis Serbu Geng Motosikal Di Stesen Minyak (video)

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker