Mas Ermieyati sebagai calon Ketua Menteri PN tiada faktor ‘wow’ atau ‘kejutan’

Teka-teki calon Ketua Menteri daripada Perikatan Nasional (PN) akhirnya terjawab apabila Naib Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Mas Ermieyati Samsudin diputuskan sebagai calon muktamad bagi jawatan berkenaan.

Pencalonan Mas Ermieyati itu diumumkan oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin di ibu pejabat parti itu, Kuala Lumpur melalui satu sidang media pada jam 3.30 petang Khamis.

Menariknya, majlis pengumuman pencalonan Ahli Parlimen Masjid Tanah itu turut dihadiri Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, sekali gus memberi isyarat keputusan itu disokong sepenuhnya oleh parti itu selaku salah satu parti komponen dalam PN.

Melalui keputusan berkenaan, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) itu berkeupayaan mencipta sejarah untuk dilantik sebagai Ketua Menteri wanita pertama di negara ini sekiranya PN mampu memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini.

Pengumuman Muhyiddin itu sekali gus melenyapkan spekulasi calon bagi jawatan tertinggi kerajaan negeri bakal diserahkan kepada Pengerusi PN Melaka, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen.

Hal ini susulan Mohd Rafiq yang bakal bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas juga antara nama yang disebut-sebut bagi dicalonkan untuk jawatan Ketua Menteri Melaka bagi PN.

“Saya mendapat maklumat sekiranya Mohd Rafiq dicalonkan, ia akan mendapat tentangan daripada akar umbi Bersatu di Melaka susulan kaedah kepimpinannya didakwa kurang disenangi mereka.” – Pemimpin parti Bersatu.

Bagi penganalisis politik daripada Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Profesor Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim, langkah pengumuman Mas Ermieyati yang bakal bertanding di DUN Tanjung Bidara pada PRN kali ini, barangkali mampu memberikan faktor ‘wow’ yang diperlukan PN bagi meningkatkan keyakinan pengundi Melaka.

Jelas beliau, faktor komposisi pengundi wanita yang melebihi lelaki di Melaka membolehkan strategi pengumuman Mas Ermieyati sebagai bakal Ketua Menteri baharu dari PN berpotensi menarik perhatian pengundi gender itu untuk memberi undi kepada koalisi berkenaan.

“Pengumuman itu juga berpotensi meningkatkan sedikit peluang kepada Mas Ermieyati untuk menyaingi pesaing utama beliau di DUN Tanjung Bidara iaitu Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

“Perlu diingat, kerusi DUN Tanjung Bidara ialah antara kerusi selamat BN pada PRN Melaka,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdapat penganalisis politik berpandangan pencalonan Mas Ermieyati mampu memberikan faktor wow diperlukan PN pada PRN Melaka.
Terdapat penganalisis politik berpandangan pencalonan Mas Ermieyati mampu memberikan faktor wow diperlukan PN pada PRN Melaka.

 

Pandangan Dr Mohd Yusri adalah berasas memandangkan sebarang impak kejutan dibawa Mas Ermieyati pada PRN Melaka bakal memberikan kesan domino kepada lebihan 20 kerusi DUN majoriti pengundi Melayu.

Tidak mustahil Mas Ermieyati mampu mengulangi impak dibawa Penasihat DAP, Lim Kit Siang sewaktu menewaskan bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Abdul Ghani Othman di kerusi Parlimen Gelang Patah pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Impak kemenangan Kit Siang di kerusi tradisi Barisan Nasional (BN) itu akhirnya membawa kepada fenomena tsunami pengundi atas pagar dan Cina, sekali gus menyebabkan BN tewas di peringkat negeri Johor dan Pusat.

Sekiranya strategi pencalonan Mas Ermieyati mendapat reaksi positif rakyat, PN juga mampu mengulangi impak dibawa oleh Pakatan Harapan (PH) yang memecahkan dominasi BN pada PRU14, dengan mengulangi fenomena tsunami pengundi Melayu pada PRN Melaka.

TOKOH CALON BERPENGALAMAN

Hal ini diakui oleh Penyelaras Penerangan Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Badrul Hisham Shaharin yang berpandangan Mas Ermieyati antara tokoh calon paling berpengalaman dalam kesemua nama calon pilihan raya dari kesemua parti.

Menyifatkan PN berani menawarkan perubahan, Badrul Hisham yakin watak keibuan, ketenangan dalam membentuk kerajaan stabil serta sifat keprihatinan Mas Ermieyati terhadap rakyat mampu memberi nilai tambah bagi mengalih sokongan rakyat Melaka kepada koalisi itu.

“Ketika kekalutan ahli politik ganas berebut projek dan kekayaan negeri, PN menawarkan kesejahteraan untuk negeri ditadbir dengan (calon memiliki) watak keibuan, ketenangan ke arah kerajaan yang stabil dan prihatin kepada rakyat.

“Tahnian PN kerana berani menawarkan perubahan. Namun mungkinkah sejarah baharu akan tercatat di mana PRN Melaka menyaksikan kelahiran seorang Ketua Menteri wanita pertama di Melaka?” katanya.

Dalam pada itu, seorang pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang enggan dikenali menegaskan keputusan pencalonan Mas Ermieyati sebenarnya sudah dijangka.

Jelas individu yang dilantik sebagai Ahli Dewan Negara itu, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu pastinya tidak berani mengambil risiko untuk mencalonkan Mohd Rafiq selaku calon Ketua Menteri Melaka bagi PN.

“Saya mendapat maklumat sekiranya Mohd Rafiq dicalonkan, ia akan mendapat tentangan daripada akar umbi Bersatu di Melaka susulan kaedah kepimpinannya didakwa kurang disenangi mereka.

“Bahkan, ada yang menjangkakan Bersatu akan kalah pada keseluruhan 15 kerusi DUN ditandingi jika Mohd Rafiq diangkat sebagai calon Ketua Menteri,” kata pemimpin Bersatu berkenaan yang juga merupakan anak jati negeri Melaka.

Kini, Ahli Parlimen Masjid Tanah itu berdepan tugas berat untuk menyaingi karisma serta pengaruh dua bekas Ketua Menteri daripada PH dan BN, Adly Zahari serta Datuk Seri Sulaiman Md Ali yang juga kembali terpilih sebagai calon Ketua Menteri bagi koalisi masing-masing.

Segala persoalan sama ada taktik itu bakal memberi laba kejayaan kepada Mas Ermieyati dan PN hanya akan terjawab pada 20 November ini.


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


PN pilih Mas Ermieyati sebagai calon ketua menteri, kem Rafiq kecewa?

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker