Cadangan baharu HSR, Singapura terima cadangan Malaysia

Sebaran :

SINGAPURA, 29 Nov — Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (kiri) dan rakan sejawatannya dari Singapura, Lee Hsien Loong (kanan) ketika sidang media bersama selepas mengadakan pertemuan empat mata di Istana hari ini. Sidang media bersama itu disiarkan secara langsung menerusi laman Facbook Lee.
–fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong berkata republik itu terbuka menerima cadangan baharu dari Malaysia berkaitan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura walaupun kedua-dua negara itu sebelum ini bersetuju menamatkan projek berkenaan.

Hsien Loong berkata, Kementerian Pengangkutan dari kedua-dua negara akan membincangkan perkara itu dan Singapura berharap menerima butiran lebih terperinci dari Malaysia.

“Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) mencadangkan perbincangan mengenai HSR dihidupkan semula dan saya menjawab Singapura dan Malaysia mencapai persetujuan sebelum ini untuk menamatkan projek HSR, dan ini diselesaikan secara baik.

“Bagaimanapun, Singapura terbuka menerima cadangan baharu dari Malaysia mengenai projek HSR dan kementerian pengangkutan kedua-dua negara akan membincangkan perkara itu.



“Singapura berharap menerima butiran lebih terperinci dari Malaysia agar kami boleh mengkajinya dan menimbangkan sekali lagi perkara itu,” katanya.

Hsien Loong berkata demikian pada sidang media bersama Ismail Sabri hari ini yang juga disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook rasmi beliau.

Sidang media bersama itu diadakan bersempena dengan pelancaran Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin jalan darat (VTL-Darat) di Singapura.

Pada 1 Januari lalu, Malaysia dan Singapura mengumumkan bersama penamatan projek HSR apabila kedua-dua negara gagal mencapai persetujuan bagi perubahan yang dicadangkan Malaysia sebelum perjanjian projek itu luput pada 31 Disember 2020.



Pada Mac tahun ini, Malaysia mengumumkan ia membayar SG$102.8 juta (SG$1=RM3.09) kepada Singapura bagi kos yang ditanggung untuk pembangunan projek HSR dan berkaitan dengan pelanjutan penangguhannya.

Sementara itu mengenai projek Laluan Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru- Singapura, Hsien Loong berkata, pembinaan projek itu sedang berjalan dan kedua-dua negara berharap sistem itu dapat memulakan perkhidmatan penumpangnya menjelang akhir tahun 2026.

Laluan RTS itu adalah projek kereta api rentas sempadan sepanjang empat kilometer yang menghubungkan antara terminal stesen Woodlands North di Singapura dan terminal stesen Bukit Chagar di Johor Bahru, Malaysia

Ia akan menyokong kapasiti kemuncak 10,000 penumpang sejam di kedua-dua arah.



Sementara itu, Ismail Sabri dalam satu sidang media di Singapura berkata perbincangan mengenai cadangan baharu pelaksanaan semula projek HSR akan diadakan bersama dengan kedua-dua kementerian pengangkutan Malaysia dan Singapura dan ia akan dibawa ke kabinet.

“Perkara ini masih terlalu awal. Nanti kita akan lihat secara terperinci kerana perjanjian lama ditamatkan tetapi kalau kita mahu ‘revisit’ (kaji semula), ia memerlukan perjanjian baharu,” katanya. – BERNAMA

Cadangan baharu HSR, Singapura terima cadangan Malaysia


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Sayang Melaka Kononnya… Kenapa Batalkan HSR? Soal Sulaiman


Sebaran :

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *