Siakap vs empurau, mana lagi mahal?

Siakap vs empurau, mana lagi mahal?

Tatkala satu Malaysia kecoh harga ikan siakap di sebuah restoran di Langkawi, Kedah yang dikatakan ‘harga kayangan’ kerana mencecah lebih RM1,000 untuk ikan seberat 7.48 kilogram, mungkin tidak ramai tahu di Sarawak, terdapat satu spesies ikan termahal di Malaysia.

Empurau, yang juga dikenali sebagai raja ikan sungai Sarawak, mempunyai nilai komersial tinggi dan harganya boleh mencecah RM800 hingga RM1,000 sekilogram!

Ikan eksotik ini mahal disebabkan ia hanya memakan buah-buahan yang tumbuh di tebing sungai seperti engkabang, iaitu makanan ruji ikan empurau yang mampu memberikan rasa berlemak pada isi ikan dan mempunyai aroma harum tersendiri apabila dimasak.

Ikan empurau liar, yang digelar emas Borneo, hidup dalam habitat sungai yang bersih, sejuk, jernih serta mengalir deras dengan dasar sungai berbatu menyebabkan ikan ini akan berhijrah jika habitatnya dicemari.

Seorang peniaga empurau ditemui Bernama di sini, Loh Hoe Hua berkata kebiasaannya beliau mendapat bekalan empurau dengan membeli ikan tersebut daripada mereka yang ‘bertuah’ dapat menangkapnya di sekitar sungai seperti Sungai Rajang, Sungai Baram dan Sungai Baleh.

Mempunyai pengalaman lebih 10 tahun dalam penjualan ikan empurau dan spesies ikan sungai Sarawak seperti semah, baung, tapah dan tengadak, beliau berkata empurau sentiasa mendapat permintaan tinggi daripada pengusaha restoran serta orang kenamaan yang sanggup datang dari Kuching dan Kuala Lumpur untuk membeli ikan tersebut kerana ia sukar didapati, memandangkan kadar pembiakannya lambat membesar dan bermusim.

Kebiasaannya, Loh berkata, ikan empurau atau nama saintifiknya Tor tambroides dengan berat lebih tiga atau empat kilogram dijual pada harga lebih mahal kerana isinya lebih padat dan kenyal.

Loh juga menunjukkan ikan empurau seberat 8.2 kilogram dengan harga mencecah RM7,000 yang telah disejukbekukan, menunggu giliran untuk dijual kepada seorang pembeli dari Kuching.

Selain dapat melihat Raja Sungai dengan lebih dekat dan berpeluang merasai sendiri ikan mewah yang dimasak secara kukus, tidak menafikan rasanya amat berbeza dengan ikan-ikan lain – kenyal, berlemak, sedikit manis dan baunya agak wangi – menjadikannya hidangan eksklusif.

Ketika ini, terdapat syarikat yang sudah mula menternak dan menjalankan kajian berkaitan ikan empurau secara meluas menerusi bantuan Jabatan Pertanian Sarawak, selaras matlamat kerajaan negeri mentransformasi sektor pertanian, perikanan dan penternakan negeri ke arah lebih produktif dan moden.

Setakat ini, kerajaan Sarawak yang diterajui Gabungan Parti Sarawak, memperuntukkan RM265 juta bagi Dana Mudahcara Pertanian bagi membantu meningkatkan kemahiran ketiga-tiga sektor itu.

Nampaknya, mereka yang ingin berkunjung ke Sarawak nanti, jangan lupa bezakan ikan siakap dan ikan empurau ya! HM

Siakap vs empurau, mana lagi mahal?


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU

Siakap kayangan, usahawan nyaris terkena

Restoran siakap kayangan ada 4 hari lagi jawab notis

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker