Cederakan pemandu, ketuk van Pos Malaysia, Ammar Alfian didenda RM3,500

Sebaran :

Cederakan pemandu, ketuk van Pos Malaysia, Ammar Alfian didenda RM3,500

Pelakon filem Paskal, Ammar Alfian didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana melakukan khianat dengan mengetuk pintu sebuah van Pos Malaysia menggunakan kayu besbol dan menumbuk pemandu van tersebut, April lepas.

Majistret S Mageswary turut memerintahkan Ammar Alfian Aziz, 34, dipenjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda. Pelakon itu yang mengaku salah atas kedua-dua tuduhan, bagaimanapun menjelaskan dendanya.

Mahkamah mengarahkannya didenda RM2,000 atau penjara sebulan bagi tuduhan khianat, manakala bagi tuduhan mencederakan pula dia dikenakan denda RM1,500 atau penjara sebulan, menurut laporan Bernama.



Dia mengaku melakukan khianat dengan mengetuk pintu sebelah kanan kenderaan jenis Toyota Hiace milik Pos Malaysia Berhad menggunakan kayu besbol sehingga menyebabkan syarikat itu mengalami kerugian RM777.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Budiman 26/17A, Cheras, Kuala Lumpur, pada 1.45 tengah hari 5 April lepas.

Bagi tuduhan kedua, Ammar Alfian mengaku sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Muhammad Nur Aimin Mohd Noor, 31, pada tempat, masa dan tarikh sama.

Kesalahan khianat didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.



Tuduhan kedua pula dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-keduanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Hanis Anisha Jamilludin memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran.

“Tertuduh sepatutnya menunjukkan contoh yang baik kepada orang awam memandangkan dia seorang artis yang dikenali ramai,” katanya.

Peguam Muhammad Rhastdan Abdul Wahab, yang mewakili Ammar Alfian memohon hukuman ringan atas alasan ini kesalahan pertama anak guamnya dan kerugian yang dialami hanya sekitar RM700.



“Mangsa juga hanya mengalami kecederaan ringan dan anak guam saya telah memberikan kerjasama yang baik kepada pihak polis sepanjang siasatan,” katanya. FMT

Cederakan pemandu, ketuk van Pos Malaysia, Ammar Alfian didenda RM3,500


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU

‘Bapa Lockdown Malaysia’ Punca Kehancuran Kewangan, Kehidupan Rakyat – Najib [VIDEO]


Sebaran :

Leave a Reply