Roti Canai Kayu Arang Viral

Roti Canai Kayu Arang Viral

SEBUT sahaja negeri Melaka, pasti ramai membayangkan kemasyhuran Bandar Warisan Dunia yang diiktiraf Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu itu.

Bukan sahaja kaya dengan sejarah silam, malah ramai menyifatkan negeri berkenaan sebagai salah sebuah ‘syurga makanan‘.

Namun, terdapat satu syarat yang semua perlu penuhi.

Jika sanggup meredah kesesakan lalu lintas yang luar biasa di sana, anda boleh menikmati sajian yang enak lagi unik seperti yang disediakan oleh pengusaha Gerai Roti Canai Kayu Arang.

Premis berkenaan yang terletak di Kampung Bakar Batu, Bachang, Melaka itu sememangnya menjadi destinasi sarapan pagi yang menjadi tumpuan ramai sejak tahun 1982.

Bayangkan, sejak 39 tahun lalu, pemiliknya, Zulkapli Omar masih setia menggunakan kayu api dan arang untuk memasak pelbagai jenis roti canainya.

Ujar lelaki berusia 53 tahun itu, pendekatan tersebut memang dilakukan sejak turun-temurun oleh keluarga mertuanya.

“Pun begitu, selepas saya mengambil alih premis ini pada tahun 1999, saya ubah dan menggunakan kayu arang saja kerana kayu jenis ini kurang asap. Pada masa sama, pelanggan pun lebih selesa untuk menikmati makanan di gerai ini.

“Apa yang penting, cara masakannya tidak lari dan masih mengekalkan tradisi lama. Peranan kayu arang ini adalah untuk menambah lebih aroma, selain roti canai menjadi lebih rangup dan kurang berminyak,” beritahu bapa kepada tujuh cahaya mata itu.

Kesedapan sajian tersebut akan menjadi semakin terserlah jika dicicah dengan kuah kacang dal.

Menurut bekas kerani gudang itu, isterinya, Siti Idah Talib, 47, telah menggunakan pelbagai teknik untuk menghasilkan kuah yang memikat rasa.

“Kuah dal isteri saya yang pekat dan cukup rasa rempah-ratus ini, sebenarnya dipelajari daripada seorang kawan berbangsa India yang pemurah berkongsi resipi aslinya.

“Kemudian, cara penyediaannya diolah sedikit sesuai dengan selera orang Melayu,” katanya.

Zulkapli berkata, roti canai nanchos dan sarang burung merupakan menu yang paling laris dan dicari ramai, selain roti canai yang berharga cuma RM1 sekeping.

“Secara keseluruhannya, terdapat lebih 30 menu disediakan. Sajian lain yang menanti pengunjung ialah nasi lemak sambal kerang dan rendang kerang, sotong king dan soto,” tuturnya.

Bagi memastikan pelanggan menikmati kepuasan maksimum, anak jati Durian Tunggal, Melaka tersebut mendapatkan bahan mentah segar terus daripada peraih tempatan.

Sudah menjadi resam, apabila sesebuah premis atau jenama menjadi bualan ramai, pasti akan wujud cawangan atau francais seterusnya.

Namun, kata lelaki itu, beliau lebih senang dan bersyukur dengan yang ada sekarang.

Roti Canai Kayu Arang
Alamat: Kampung Bakar Batu, Bachang, Melaka
Waktu operasi: 7 pagi hingga 12 tengah hari
Menu signatur: Roti canai, nasi lemak sambal kerang, roti canai nanchos dan sotong king
Harga: Bermula RM1 hingga RM15
Facebook: Roti Canai Kayu Arang

Keunikan sajian tersendiri dan harganya yang tidak keterlaluan barangkali menjadi faktor yang membuatkan negeri Melaka terus menjadi pilihan destinasi makan-makan dan percutian ramai.

Apatah lagi, negeri bersejarah itu kini menjadi tumpuan lensa dan media seluruh negara sebaik kempen Pilihan Raya Negeri Melaka ‘memukul gendang’ baru-baru ini. Sinarplus

Roti Canai Kayu Arang Viral


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU

Myvi 2022, ini 9 ciri menarik pada model kali ini

Lawak ‘Terlampau’ – Puteh mohon maaf kepada Najib

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker