Ahli politik mahu keluar TV selepas kempen konvensional dilarang

Ahli politik mahu keluar TV selepas kempen konvensional dilarang

MELAKA – Larangan berceramah dan berkumpul dalam pilihan raya negeri Melaka bermakna calon akan menggunakan cara alternatif seperti menghantar khidmat pesanan ringkas atau mengedarkan risalah untuk mendekati pengundi.

Selain itu, pemimpin-pemimpin politik juga berharap mereka akan diberi peluang untuk menyampaikan manifesto mereka atau melakukan perdebatan melalui televisyen.

Ketua DAP Melaka, Tey Kok Kiew berkata, adalah tidak adil jika Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) mendapat dukungan tertentu melalui jentera kerajaan termasuk akses kepada stesen televisyen, manakala pembangkang tidak boleh berkempen.

Katanya, keadaan itu adalah seperti merampas segala senapang dan bom parti pembangkang ketika mereka memasuki medan perang politik.

“Selain memastikan pilihan raya diadakan dalam keadaan selamat, Suruhanjaya Pilihan Raya juga perlu memastikan mesej setiap calon termasuk daripada pembangkang dapat disampaikan kepada pengundi.

“Selepas menerima semua mesej, pengundi barulah boleh mempertimbangkan calon pilihan mereka,” katanya kepada Sinchew Daily.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua PKR Melaka, Gue Teck pula berkata, larangan berkempen adalah tidak adil pada ketika negara memasuki pemulihan fasa keempat.

Katanya, daripada melarang aktiviti berkempen secara berkumpul, adalah lebih baik mengisytiharkan darurat untuk menundakan pilihan raya negeri.

Menurutnya, walaupun PKR berasa tidak puas hati dengan larangan yang ada, tetapi parti itu akan menuruti segala peraturan.

Katanya, semua parti juga perlu diberi peluang untuk berbahas dalam televisyen bagi memastikan proses pilihan raya yang adil kepada semua.

Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, dalam keadaan larangan berceramah, partinya perlu membincangkan strategi yang akan digunakan.

Katanya, setakat ini, UMNO belum mengenal pasti apa strategi khusus yang akan digunakan untuk memenangi pilihan raya negeri tersebut.

Ketua MCA Melaka, Datuk Lim Ban Hong pula berkata, dalam keadaan aktiviti berhimpun dilarang, partinya akan memperbanyakkan kempen secara dalam talian dan menggunakan media baharu.

“Aktiviti berkempen merupakan hak yang diperuntukkan dalam Perlembagaan, tetapi ahli politik juga perlu mempertimbangkan keseimbangan antara proses demokrasi dan keselamatan rakyat,” katanya. MG

Ahli politik mahu keluar TV selepas kempen konvensional dilarang


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU

Kekayaan Elon Musk kini RM1 trilion

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker