Arab Saudi lancar liga bola sepak wanita

PEMAIN Pasukan Kebangsaan Wanita Arab Saudi mengadakan latihan di Stadium Putera Faisal bin Fahad, Riyadh pada 2 November lalu. – AFP

 

RIYADH – Arab Saudi melancarkan liga bola sepak wanita pertamanya hari ini sekali gus membuka laluan untuk wanita menjadi pemain profesional, malah turut bermain pada Piala Dunia.

Usaha pembaharuan itu berlaku bulan ini apabila Persekutuan Bola Sepak Arab Saudi mengumumkan pembentukan liga bola sepak wanita di mana sebanyak 16 pasukan akan me­nyertai perlawanan di Riyadh, Jeddah dan Damman.

Antara mereka yang teruja termasuk Farah Jafri yang menyatakan bahawa dia berharap dapat menjadi pemain profesional dan bermain dalam liga utama England di samping mewakili negara ke Piala Dunia suatu hari nanti.

“Saya berdepan detik sukar kerana tidak semua orang (di Arab Saudi) dapat menerima wanita bermain bola sepak.

“Bagaimanapun, keluarga dan rakan-rakan banyak memberikan galakan,” kata remaja perempuan berumur 18 tahun tersebut.

Arab Saudi melaksanakan pemerintahan Islam, manakala penglibatan wanita dalam sukan mendapat tentangan sesetengah pihak.

Bagaimanapun, sejak Putera Mahkota Mohammed bin Salman berkuasa pada 2017,  sebilangan sekatan terhadap wanita telah ditarik balik menerusi langkah pembaharuannya.

Perubahan itu antara lain membolehkan wanita memandu dan  menyertai perhimpunan bercampur antara jantina.

Arab Saudi setakat ini me­nubuhkan tiga pusat latihan untuk perempuan berumur 13 tahun hingga 17 tahun di seluruh negara dengan rancangan menambah pusat berkenaan menjadi sembilan menjelang 2025.

Pada minggu ini, warga Jerman, Monika Staab dilantik sebagai ketua jurulatih pasukan kebangsaan wanita Arab Saudi yang diberi jolokan ‘Helang Hijau’. – AFP

Arab Saudi lancar liga bola sepak wanita


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Manchester United pecat Ole Solskjaer

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker