PRN Melaka: Siakap modal bekas Ketua Menteri raih undi bercanggah dengan Akta SPR
Selepas ikan siakap menjadi ‘tersohor’ di seantero Malaysia gara-gara tular harga hidangan ikan itu bernilai lebih RM1,000, kini ia turut menjadi tumpuan pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka.
Semuanya gara-gara ikan siakap didakwa menjadi modal seorang calon PRN Melaka untuk memancing undi penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil.
Perkara itu dibangkitkan bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar setelah mendakwa tindakan seorang calon mengagihkan sumbangan ikan dipercayai siakap dan timun kepada penduduk DUN itu melalui kaedah pintu ke pintu adalah melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya.
Jelas beliau, dakwaan itu berasaskan kepada rakaman video tular berdurasi dua minit yang menunjukkan bekas Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari yang juga calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Bukit Katil, sedang mengagihkan sumbangan ikan siakap dan timun kepada penduduk DUN berkenaan menerusi aplikasi TikTok.
Katanya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan SPR boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap calon tersebut dengan rakaman video berkenaan boleh dijadikan bukti laporan kepada SPRM susulan perbuatan itu dilakukan sendiri oleh calon pilihan raya.
“Itu memancing undi, bercanggah dengan Seksyen 9 dan 10 Akta SPR (perbuatan penyogokan dan penggunaan pengaruh tidak wajar) di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya.
“Video ini boleh dibuat bukti laporan kepada SPRM kerana calon (pilihan raya) sendiri yang melakukannya. SPRM dan SPR boleh mengambil tindakan undang-undang,” katanya.
Bagaimanapun tidak dapat dipastikan bilakah tarikh sebenar penyerahan sumbangan tersebut dibuat oleh calon parti Amanah itu.
Berikutan PRN Melaka diadakan pada saat negara sedang memasuki fasa endemik, kerajaan menerusi Kementerian Kesihatan (KKM) dan SPR menetapkan prosedur operasi standard (SOP) PRN yang ketat di sepanjang pilihan raya negeri itu diadakan.
Antara peraturan ditetapkan SPR kepada parti-parti bertanding adalah larangan penganjuran ceramah, syarahan, kempen secara fizikal serta corak kempen konvensional lain seperti jelajah mesra dan ziarah rumah ke rumah sepanjang tempoh PRN berlangsung, Walaupun terdapat pelbagai larangan, Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh menegaskan SPR masih memberi peluang kepada calon-calon untuk menyampaikan mesej kepada pengundi masih ada dengan melaksanakan kempen menerusi kenderaan yang dipasang dengan alat pembesar suara dan mendapat permit polis.
TAK PUAS HATI BUAT LAPORAN RASMI KATA AMANAH
Adly, Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Melaka yang merupakan penyandang kerusi DUN Bukit Katil, bakal menerima tentangan empat penjuru melibatkan calon Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Bebas.
Selain Adly, calon-calon lain yang bertanding ialah Datuk Hasnoor Sdg Husin (BN), Mohammad Al Hafiz Yahya (PN) dan Abdul Hamid Mustapah (Bebas).
DUN tersebut mempunyai 27,074 pengundi, dengan majoriti penduduknya Melayu dan mempunyai lapan daerah mengundi iaitu – Bukit Beruang, Padang Jambu, Bukit Baru Dalam, Paya Ikan, Bukit Pulau, Kampungku Sayang, Taman Tun Rahah dan Bukit Katil.
Sementara itu, Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad meminta mana-mana pihak yang mempertikaikan kaedah kempen calon-calon parti itu pada PRN Melaka supaya membuat laporan rasmi dan tidak mengemukakan dakwaan secara semberono.
Beliau turut mempersoalkan sama ada video tular Adly mengagihkan sumbangan ikan siakap dan timun kepada penduduk DUN Bukit Katil benar-benar diadakan pada hari kempen PRN Melaka secara rasmi atau sebaliknya.
“Mana-mana pihak yang tidak berpuas hati (kaedah kempen Adly), mereka sepatutnya membuat laporan rasmi.
“Tetapi kena teliti dahulu kesahihan video berkenaan…Betulkan beliau beri sumbangan pada hari berkempen secara rasmi atau sebaliknya…Tidak boleh tuduh secara semberono,” katanya bercakap bagi pihak parti Amanah.
PRN Melaka: Siakap modal bekas Ketua Menteri raih undi bercanggah dengan Akta SPR
Baca Artikel Menarik:
- Kemungkinan ahli Pas sabotaj calon Bersatu
- Saya puasa untuk elak beli tuala wanita – pemain biola
- Rafiq tinggalkan pengundi DUN Paya Rumput demi kerusi selamat
- Serangan kudis herpes
- Beli Dulu, Bayar Kemudian Memang Syok Tapi Ketahui Hukumnya Dalam Islam
- UMNO tak mungkir janji cuma tangan dihulur tak disambut Pas
- Anggota polis ditemui mati dalam kenderaan dengan kesan tembakan – Ayob
- “Lahabau Melaka, Jom Undi”, Teo minta maaf
- Resepi Siakap Kayangan Kontroversi
- Duit lesap, rumah pula disewakan
- Harga ayam mungkin terus naik – Bos Mydin
Layari Laman Facebook MYKMU.NET