Saya harap Allah beri hidayah kepada mereka – Saarani

Saya harap Allah beri hidayah kepada mereka – Saarani

“Saya berharap Allah akan memberi hidayah kepada mereka semua.”

Itu harapan Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad ketika mengulas isu penjawat awam di negeri ini yang masih enggan menerima suntikan vaksinasi COVID-19 sekalipun sudah memasuki 1 November.

Dalam nada penuh mengharap, Saarani merayu kepada mereka terbabit termasuk rakyat Perak yang belum atau enggan divaksinasi supaya berlapang dada dan menerima suntikan itu secepat mungkin.

“Sudah tentu kita membuat dasar itu kerana mengambil kira mereka yang tidak mengambil vaksin akan berpeluang untuk mendapat jangkitan, sekali gus menjangkitkan orang lain.

“Jadi tidak adil kepada mereka yang sudah mengambil vaksin, apatah lagi penjawat awam termasuk guru-guru… mereka akan sentiasa berhadapan dengan orang ramai.

“Saya berharap Allah akan memberi hidayah kepada mereka semua supaya berlapang dada dan apa pun pendirian serta pandangan kita… kakitangan kerajaan dan seluruh rakyat Perak yang belum mengambil vaksin saya merayu supaya pergi ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) untuk divaksinasi,” katanya.

Menteri Besar berkata demikian sebagai mengulas tindakan tatatertib yang akan dikenakan kepada mana-mana penjawat awam yang tidak mengambil vaksin tanpa sebarang alasan kesihatan, bermula hari ini.

Sarani sebelum itu menghadiri Sesi Townhall Menteri Besar Bersama Penjawat Awam dan Warga Keselamatan di Dewan Millenium, Lubok Merbau di sini, pada Isnin.

Yang turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.

Sementara itu, Saarani optimis Perak mampu beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) tidak lama lagi.
“Lagi cepat lagi bagus (peralihan fasa) sebab semalam kita lihat angka di Perak bawah 300.

“Saya jangka kalau kita boleh kekalkan momentum ini, lebih rendah turun sudah tentu kita akan dapat hadiah daripada Jawatankuasa Pengurusan COVID Kebangsaan untuk peralihan fasa,” katanya lagi.

Media, sebelum ini melaporkan berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 tahun 2021 dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Awam pada 18 Oktober lalu, penjawat awam yang tidak mematuhi arahan daripada ketua jabatan untuk mendapatkan dos vaksin COVID-19 selepas 1 November boleh dikenakan tindakan tatatertib atau ditamatkan perkhidmatan.

Difahamkan ketika ini, kelompok penjawat awam di seluruh negara yang belum mendaftar untuk divaksinkan adalah kecil berbanding majoriti penjawat awam yang telah melengkapkan vaksinasi mereka. Awani

Saya harap Allah beri hidayah kepada mereka – Saarani


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU

Mee rebus gerai Kak Dah RM2

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker