Serlah chemistry Pak Mail, Jokowi

Syukur kepada Tuhan, dari 9 hingga 11 November lalu, saya berpeluang mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke Indonesia dalam siri lawatan dua hari ke Jakarta dan sehari ke Bandung.

Peristiwa ini penting sekali kerana ia merupakan lawatan pertama Ismail Sabri ke luar negara selepas dilantik sebagai Perdana Menteri pada 20 Ogos lalu tatkala ancaman Covid-19 di kedua-dua negara semakin berkurangan.

Hakikat betapa Indonesia menjadi negara pertama di rantau ini dilawati Ismail Sabri merupakan indikasi jelas betapa eratnya amalan tradisi hubungan dua hala sedia terjalin antara kedua-dua negara.

Ia juga menjadi petunjuk kepada komitmen pentadbiran Ismail Sabri untuk melaksanakan dasar prosper-thy-neighbour selaras dengan kesedaran bahawa Malaysia dan Indonesia adalah saling bergantung antara satu sama lain.

Alhamdulillah, hubungan dua hala Malaysia dan Indonesia berlangsung baik sekali sejak merdeka, terkecuali sedikit kemelut waktu Konfrontasi 1963-1966.
Turut menyertai lawatan ini ialah Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah; Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Ahli rombongan diberikan layanan istimewa yang penuh dengan semangat kekeluargaan bermula dengan sambutan mesra oleh Menteri Pendidikan, Kebudayaan, Penyelidikan dan Teknologi Indonesia, Nadiem Anwar Makarim.

Paling mencuri tumpuan sudah pasti pertemuan Ismail Sabri dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo, bermula dengan lawatan beliau ke kompleks pejabat eksekutif dan kediaman rasmi Presiden di Istana Bogor, pada hari pertama lawatan.

Sesi pertemuan empat mata di beranda Istana Bogor atau juga dikenali sebagai Veranda Talk memberikan gambaran hubungan akrab antara kedua-dua pemimpin bagi membincangkan isu-isu yang menjadi kepentingan bersama. Pertemuan tersebut berlaku dalam suasana sangat mesra dan penuh semangat persaudaraan di mana banyak persetujuan bersama tercapai demi kepentingan kedua-dua negara.

Antara persefahaman tercapai adalah Malaysia dan Indonesia dapat melaksanakan satu koridor perjalanan antara kedua-dua negara di bawah Aturan Koridor Perjalanan (TCA) atau Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL).

Sempadan Malaysia-Indonesia melalui perjalanan udara Kuala Lumpur-Jakarta serta Kuala Lumpur-Bali dipersetujui dibuka di mana kedua-dua pihak akan mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) sebelum mengumumkan tarikh kuat kuasa pembukaan sempadan.

Turut dibincangkan dan dicapai persefahaman adalah mengenai perkara-perkara berikut:

• Potensi pelaburan Malaysia di Kalimantan Timur.

• Penyenaraian bersama warisan kebudayaan Malaysia dan Indonesia ke Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

• Perlindungan dan kebajikan tenaga buruh Indonesia di Malaysia.

• Pembatasan sempadan maritim.

• Isu-isu serantau dan antarabangsa.

Turut dilangsungkan adalah pemeteraian dua memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan Malaysia dan pemerintah Indonesia (G2G) iaitu Kerjasama Dalam Bidang Pendidikan dan Kerjasama dan Bantuan Bersama Dalam Perkara Kastam.

Dilihat daripada chemistry antara Ismail Sabri dan Joko Widodo ini, hubungan dua hala yang terjalin antara Malaysia dan Indonesia bukan sahaja akan diteruskan malah mampu dipertingkat dan diperkukuhkan lagi.

Dalam menentukan sama ada hubungan antara Malaysia dan Indonesia harmonis atau tidak, kumpulan pertama yang ditemui dalam lawatan ini adalah pengamal media Indonesia.

Dalam sesi meja bulat bersama ketua-ketua pengarang media Indonesia dan Kumpulan Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (Iswami) ini, para peserta bertukar pandangan mengenai hubungan dua hala Malaysia-Indonesia. Pada masa sama, mereka mengambil kesempatan mengenali lebih rapat personaliti Perdana Menteri.

Tidak dinafikan rapatnya hubungan antara kedua-dua negara pastilah dari semasa ke semasa akan sentiasa ada isu-isu berbangkit, tetapi Ismail Sabri menyatakan keyakinan agar ia diselesaikan secara semangat kekeluargaan.

Walaupun jadual lawatan agak padat, Ismail Sabri tidak melepaskan peluang mengadakan sesi ramah Mesra bersama diaspora Malaysia di Indonesia.

Turut berlangsung perjumpaan dengan komuniti perniagaan dan pemain industri utama Indonesia berserta pemeteraian empat dokumen:

• Memorandum persetujuan (MoA) antara Country Heights International Sdn. Bhd. dan PT Pancakarya Griyatama.

• Surat anugerah (LoA) antara Penjana Kapital dan AC Ventures.

• Perjanjian induk antara Destini Berhad dan PT Industri Kereta Api.

• MoU antara Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Perusahaan Umum Lembaga Kantor Berita Nasional Antara (Antara).

Juga dibincangkan mengenai hasrat dan cadangan penglibatan Malaysia dalam projek pemindahan dan pembangunan Ibu Kota Negara (IKN) Indonesia yang baharu di Kalimantan Timur.

Pada hari terakhir lawatan, Ismail Sabri dan delegasi ke Fasiliti Industri Ketenteraan Indonesia di PT Pindad, Bandung.

Beliau mengalu-alukan kerjasama dengan Komite Kebijakan Industri Pertahanan (KKIP) Indonesia selain meminta Menteri Kanan Pertahanan untuk melihat hubungan antara Kementerian Pertahanan dan PT Pindad.

Berdasarkan hasil daripada lawatan rasmi ini, tidak syak lagi ia berjaya mencapai matlamatnya untuk memperkukuhkan lagi hubungan dan kerjasama dua hala antara Malaysia dan Indonesia di samping mengekalkan persefahaman sedia terjalin. Kedua-dua negara dilihat dapat sama-sama mempertingkatkan hubungan dua hala ke peringkat lebih tinggi pada masa hadapan.

Datuk Nor Nazimah Hashim ialah Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri.

Serlah chemistry Pak Mail, Jokowi


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Muhyiddin lebih gemar serang BN daripada kempen untuk PN

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker