DAP Sabah tarik diri daripada MoU bersama kerajaan

KOTA KINABALU: Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sabah memutuskan untuk tidak menyertai perjanjian persefahaman (MoU) atau agenda reform antara pembangkang dan kerajaan negeri.

Setiausaha DAP Sabah, Phoong Jin Zhe berkata, keputusan itu dibuat selepas mencapai kata sepakat daripada semua kepimpinan DAP negeri dalam mesyuarat yang diadakan pada dua minggu lalu.

“Dalam mesyuarat itu, kami berbincang sama ada DAP patut sertai Pakatan Harapan (PH) Sabah untuk berbincang mengenai perjanjian persefahaman (MoU) atau agenda reformasi dengan kerajaan negeri.

“Kami membuat keputusan secara sebulat suara untuk tidak menyertai sebarang kerjasama atau agenda reform dengan kerajaan negeri,” katanya dalam sidang akhbar semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Luyang itu berkata, DAP Sabah berpendapat kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sudah mengukuhkan kedudukan mereka di Sabah maka, tiada keperluan untuk menjalin kerjasama demi kestabilan politik di negeri ini.

Jelas beliau, situasi politik Sabah dan persekutuan tidak sama kerana semasa Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai Perdana Menteri pada tiga bulan lalu, situasi politik di sana tidak stabil.

Untuk makluman, DAP Sabah juga bukan pihak bertanggungjawab untuk mendesak agar agenda reform ini dimeterai bersama kerajaan.

“Saya tidak mahu sebutkan siapa tapi, apabila ada media menyatakan DAP Sabah yang mencadangkan MoU atau agenda reformasi ini, itu tidak benar. Keputusan untuk tidak sertai agenda reform antara pembangkang dan kerajaan GRS ini juga sudah dimaklumkan kepada PH Sabah,” katanya.

Pada 15 November lalu, PH Sabah mengadakan pertemuan dengan kerajaan negeri bagi mengemukakan agenda reform bagi membentuk kerjasama antara blok pembangkang dan kerajaan demi memastikan hak rakyat Sabah dapat diperjuangkan.

Agenda reform itu mempunyai tujuh syor utama termasuk menuntut hak autonomi Sabah dan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Pertemuan itu turut dihadiri Pengerusi DAP Sabah, Datuk Frankie Poon bersama kepimpinan PH Sabah yang lain.

DAP Sabah tarik diri daripada MoU bersama kerajaan


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


KWSP sedia RM10 juta program bantu mangsa banjir

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker