Mohamad Ali mahu bersihkan parti dari pembelot

Calon Umno Sungai Udang Mohamad Ali Mohamad yang mengalami kekalahan mengejut kepada Perikatan Nasional (PN) dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka berikrar untuk membersihkan partinya dari “pembelot” dan “pengkhianat”.

Mohamad Ali, yang juga timbalan ketua Umno Melaka berkata walaupun BN berjaya menguasai kerajaan Melaka, dia menerima laporan kurang menyenangkan mengenai tindakan sesetengah ahli Umno.

Katanya, antara aduan yang diterimanya ialah pihak berkenaan tidak membantu BN, membantu musuh atau sabotaj parti kerana tidak berpuas hati dengan keputusan pimpinan pusat.

“Sebelum ini juga, ada sebilangan ahli Umno yang ketika Umno susah hanya mendiamkan diri, tidak keluar untuk berjuang, malah ada yang sanggup tinggalkan Umno.

“Setelah Umno berkuasa semula barulah mereka ini hendak tunjuk muka dan berjuang, malah ada yang cuba mengenepikan sahabat seperjuangan yang kekal setia bersama Umno dalam susah dan senang. Ini satu sikap yang tidak baik.

“..Saya bersama Jawatankuasa Umno Bahagian Tangga Batu akan membuat pembersihan parti Umno untuk menyingkirkan pengkhianat dan pembelot dalam Umno Bahagian Tangga Batu.

“Ia perlu dilakukan demi menguatkan lagi parti Umno dalam Bahagian Tangga Batu agar tiada lagi musuh dalam selimut.

“Saya akan meminta semua Ketua Cawangan Umno di dalam Bahagian Tangga Batu untuk menghantar laporan dan bukti dalam mengenal pasti mana-mana ahli Umno yang telah menjadi pengkhianat, pembelot dan tidak setia serta sanggup sabotaj PRN Melaka sebelum ini,” katanya dalam kenyataan yang dikongsi di Facebook.

Mohamad Ali kalah di Sungai Udang dengan majoriti 530 undi. Dia menerima 6,259 undi berbanding 6,789 undi yang diperoleh Dr Mohd Aleef Yusof dari PN. Calon PH mendapat 2,035 undi manakala calon bebas mendapat 471 undi.

Kekalahan di kawasan pilihan raya di mana 42 peratus daripada pengundi berdaftar adalah anggota tentera, anggota polis dan pasangan mereka mengejutkan kerana ia secara tradisinya dilihat sebagai ‘simpanan tetap’ kepada BN.

Sungai Udang adalah satu daripada empat kerusi negeri dalam kawasan parlimen Tangga Batu. Kerusi DUN lain adalah Pantai Kundor, Paya Rumput, Kelebang.

Pada PRN Melaka Sabtu lalu, BN memenangi majoriti dua pertiga selepas menawan 21 daripada 28 kerusi DUN. PH menang lima kerusi manakala PN meraih dua kerusi. Mk

Mohamad Ali mahu bersihkan parti dari pembelot


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU

Isteri Fizo, cantik dan bijak – Netizen

PN kalah di PRN Melaka kifarah atas kesombongan Muhyiddin

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker