Ahli Umno Jangan Bermain Persepsi, Ada Perkara Diluar Pengetahuan Kita

Saya mengajak rakan-rakan terutama kita ahli-ahli UMNO untuk tidak mencipta persepsi perkara diluar pengetahuan sebenar kita. Amat mudah mengherdik pemimpin dengan kata-kata dan hamuan jelik di dalam whatsapp group dan media sosial tanpa kita rugi apa-apa atau dapat apa-apa.

Tetapi harus diingat bahawa orang yang membaca ada pandangan mereka dan menilai dimana tahap pemikiran kita. Kekadang kita lantang memaki hamun pemimpin tetapi orang lain tahu bahawa diri kita tak menyumbang apa pun kepada kekuatan parti sendiri.

Kita gah mengkritik tanpa ada ilmu didada kita tetapi dicawangan atau keliling kita sendiri gagal kita fahamkan atau tarik sokongan kepada parti kita. Muhasabah diri sebelum kita hanya pandai dan mahu melihat salah orang lain.

Dalam kontek PRN Melaka, MKT UMNO dengan jelas memberikan mandat besar kepada 3 pimpinan tertinggi iaitu Presiden DS Zahid Hamidi, Timbalan Presiden Tok Mat Hasan dan Naib Presiden YAB PM DS Ismail Sabri untuk membuat keputusan-keputusan penting dalam merancang strategi dan menggerakkan jentera BN seluruh Melaka. Ianya jelas dinyatakan dalam kenyataan rasmi Setiausaha Agung UMNO di para ke 4 sejurus mesyuarat MKT selesai.

Sudah pasti ianya bukan keputusan individu-individu tertentu tetapi pasti dibincangkan dengan lumat antara mereka. Pandangan ahli MKT telah ada dalam pertimbangan mereka. Akhirnya ialah pandangan “Orang Melaka” yang menjadi ramuan utama kepada setiap resepi keputusan yang bakal ditetapkan.
……………………………..
Terkini, sudah ada tohmahan dan penulisan yang amat kasar dari kalangan ahli-ahli UMNO menuduh YAB PM akan membuat keputusan yang akan memihak kepada PPBM atau parti lain dalam kerajaan. Sudah ada tuduhan menuduh YAB PM akan melanggar ketetapan PAU 2020 dan macam-macam lagi.

Sehingga hari ini tiada apa-apa keputusan yang jelas tetapi kenyataan YAB PM ialah untuk mengelakkan pertembungan antara parti-parti dalam kerajaan supaya PH tidak akan mendapat kelebihan apabila parti-parti melayu yang ada dalam kerajaan bertarung dan berentap sesama sendiri.

Berkali-kali saya cuba jelaskan bahawa sememangnya PH atau Pembangkang mencuba sedaya upaya untuk memastikan parti-parti dalam kerajaan bertembung dalam setiap DUN. Ini kerana mereka tahu dan praktikalnya sudah terbukti dalam PRU14 dimana PH mendapat banyak kelebihan apabila berlaku pertembungan 3 penjuru.

Cuba untuk memastikan tidak berlaku pertembungan 3 penjuru bukan bermakna kerjasama antara parti tetapi hanya sekadar persefahaman sepertimana pernah berlaku di PRN Sabah dan ianya telah berjaya menumbangkan wakil PH di Sabah yang diketuai WARISAN. Apakah UMNO bergabung di Sabah?

Apakah salah kenyataan YAB PM DS Ismail Sabri dengan menyatakan harapan beliau yang telah mendapat mandat MKT UMNO dan sudah pasti itu semua dalam pengetahuan Presiden dan Timbalan Presiden.

Percayalah bahawa kekuatan parti kita bergantung sejauh mana kesatuan dan rasa hormat setiap ahli kepada kepimpinan kita. Lihat bagaimana ahli PAS menghormati Majlis Syura mereka apabila sesuatu keputusan dibuat. Lihat bagaimana kesatuan dan jatidiri ahli PKR untuk memperjuangkan kredibiliti pemimpin mereka seperti Anwar walau semua mahkamah dan kesemua hakim mendapati Anwar telah bersalah melakukan perbuatan pelik tersebut.

Tetapi saya amat hairan dengan komen dan luahan rasa ahli-ahli UMNO yang kekadang terlebih dan terpesong dengan alasan kebebasan bersuara. Ya, kita akur dengan hak kebebasan bersuara setiap dari kita tapi apakah dengan kebebasan yang ada itu kita dengan sewenangnya boleh membuat persepsi tanpa kita tahu apa keadaan dan situasi sebenar khususnya di Melaka.

Presiden telah berkali-kali bertemu dan berjumpa secara tertutup untuk mendapatkan gambaran sebenar politik di Melaka. Tok Mat pasti mengumpul segala keperluan data sebelum membuat sebarang keputusan sebagai Pengarah Pilihanraya. Naib Presiden atau YAB PM juga menjadi tempat rujukan utama pemimpin-pemimpin UMNO Melaka seawal bermula krisis dan kegawatan politik Melaka.

Justeru kita yang tidak pernah walau sekali pun ke Melaka membuat persepsi dan andaian negatif hanya dari bahan bacaan di whatsapp yang belum tentu akan kesahihan dan kebenarannya yang akhirnya menyukarkan kepimpinan kita untuk membuat keputusan terbaik kepada UMNO dan politik negara khususnya.
“Orang Melaka” yang nak bertarung. “Orang Melaka” yang nak berperang dalam PRN. Kita sebagai penyokong dan pendokong parti perlu menghormati kehendak dan keputusan yang “Orang Melaka” yakin untuk kebaikan politik anak negeri mereka.

Sama-sama kita berubah dan bermuhasabah untuk kebaikan parti dan perjuangan kita. Sama-sama kita kuatkan kesatuan dalaman kita dari kita menjadi asbab kepada keberantakan dan krisis dalaman parti yang telah dan pernah menghancurkan UMNO dengan perpecahan demi perpecahan sehingga menenggelamkan sebuah bahtera yang dibina puluhan tahun untuk bangsa Melayu dan Agama Islam.
Ayuh!!! kita menangkan UMNO di PRN MELAKA.

#UMNOMemimpin
#KeluargaMalaysia
WKI

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker