Sengaja kudung kaki mahu tuntut insurans RM12.8 juta

BUDAPEST, HUNGARY – Seorang lelaki dilaporkan sengaja melompat di hadapan sebuah kereta api agar kedua-dua kaki­nya putus bagi membolehkan dia menuntut wang pampasan insurans berjumlah £2.3 juta (RM12.8 juta), lapor akhbar The Sun semalam.

Sebuah mahkamah di Hungary memutuskan bahawa Sandor Cs., 54, menceroboh masuk ke dalam kawasan landasan kereta api dengan niat agar kedua-dua kakinya digilis.

Insiden yang berlaku pada 2014 itu menyebabkan kedua-dua kaki lelaki itu dipotong dari bahagian lutut ke bawah.

Bagaimanapun, pihak berkuasa mengesan terdapat sesuatu yang tidak kena dengan insiden tersebut apabila tertuduh dilaporkan ada mengambil 14 polisi insurans berisiko tinggi pada tahun dia mengalami kemalangan.

Tertuduh bagaimanapun mendakwa bahawa dia mengambil kesemua insurans tersebut selepas mendapat nasihat kewangan yang memberitahu bahawa pulangan bagi pelaburan dalam polisi insurans adalah lebih tinggi berbanding akaun simpanan.

Isterinya membuat tuntutan insurans sejurus selepas kemalangan, namun syarikat penyedia insurans enggan membayar pampasan kerana mengesyaki kemalangan itu adalah dise­ngajakan.

Tertuduh mengekalkan pengakuan tidak bersalah dan mendakwa bahawa dia terpijak serpihan kaca sehingga menyebabkannya hilang kawalan lalu terjatuh di hadapan sebuah kereta api yang baru berlepas dari stesen.

Siasatan kes itu semakin rumit dan berpanjangan selepas konduktor kereta api menukar kenyataannya dan mendakwa tertuduh sengaja melompat ke hadapan kereta api.

Sebelum itu, dia mengakui bahawa tertuduh terjatuh di hadapan tren tersebut.

Kes itu berakhir dengan tertuduh dijatuhi hukuman penjara tertangguh selama dua tahun dan diarah membayar kos guaman £4,725 (RM26,366).

“Saya berpendapat bahawa keputusan mahkamah amat aneh,” kata Sandor kepada akhbar tempatan, Blikk.

Sandor masih mempunyai beberapa tuntutan insurans yang belum selesai, namun berikutan keputusan mahkamah, dia dijangka gagal dalam tuntutannya. – AGENSI


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Sekarang saya boleh tarik butang tarik sokongan kepada UMNO – Muhyiddin

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker