PM sifatkan lawatan rasmi ke Singapura berjaya

Sebaran :

SINGAPURA: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan lawatan rasmi pertamanya ke Singapura sebagai berjaya.

Perdana Menteri, turut menyampaikan penghargaan kepada kerajaan Singapura terutama rakan sejawatannya Lee Hsien Loong terhadap sambutan sangat mesra dengan semangat kekeluargaan.

“Hubungan kedua-dua negara sangat rapat, sebagai negara jiran yang mempunyai sejarah begitu lama,” katanya pada sidang media bersama petugas media Malaysia selepas lawatan berakhir.

Ini lawatan rasmi pertama Ismail Sabri ke republik Singapura sebagai Perdana Menteri, sebagai memenuhi undangan Hsien Loong.



Ia juga lawatan kedua Ismail Sabri ke negara jiran sejak mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia kesembilan pada 21 Ogos lalu.

Beliau yang tiba di sini awal pagi ini turut bersama Hsien Loong melancarkan Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) melalui udara dan sempadan darat antara Malaysia dan Singapura di Woodlands Checkpoint.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, dalam pertemuan empat mata bersama Hsien Loong, pembukaan VTL laut yang menghubungkan Tanah Merah ke Desaru dan juga ‘cruise’ dari Singapura ke Pelabuhan Klang dan Langkawi turut dibincangkan.

“Kita percaya pembukaan lebih banyak akan memberi faedah kepada seluruh negara, bukan saja dari segi pelancongan yang terjejas teruk akibat penutupan sempadan malah kepada perdagangan,” katanya.



Beliau berkata, pembukaan sempadan bersama Singapura yang juga rakan dagangan Malaysia terbesar diyakini memberi tempias kepada Johor, khususnya dan kawasan bersempadan seperti Melaka yang juga destinasi pilihan rakyat Singapura.

Perdana Menteri juga berkata, kategori pengguna bagi VTL darat mungkin akan diperluas selepas 23 Disember ini, namun ia bergantung kepada kesan pembukaan fasa pertama VTL darat.

“Ia sebagai ‘trial basis’ atau percubaan awal untuk melihat kesan kepada pembukaan ini. Kita tidak mahu juga selepas pembukaan, timbul kes meningkat. Kita akan pantau dan kita akan buka lebih banyak lagi.

 

Ismail Sabri melakukan kunjungan hormat ke atas Halimah di Istana. FOTO BERNAMA
Ismail Sabri melakukan kunjungan hormat ke atas Halimah di Istana. FOTO BERNAMA

 

“Jika kes tidak meningkat, lebih banyak ruang yang akan kita berikan untuk melonggarkan perjalanan rakyat kedua-dua negara,” katanya.



Ketika ini inisiatif VTL darat hanya membenarkan pengguna yang warga Malaysia, Singapura dan pemastautin serta pemilik Pas Jangka Panjang Singapura dan Malaysia.

Ditanya adakah skim VTL akan diperluas ke negara lain selain Singapura, Ismail Sabri berkata, beliau berharap perbincangan dapat dilakukan dengan negara jiran di utara, Thailand.

Beliau juga berharap untuk mewujudkan lebih banyak laluan seperti ‘green travel bubble’ dengan Australia, New Zealand, Jepun, Korea Selatan dan sebahagian wilayah di China, yang kes COVID-19 di negara masing-masing dilihat terkawal.

Dalam lawatan rasminya ke Singapura hari ini, Ismail Sabri menghadiri majlis sambutan di Istana di sini dengan memeriksa kawalan kehormat dan seterusnya menandatangani buku pelawat.

Perdana Menteri turut diberi penghormatan apabila satu spesis hibrid anggerik baharu dinamakan sempena namanya dan beliau kemudiannya membuat kunjungan hormat ke atas Presiden Singapura, Halimah Yacob.

Turut hadir, Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah. – BERNAMA

 

Ismail Sabri (kiri) dan rakan sejawatnya Hsien Loong merasmikan pelaksanaan VTL melalui udara dan sempadan darat antara kedua-dua negara di Woodlands Checkpoint hari ini. FOTO BERNAMA
Ismail Sabri (kiri) dan rakan sejawatnya Hsien Loong merasmikan pelaksanaan VTL melalui udara dan sempadan darat antara kedua-dua negara di Woodlands Checkpoint hari ini. FOTO BERNAMA


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Omicron: Wajar sekat kemasukan pengembara luar wajar


Sebaran :

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *