Pendakwaan akan fail rayuan terhadap keputusan kes Zulfarhan

Pendakwaan akan fail rayuan terhadap keputusan kes Zulfarhan

Jabatan Peguam Negara (AGC) akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mensabitkan kesalahan enam penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) atas pertuduhan menyebabkan kematian tanpa niat Pegawai Kadet Laut UPNM Zulfarhan Osman Zulkarnain, yang sebelum ini mereka didakwa atas pertuduhan membunuh.

Peguam Negara Idrus Harun apabila ditanya sama ada AGC akan memfailkan rayuan untuk mengembalikan Seksyen 302 Kanun Keseksaan terhadap tertuduh, berkata: “Ya, kami akan memfailkan rayuan.”



Keenam-enam tertuduh terselamat daripada hukuman gantung tetapi masing-masing dijatuhi hukuman penjara 18 tahun oleh Hakim Mahkamah Tinggi Azman Abdullah selepas mereka didapati bersalah menyebabkan kematian tanpa niat Zulfarhan Osman, empat tahun lepas.

Mereka ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.

Lima tertuduh itu sebelum ini menghadapi pertuduhan membunuh Zulfarhan Osman di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan, manakala Abdoul Hakeem didakwa bersubahat membunuh mengikut Seksyen 109 kanun sama yang membawa hukuman serupa.

Hakim dalam keputusannya mendapati keenam-enam tertuduh bersalah atas pertuduhan dengan niat menyebabkan kecederaan kepada Zulfarhan tanpa niat membunuh mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga 30 tahun dan dikenakan denda jika perbuatan itu dilakukan dengan niat hendak menyebabkan kematian.



Mahkamah juga menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun terhadap lima tertuduh kecuali Mohamad Shobirin serta 12 rakannya selepas didapati bersalah atas pertuduhan mencederakan Zulfarhan.

Mohamad Shobirin sebelum ini didakwa atas kesalahan mencederakan, tetapi telah dilepaskan dari pertuduhan itu di akhir kes pendakwaan.

Dua belas penuntut itu ialah Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri Agus, Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif Ismail, Muhammad Adib Iman Fuad Ady Sani dan Mohamad Syazwan Musa.

Kesemua tertuduh yang kini berumur 25 tahun didakwa melakukan perbuatan itu di dua bilik, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara 21 Mei 2017 dan 22 Mei 2017.



Mereka didapati bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Zulfarhan Osman untuk mendapatkan pengakuan bahawa dia telah mencuri komputer riba, mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Zulfarhan meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017.

Azman dalam penghakimannya memutuskan bahawa sebanyak 90 tekapan seterika wap yang dilakukan oleh lima penuntut UPNM pada anggota badan Zulfarhan telah menyebabkan kematian mangsa namun ia tidak terjumlah kepada niat membunuh dengan sengaja.

Beliau berkata selepas mengambil kira keterangan pakar perubatan yang merupakan saksi pendakwaan dan pembelaan, mahkamah membuat dapatan bahawa kematian mangsa bukan suatu kematian yang mengejut selepas dicederakan. FMT



Pendakwaan akan fail rayuan terhadap keputusan kes Zulfarhan


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU

Kalau lihat jasad Zulfarhan, saya tak boleh nak bayangkan – Hakim



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker