Kenali Imam Mahdi sebenar
Kenali Imam Mahdi sebenar
oleh Dr Khairul Asyraf Mohd Nathir
Imam al-Mahdi adalah seorang insan yang akan dilahirkan di akhir zaman bagi memberi petunjuk kepada manusia yang mula hilang arah dan tujuan sebenar beragama. Dengan kedudukan Imam al-Mahdi yang agong, kita diperlihatkan mutakhir ini ada sosok manusia yang mula mengaku secara langsung bahawa dia adalah Imam al-Mahdi. Tidak sekadar pengakuan yang biasa, bahkan mereka yang taasub mula menjadikannya sebagai ‘tuan’ sehingga Imam al-Mahdi palsu memiliki ramai pengikut yang sesat dan menyesatkan.
Pengakuan sesetengah manusia sebagai Imam al-Mahdi ini bukan hanya berlaku pada zaman ini sahaja, bahkan telah dikenali sejak zaman berzaman sebelum ini lagi. Di antara individu yang pernah membuat dakwaan bahawa dia adalah al-Mahdi ialah Ubaidullah bin Maimun al-Qaddah yang merupakan pengasas Daulah Fathimiyah. Muhammad bin Tumart membuat dakwaan jahat lagi dusta bahawa dirinya adalah al-Mahdi al-Muntazhar. Al-Mahdi kelompok Kaisan yang menyangka bahawa al-Mahdi adalah Muhammad bin al-Hanafiah. Kewujudan individu ini secara asasnya adalah keyakinan mereka bahawa akan turunnya Imam al-Mahdi, namun disebabkan ketaasuban, mereka dengan sendirinya melantik diri mereka sebagai al-Mahdi akhir zaman.
Imam al-Mahdi merupakan manusia yang akan muncul di akhir zaman sebagaimana hadis yang menceritakan perihal beliau. Peranan beliau adalah menguasai keseluruhan bangsa Arab sebagaimana sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Dunia tidak akan berlalu pergi sehinggalah bangsa Arab akan dikuasai oleh seorang lelaki daripada kalangan ahli baitku yang namanya bersamaan dengan namaku.” (Hadis Riwayat al-Tirmizi)
Beliau akan turut serta memenuhi bumi dengan keadilan dan saksama selama tujuh tahun. Perkara ini berdasarkan hadis Baginda Nabi SAW yang bermaksud: “Al-Mahdi daripadaku. Dahinya luas dan hidungnya mancung. Dia akan memenuhkan bumi dengan keadilan sebagaimana ia dahulunya dipenuhi dengan kezaliman dan dia akan menguasai selama tujuh tahun.” (Hadis Riwayat Abu Daud)
Al-Mahdi ialah Muhammad bin Abdillah al-Alawi al-Hasani dari zuriat al-Hasan bin Ali bin Abi Thalib RA. Di dalam kitab al-Tazkirah, al-Imam al-Qurthubi menyebut bahawa kelahiran Imam al-Mahdi adalah di negara Maghrib. Sebahagian ulama pula berkata bahawa al-Mahdi dilahirkan di Andalus. Walau bagaimanapun pendapat yang paling tepat ialah yang diriwayatkan daripada Abu Nu’aim daripada Hammad daripada Ali bin Abi Thalib RA bahawa al-Mahdi dilahirkan di Madinah.
Kemunculan Imam Al-Mahdi adalah petunjuk kepada sekalian manusia yang mula hanyut dan terpalit dengan kezaliman yang banyak berlaku. Silsilah keturunan Imam Al-Mahdi ini adalah berdasarkan sabda Nabi SAW daripada Abdullah bin Mas’ud RA beliau berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda maksudnya: “Sekiranya tidak berbaki daripada dunia itu melainkan hanya satu hari nescaya Allah akan memanjangkan hari tersebut sehinggalah Dia mengutuskan seorang lelaki pada hari tersebut yang mana lelaki itu daripada kalangan aku – atau daripada ahli baitku – Namanya berbetulan dengan namaku dan nama bapanya berbetulan dengan nama bapaku. Dia akan memenuhi bumi dengan penuh adil dan saksama sebagaimana ia (bumi) dahulunya dipenuhi oleh kegelapan dan kezaliman.” (Hadis Riwayat Abu Daud)
Menurut al-Imam Ibn Kathir Rahimahullah: Iaitu Allah mengampunkannya dan memberi taufiq kepadanya serta Allah memberi ilham dan petunjuk kepadanya sedangkan dia tidak diberikan perkara tersebut sebelumnya.
