KPM akan keluarkan jadual baharu SPM

KPM akan keluarkan jadual baharu SPM

Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengeluarkan jadual baharu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 dalam masa yang terdekat.

Menteri Kanan Pendidikan, Dr Radzi Jidin, berkata beliau sudah mengadakan perbincangan bersama Lembaga Peperiksaan Malaysia serta Pengurusan Tertinggi KPM berhubung isu jadual peperiksaan SPM yang mengundang reaksi daripada pelbagai pihak.

“Kami menerima banyak pandangan daripada ibu bapa dan calon SPM 2021 berkaitan dengan jadual peperiksaan SPM yang dikeluarkan KPM dan mengambil kira semua pandangan yang diberikan.

“Insya-Allah kita akan keluarkan satu jadual baharu berkaitan Peperiksaan SPM 2021 dalam masa yang terdekat,” katanya melalui hantaran video di Facebook, hari ini.

Jadual Peperiksaan SPM tahun ini mengundang kritikan pelbagai pihak berikutan tarikh peperiksaan yang akan bermula pada 3 Mac hingga 20 Mac 2022 itu jatuh pada Jumaat dan Ahad.

Selain itu, tarikh jadual peperiksaan itu turut berada pada cuti akhir penggal 3 2021/2022 yang dijadualkan bermula pada 25 Februari hingga 20 Mac 2022.

Berdasarkan jadual SPM yang dipaparkan di portal rasmi Lembaga Peperiksaan Malaysia sejak beberapa hari lalu, mata pelajaran yang jatuh pada Ahad, 6 Mac adalah Prinsip Perakaunan Kertas 1, 2 dan 4 serta Al-Adab wa Al-Balaghah.

Pada Jumaat, 11 Mac pula mata pelajaran Al-Syariah, Pendidikan Islam, Pendidikan Moral, Pendidikan Syari’ah Islamiyah, Turath Dirasat Islamiah, Maharat Al-Quran, Bahasa Punjabi, Manahij al-Umum Al-Islamiyah dan Pertanian.

Pada Ahad, 13 Mac pula, Pendidikan Seni Visual – Ujian Melukis, Pendidikan Muzik dan Reka Cipta manakala pada Jumaat, 18 Mac pula Bahasa Cina, Bahasa Iban, Bahasa Tamil, Bahasa Kadazandusun, Bahasa Semai, Bahasa Arab, Al-Lughah Al-Arabiah Al-Mu’asirah dan Turath Bahasa Arab.

Sebelum ini, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) memaklumkan sudah membuat permohonan kepada KPM untuk membuat perubahan pada jadual berkenaan.

Presidennya, Aminuddin Awang, menyifatkan jadual Peperiksaan SPM yang dikeluarkan kali ini sebagai amat mengecewakan kerana menunjukkan KPM tidak mengambil kira kebajikan guru yang perlu bertugas sebagai pengawas peperiksaan.

Katanya, ini kali pertama peperiksaan SPM dijadualkan jatuh pada cuti hujung minggu malah cuti penggal selama tiga minggu yang ditetapkan tidak dapat dimanfaatkan bersama keluarga kerana hampir semuanya dipenuhi jadual peperiksaan SPM.

“Justeru, NUTP memohon supaya KPM dapat membuat perubahan segera terhadap jadual berkenaan,” katanya. BH

KPM akan keluarkan jadual baharu SPM


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU

Isteri Fizo, cantik dan bijak – Netizen

PN kalah di PRN Melaka kifarah atas kesombongan Muhyiddin

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker