Utamakan bahasa Melayu dalam persidangan, mesyuarat – PM

Sebaran :

Utamakan bahasa Melayu dalam persidangan, mesyuarat – PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegur pihak swasta, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan agensi kerajaan yang tidak mengutamakan penggunaan bahasa Melayu dalam program mereka.

Ismail Sabri berkata, beliau mendapati bahasa Inggeris lebih digunakan termasuk dalam mesyuarat melibatkan agensi terlibat dan GLC.

Malah, penggunaan nama syarikat, projek perumahan dan jenama produk kini juga menjadi lumrah dengan tidak menggunakan bahasa Melayu.



“Saya berharap setiap persidangan, mesyuarat dan lain-lain mesti menggunakan bahasa Melayu selepas ini. Siapa lagi boleh mengangkat bahasa Melayu melainkan kita sendiri.

“Sebagai Keluarga Malaysia dan empunya bahasa ibunda ini, kita harus berasa bangga kerana di celah-celah ruang penguasaan teguh bahasa Inggeris, bahasa Melayu tetap ampuh mencorak ritma yang tersendiri dan sentiasa mekar di persada tamadun dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Malam Kemuncak Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2021 di Dewan Sultan Iskandar, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di sini malam ini.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.



Ismail Sabri berkata, keunggulan bahasa Melayu tidak berlaku kepada semua bahasa utama dunia lain kerana terdapat bahasa yang lenyap ditelan arus globalisasi, manakala sebahagian yang lain berhadapan dengan ancaman kepupusan.

“Kita harus bersyukur kerana perkara itu tidak berlaku kepada bahasa Melayu. Semuanya hasil kesepaduan rumpun nusantara yang terdiri daripada Malaysia, Indonesia dan Brunei selaku pendukung utama.

“Dengan itu adalah tidak mustahil jika bilangan penutur bahasa Melayu di dunia yang kini sudah melebihi 300 juta orang akan lebih berkembang sekaligus mengembalikan zaman kegemilangan ‘lingua franca’ bahasa Melayu,” katanya.

Tambah Perdana Menteri, bahasa Melayu juga berjaya melepasi ujian masa dan zaman selain pelbagai usaha sedang dilakukan untuk mengembang dan memperkasa penggunaan bahasa Melayu baik di peringkat nasional mahupun antarabangsa seiring dengan perubahan teknologi.



Menurut Ismail Sabri, Malaysia mahu mengulangi sejarah kegemilangan bahasa Melayu dengan menjadikan bahasa itu sebagai bahasa pengungkap ilmu dan bahasa antarabangsa abad ke-21.

“Kerajaan komited untuk memastikan dasar-dasar yang digubal menyokong usaha pemartabatan bahasa Melayu. Untuk itu, kerajaan sangat menggalakkan pelaksanaan program dan aktiviti kebahasaan dan kesusasteraan yang dapat menyemarakkan lagi roh kecintaan terhadap bahasa Melayu,” katanya.

Dalam PABM kali ke-14, seramai 78 peserta dari 36 negara menyertai pertandingan ini melalui tiga kategori iaitu Pelajar Antarabangsa, Alam Melayu dan Pelajar Antarabangsa yang menetap di Malaysia. K Online

Utamakan bahasa Melayu dalam persidangan, mesyuarat – PM


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU

Buli jalan raya rampas beg tangan (Video)

Satu Malaysia kena ‘game’ dengan Tauke


Sebaran :

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *