500,257 pencari kerja dapat peluang pekerjaan

PETALING JAYA: Sebanyak 500,257 pencari kerja mendapat peluang pekerjaan melalui 27 inisiatif yang dilaksanakan kerajaan melalui Majlis Pekerjaan Negara (NEC) sehingga 3 Disember lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkembangan itu melangkaui sasaran 500,000 peluang pekerjaan seperti ditetapkan Kementerian Kewangan melalui Belanjawan 2021.

Kata beliau, kejayaan itu lebih bermakna memandangkan pasaran buruh menghadapi pelbagai cabaran getir akibat penularan Covid-19 sejak Mac 2020 sehingga pengangguran melonjak kepada kadar tertinggi 5.3 peratus pada Mei tahun sama.

Beliau menjelaskan, antara inisiatif utama yang menyumbang kepada pencapaian kejayaan tersebut adalah Program Insentif Pengambilan Pekerja (PenjanaKerjaya) dan Malaysia Short Term Employment Programme (MySTEP).

“PenjanaKerjaya 2.0  berjaya menempatkan seramai 221,966 pekerja melangkaui sasaran keseluruhan 200,000 peluang pekerjaan bagi 2021.

“PenjanaKerjaya dikendalikan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menyediakan insentif penggajian sehingga 60 peratus daripada gaji bulanan kepada majikan serta program latihan kemahiran tinggi atau sijil profesional kepada pekerja sehingga RM7,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri menambah, MySTEP yang merupakan inisiatif kerajaan dengan nilai RM700 juta  melangkaui sasaran keseluruhan 50,000 peluang pekerjaan bagi tahun 2021.

Katanya, program itu menempatkan seramai 61,328 pekerja secara kontrak selama sekurang-kurangnya enam bulan di pelbagai kementerian dan agensi kerajaan serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Daripada jumlah tersebut, seramai 41,680 pekerja ditempatkan di sektor awam manakala 19,648 pekerja pula ditempatkan di GLC dan rakan-rakan strategik mereka.

“Di bawah program tersebut, pemohon ditempatkan di pelbagai kementerian dan agensi,” jelasnya.

Ia seperti Kementerian Kewangan, Kementerian Pengajian Tinggi, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Petronas, Permodalan Nasional Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja Malaysia (KWSP) dan Khazanah Nasional.

“Sejak program PenjanaKerjaya 2.0 dan MySTEP mula dilaksanakan pada Januari 2021, jumlah pekerjaan disediakan sentiasa mengatasi sasaran bulanan ditetapkan,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, selain PenjanaKerjaya 2.0 dan MySTEP, kerajaan mewujudkan lebih 123,312 pekerjaan baharu melalui pelaburan dalam negara dan 74.2 peratus daripadanya dalam kategori mahir dan separuh mahir.

Beliau berkata, jumlah tersebut adalah sebahagian daripada pekerjaan baharu yang terhasil daripada komitmen pelaburan bagi 2021.

Kata beliau lagi, kerajaan melalui belanjawan di bawah inisiatif JaminKerja Keluarga Malaysia (JaminKerja) menyediakan 600,000 peluang pekerjaan dengan peruntukan berjumlah RM4.8 bilion melalui pelbagai program.

Beliau menjelaskan, antara program itu adalah Perkeso meneruskan usaha pengambilan pekerja melalui inisiatif JaminKerja dengan peruntukan sejumlah RM2 billion.

“Kerajaan akan memberi insentif sebanyak 20 peratus daripada gaji bulanan bagi tempoh enam bulan pertama dan 30 peratus bagi enam bulan berikutnya tertakluk kepada pekerjaan bergaji RM1,500 ke atas.

“Kerajaan berharap usaha ini dapat mewujudkan 300,000 peluang pekerjaan baharu bagi 2022,” tambah beliau.

Ismail Sabri menambah, selain itu ia membabitkan penerusan inisiatif MySTEP dengan penawaran 80,000 peluang pekerjaan secara kontrak merangkumi 50,000 pekerjaan dalam sektor awam dan 30,000 pekerjaan dalam GLC dan rakan-rakan strategik mereka mulai Januari 2022.

Pada masa sama, beliau memaklumkan, kerajaan yakin strategi NEC dapat meneruskan momentum penciptaan pekerjaan selaras dengan pemulihan dan pembukaan pelbagai sektor ekonomi.

“Seterusnya NEC juga berusaha menangani isu-isu berkaitan seperti kekurangan pekerja dalam sektor tertentu, kesaksamaan peluang untuk golongan rentan serta isu berkaitan penggajian.

“Perkembangan ini sekali gus dapat memperkasa pendapatan isi rumah Keluarga Malaysia terutama kumpulan asnaf, B40 dan M40.

“Inisiatif ini amat penting selepas pelbagai sektor ekonomi dibuka, kerajaan memastikan mereka yang kehilangan pekerjaan dapat memulihkan penjanaan pendapatan isi rumah Keluarga Malaysia,” katanya.

Beliau kemudian merakamkan ribuan terima kasih kepada semua kementerian, agensi kerajaan dan GLC yang telah sama menyumbang kepada kejayaan penciptaan pekerjaan melangkaui sasaran tahun 2021. – UTUSAN ONLINE

500,257 pencari kerja dapat peluang pekerjaan


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Berjoget lepas sah cerai depan pejabat agama

‘Asean Lady’ Milik Vincent Tan Akan Dijual Pada Harga RM143 Juta

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker