Zulfarhan maut kerana fitnah bomoh, kata ayah

Zulfarhan maut kerana fitnah bomoh, kata ayah

Bapa kepada Zulfarhan Osman Zulkarnain, yakin anak kebanggaannya masih hidup hari ini jika tidak difitnah oleh bomoh yang sanggup “main serkap jarang”, menilik kononnya pemuda itu mencuri komputer riba.

“Anak saya mangsa fitnah bomoh,” kata Zulkarnain Idros, bapa kepada Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), yang maut selepas didera termasuk “diseterika” rakan sekuliah.

“Dia (bomoh) tak ada bukti, main serkap jarang, tengok mangkuk ke, ape ke…Tak ada bukti, timbul (nama) anak saya,” katanya kepada FMT.

Luahan Zulkarnain itu sekali lagi mengangkat isu kecenderungan kalangan masyarakat Melayu menggunakan khidmat bomoh sembarangan, khususnya untuk kerja menilik, meskipun bertentangan ajaran Islam.

Semasa perbicaraan Zulfarhan pada 16 Mei 2018, seorang bomoh, Abdullah Md Seh, yang juga bapa kepada tertuduh Muhamad Ashraf Abdullah dilaporkan memberitahu mahkamah beliau mendapat “petunjuk” bahawa Zulfarhan mencuri komputer riba.

Abdullah dilaporkan berkata, “petunjuk” itu diperoleh melalui gerak hatinya serta melihat nama mangsa timbul di pandangan.

Pada 2 Nov lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun terhadap enam bekas penuntut UPNM selepas didapati bersalah menyebabkan kematian tanpa niat ke atas Zulfarhan, empat tahun lalu.

Mereka ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.

Semuanya terlepas hukuman gantung sampai mati selepas Hakim Azman Abdullah membebaskan mereka daripada tuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan mengubah sabitan bawah Seksyen 304 (a) kanun sama.

Hakim turut menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun terhadap lima daripada enam penuntut (kecuali Shobirin), bersama 12 yang lain, selepas mendapati mereka bersalah mencederakan Zulfarhan. Hukuman berkuatkuasa serentak.

Mereka ialah Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala dan Luqman Hakim Shamsuri.

Tertuduh lain Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif Ismail, Muhammad Adib Iman Fuad Ady Sany dan Mohamad Syazwan Musa.

Azman, ketika membacakan keputusannya berkata, kecederaan akibat 90 tekapan seterika wap yang menyebabkan kematian Zulfarhan dilakukan tanpa niat membunuh dengan sengaja.

Dalam penghakimannya, beliau turut menyentuh rentetan kejadian sebelum Zulfarhan meninggal dunia yang bermula dengan kehilangan komputer riba tertuduh pertama yang kemudian membawa kepada ramalan seorang bomoh bahawa mangsa yang mencurinya.

Zulkarnain berkata, dia dan isteri tidak dapat mengetepikan hakikat anak sulungnya itu diseksa selama dua hari berturut-turut.

“Ada dua hari arwah anak saya diseksa. 21 dan 22 haribulan (Mei 2017). Kalau kata tanpa niat, kita boleh terima kalau 21 hari bulan sahaja.

“Ini dah masuk hari kedua, adakah tanpa niat? Dua hari berturut-turut. Itulah saya sebagai bapa mempertikaikan. Bukan pertikai keputusan mahkamah tapi niat mereka itu.

“Saya terpaksa reda. Anak saya sudah tiada. Saya pun maafkan mereka,” katanya.

Zulfarhan meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017.

Harapan Zulkarnain sekeluarga mendapatkan pengadilan yang diharapkan kini berpaut kepada rayuan Jabatan Peguam Negara terhadap keputusan mahkamah itu.

Pada masa sama, beliau menzahirkan harapan masyarakat akan mengambil iktibar daripada natijah buruk menggunakan khidmat bomoh untuk tujuan yang jelas bertentangan dengan Islam.

“Tentang pakai bomoh, saya pun tak setuju. Islam cakap ia boleh (sebabkan) perpecahan, bermusuh satu sama lain, boleh buat kematian. Macam (kes) inilah.

“Dia (tertuduh) percaya bomoh, (bila) bomoh cakap orang ni (yang buat), dah anak saya dibunuh, diseterika, didera,” kata Zulkarnain.

Sementara itu, Mufti Pahang, Abdul Rahman Osman turut melayangkan nasihat sama kepada umat Islam.

“Dalam Islam, tak boleh mempercayai tukang tilik seperti bomoh, meramalkan itu dan ini. Ramalan itu bukan betul, itu yang dilarang dalam agama. Yang tukang tilik tu haram, yang mempercayainya pun haram,” katanya.

“Bomoh ni kita larang sebab dia menggunakan jin. Jin…bukan baik. Kadang-kadang benda tak betul dia beritahu,” kata Abdul Rahman. FMT

Zulfarhan maut kerana fitnah bomoh, kata ayah


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU

Dutch man’s private part rots after bitten by a cobra

Asteroid berbahaya 4660 Nereus hampiri Bumi [VIDEO]

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker