PRN Melaka: Surat mahu angkat ‘Idris’ sebagai KM bocor

Sebaran :

PRN MELAKA | Surat yang dikatakan menunjukkan wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) mengesyorkan Idris Haron sebagai ketua menteri Melaka telah diedarkan secara tanpa nama kepada beberapa media di tengah-tengah kempen pilihan raya negeri (PRN) Melaka.

Surat bertarikh 30 Sept itu – sebelum pembubaran DUN Melaka – ditujukan kepada Yang di-Pertua Negeri Melaka Mohd Ali Rustam. Bagaimanapun, cop yang tertera pada dokumen itu bertarikh 4 Okt.

Kempen PH dalam PRN dilihat bertumpu menjelaskan kerjasama gabungan itu dengan Idris, seorang veteran Umno yang baru-baru ini dipecat daripada partinya.

Edaran surat itu dilihat akan menjadi asakan baru terhadap PH berhubung isu berkenaan Idris.



Surat itu didakwa dihantar oleh pengerusi PH Melaka Adly Zahari.

Pejabat Adly, ketika dihubungi, menyifatkan ia sebagai “isu lama” dan enggan mengulas lanjut.

Ketua DAP Melaka Tey Kok Kiew, ketika dihubungi mengenai perkara itu, berkata pertanyaan berhubung isu itu perlu ditujukan kepada Adly.

Sementara itu, Ketua PKR Melaka Halim Bachik tidak menjawab permintaan untuk mendapatkan komen.



Surat itu mengisytiharkan Sulaiman Md Ali dari Umno telah kehilangan sokongan majoriti dan mencalonkan Idris Haron sebagai ketua menteri yang baharu.

Ia menyenaraikan nama semua Adun PH serta Nor Azman Hassan dari Umno dan Noor Effandi Ahmad dari Bersatu Selain wakil bebas Norhizam Hassan Baktee. Nor Azman dan Noor Effendi telah dipecat dari parti mereka.

Pada 4 Okt, Idris mengumumkan penarikan balik sokongannya kepada kerajaan yang dipimpin Sulaiman.

Perwakilan PH turut hadir pada sidang media itu apabila Idris dan tiga yang lain mengumumkan meninggalkan kerajaan Umno-Bersatu pimpinan Sulaiman.



Selepas pengumuman itu, sumber PKR pada masa itu juga memberitahu Malaysiakini bahawa mereka bersedia untuk menyokong Idris sebagai ketua menteri berdasarkan kepercayaan bahawa dia boleh meyakinkan lebih ramai Adun Umno untuk menyertai pihaknya.

Adun-adun yang berpaling tadah itu dan wakil dari PH membentuk 15 daripada 28 perwakilan di DUN, cukup untuk meraih majoriti.

Bagaimanapun, Sulaiman bertindak balas dengan meminta pembubaran DUN, yang dipersetujui Yang di-Pertua Negeri Mohd Ali Rustam, yang membuka jalan kepada pilihan raya baru.

Walaupun rampasan kuasa itu gagal, PKR memutuskan untuk meletakkan Idris di Asahan dan Amanah memilih Nor Azman di Pantai Kundor sebagai calon PH untuk PRN Melaka. Keputusan itu mendapat bantahan DAP, yang akhirnya terpaksa akur dengan dua parti sekutu dalam PH.

Setiausaha penganjur DAP Anthony Loke, pada sidang media sebelum ini di Kelebang, Melaka, mengakui rasa tidak senang akar umbi terhadap keputusan sekutu mereka mencalonkan bekas pemimpin Umno itu.

Loke menegaskan bahawa DAP telah membuat bantahan secara lantang dan jelas dalam mesyuarat majlis presiden PH tetapi telah terpaksa akur dengan keputusan yang disokong oleh PKR dan Amanah.

“Ia adalah persepsi negatif terhadap PH. Apa yang kami temui dalam kempen, beberapa penyokong kami telah menyatakan rasa tidak senang mereka tetapi kami perlu menjelaskan kepada mereka bahawa pendirian DAP telah dijelaskan.

“Tetapi kita tidak boleh hanya berdasarkan pertimbangan pengundian kita kepada dua Adun ini. Apa yang lebih penting ialah jika mereka tidak keluar untuk mengundi PH, anda akan memilih kerajaan yang bukan pilihan kami dan PH tidak akan mempunyai peluang untuk mendapatkan semula mandat di Melaka.

“Kami memahami rasa tidak senang di kalangan penyokong kami atas keputusan ini dan kami mengakuinya tetapi kami telah mencuba sedaya upaya untuk meyakinkan mereka bahawa terdapat isu yang lebih besar yang dipertaruhkan,” katanya.

Loke mengulangi sokongan parti itu kepada Adly sebagai calon ketua menteri PH.

Idris berkhidmat sebagai ketua menteri kerajaan BN dari 2013 hingga 2018. Adly mengambil alih jawatan ketua menteri apabila PH membentuk kerajaan pada 2018.

Bagaimanapun, kerajaan Melaka pimpinan PH telah digulingkan pada 2020 melalui pembelotan, membuka jalan kepada pembentukan kerajaan Umno-Bersatu pimpinan Sulaiman.

Sehingga kini, PH belum mengumumkan secara rasmi Adly sebagai calon ketua menteri walaupun parti Adly, Amanah memberi jaminan bahawa sudah ada kata sepakat dan pengumuman akan dibuat dalam masa terdekat.

PRN Melaka: Surat mahu angkat ‘Idris’ sebagai KM bocor

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


PAS, BERSATU tuntut kerusi sama rata punca rundingan gagal


Sebaran :

Leave a Reply