Diriwayatkan daripada Thauban RA beliau berkata, Rasulullah SAW telah bersabda maksudnya: “Apabila kalian melihat panji-panji hitam telah datang dari arah Khurasan maka datangilah ia. Kerana sesungguhnya padanya terdapat Khalifah Allah al-Mahdi.” (Hadis Riwayat al-Hakim)
Berdasarkan perbahasan ulama, terdapat tanda-tanda yang terdapat pada Imam Al-Mahdi antaranya di bahagian bahu beliau terdapat tanda yang sama pada bahu Nabi SAW. Beliau akan berkumpul bersama Nabi Isa AS dan Nabi Isa akan bersolat di belakangnya. Pada ketika itu, penduduk bumi akan merasa cukup pada zaman kekuasaannya dan banyaknya keberkatan dari bumi akan keluar. Keistimewaan beliau juga ialah apabila menanam satu batang kayu di atas tanah yang kering lalu ia akan menjadi hijau dan berdaun.
Di antara sifat-sifat keperibadian al-Imam al-Mahdi adalah seperti berikut:
• Beliau merupakan seorang anak Adam.
• Dahinya luas dan hidungnya mancung.
• Kedua-dua matanya bercelak.
• Wajahnya bercahaya seakan-akan beliau adalah bintang yang menyinar.
• Di bahagian bahunya ada tanda seperti yang terdapat pada Rasulullah SAW.
• Warna kulitnya adalah warna orang Arab dan tubuhnya seperti tubuh orang Israel.
• Umurnya 40 tahun dan dalam sebahagian riwayat 30 hingga 40 tahun.
• Akhlak beliau menyerupai akhlak Nabi SAW.
Al-Imam al-Hafiz Ibn Kathir di dalam kitab al-Fitan wal-Malahim, berkata: “Aku menyangka bahawa keluarnya al-Mahdi berlaku ketika turunnya Nabi Isa AS. Ini berasaskan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdullah Radhiallahu anhu beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Isa bin Maryam turun lalu berkata pemimpin mereka (Al-Mahdi): Marilah solat bersama kami. Lalu Isa berkata: “Tidak, sesungguhnya sebahagian kalian menjadi pemimpin atas sebahagian yang lain. Kemuliaan Allah kepada umat ini.” (Hadis Riwayat Muslim)
Walau bagaimanapun, terdapat beberapa pandangan daripada ulama berkaitan kemunculan Imam al-Mahdi:
Pandangan pertama: Imam al-Mahdi adalah seorang pemimpin soleh yang Allah SWT utuskan untuk memenuhkan bumi dengan keadilan sebagaimana ia telah dipenuhi dengan kezaliman. Beliau menjadi seorang mujaddid (tokoh pembaharuan) untuk agama ini.
Ibn Khaldun menjelaskan bahawa pendapat yang masyhur di sisi umat Islam keseluruhannya kelak akan munculnya seorang lelaki daripada kalangan ahli bait yang akan menguatkan agama, menzahirkan keadilan dan diikuti oleh kaum Muslimin dan beliau akan menguasai ke atas kerajaan Islam. Beliau dinamakan sebagai Al-Mahdi. Sesungguhnya Isa akan datang selepasnya dan membunuh Dajjal atau Isa turun bersama-samanya (al-Mahdi) lalu dia membantunya untuk membunuh Dajjal dan Nabi Isa menjadi makmum kepada al-Mahdi semasa solatnya
Pandangan kedua: Mereka yang menolak kewujudan al-Mahdi dan menafikan kemunculannya pada akhir zaman disebabkan kelemahan dalam pemahaman terhadap hadis akhir zaman.
Justeru itu, Imam al-Mahdi merupakan salah satu tanda daripada tanda kiamat besar yang akan berlaku kelak. Maka kepercayaan terhadap kewujudannya adalah sebagaimana keimanan kita terhadap Hari Kiamat yang akan meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT.
Penulis Pensyarah Kanan, Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)
Kenali Imam Mahdi sebenar
Baca Artikel Menarik :
- Katak lompat masuk Bersatu, dah tu gubal undang-undang anti lompat kenapa?
- Kes lelaki maut dicekik, 2 beranak ditahan reman
- Aishah bercerai lagi?
- Prof Ridhuan Tee beri amaran: Takkan nak tunggu Pulau Pinang jadi Singapura kedua? [VIDEO]
- Penunggang motosikal terbabas lihat gadis penjual penkek [VIDEO]
- Nik Abduh, Khairuddin dan Zuhdi dilantik untuk elak perpecahan
- Bekas PM kata Melayu malas, sedangkan nelayan keluar sebelum maghrib, balik subuh – Ismail
- Gempar mayat bogel bangun berjalan
- Pas tolak MN kalau hanya ada UMNO sahaja – Hadi
- Seronok Penyanyi Dangdut Amelina Diam-Diam Naik Pelamin, Peminat Siap Ucap Tahniah [VIDEO]
- Ramai sedih lihat budak jual gam
Layari Laman Facebook MYKMU
Maradona Dikebumikan Tanpa Jantung, Mahu Elak Dicuri Oleh Peminat
Guna Android Box Tonton Siaran Swasta Tapi Tak Bayar, Ini Respon Mufti
You must be logged in to post a comment.