Wanita ditemui mati dengan kesan kelar

GEORGETOWN – Seorang wanita Indonesia ditemui mati dengan kesan kelar di leher serta beberapa kecederaan lain dalam sebuah rumah di Apartmen Sri Nipah, Sungai Nibong di sini malam Ahad.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisiner Soffian Santong berkata, mayat wanita dipercayai berusia 45 tahun itu ditemui oleh dua lelaki Bangladesh yang merupakan penyewa rumah terbabit kira-kira jam 11.30 malam.

Menurutnya, kedua-dua lelaki berkenaan kemudiannya membuat laporan polis di Balai Sungai Nibong selepas mendapati wanita yang berlumuran darah itu tidak lagi bernyawa.”Sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Timur Laut bersama pasukan forensik bergegas ke lokasi kejadian menemui mayat wanita itu di tingkat tiga apartmen berkenaan.

“Pemeriksaan dilakukan forensik menemui kesan kelar di bahagian leher sepanjang 13 sentimeter, kesan kelar di belakang telinga, perut serta dada mangsa,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.

Soffian berkata, pemeriksaan lanjut pada mayat juga menemui seutas tali dan kesan ikat pada lengan serta kaki mangsa.

Jelasnya, siasatan lanjut di lokasi kejadian berjaya menemukan dua bilih pisau yang salah satunya mempunyai kesan darah dipercayai digunakan suspek dalam pembunuhan itu.

Beliau berkata, polis turut menemui salinan dokumen pengenalan diri dipercayai milik mangsa di lokasi kejadian namun pihaknya akan melakukan semakan terlebih dahulu sebelum dapat mengesahkan identiti wanita terbabit.

“Menurut saksi kejadian, kali terakhir mereka melihat mangsa di rumah berkenaan pada Ahad kira-kira jam 7.30 pagi.

“Saksi memaklumkan mereka dengar bunyi pertengkaran dalam sebuah bilik sebelum kedua-duanya keluar ke tempat kerja namun selepas mereka pulang pada sebelah malam, saksi melihat wanita itu sudah tidak bergerak,” katanya.

Mengulas lanjut, Soffian berkata, suspek warga Bangladesh yang juga penyewa rumah berkenaan dipercayai telah melarikan diri selepas membunuh mangsa.

Katanya, pihaknya kini sedang mengumpul maklumat serta mengenal pasti identiti lelaki berusia 37 tahun itu dan percaya suspek akan ditangkap dalam masa terdekat.

Tambahnya, polis menahan dua lelaki warga Bangladesh yang merupakan teman serumah suspek untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Wanita ditemui mati dengan kesan kelar


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Cukuplah politik benci – Azalina pertahan MP DAP isu pakai tudung

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker