DAP Melaka serah isu ‘Pengkhianat’ kepada Majlis Presiden PH

SHAH ALAM – DAP Melaka menyerahkan kepada Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) untuk membincangkan sama ada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee layak bertanding atas tiket koalisi itu pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka atau tidak.

Pengerusinya, Datuk Tey Kok Kiew berkata, secara dasarnya, parti itu menerusi kenyataan Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng sebelum ini telah bertegas untuk menolak Norhizam sebagai calon yang akan bertanding atas tiket PH pada PRN negeri, 20 November ini.

Bagaimanapun, beliau mengakui satu perbincangan khusus perlu diadakan di peringkat kepimpinan tertinggi PH supaya koalisi itu mendapat pertimbangan jelas bagi memastikan barisan calon pilihan raya yang bakal diketengahkan benar-benar terbaik dan berkualiti.

“Setiausaha Agung pun sudah mengeluarkan kenyataan akan membincangkan pendirian parti terhadap Norhizam dalam mesyuarat Majlis Presiden PH nanti.

“Biarlah mereka (Majlis Presiden PH) berbincang dahulu memandangkan kita perlu mendapatkan pertimbangan daripada semua segi sebelum memutuskan barisan calon terbaik.

“Justeru, kami akan serahkan kepada Majlis Presiden PH untuk membuat keputusan akhir,” katanya kepada Sinar Premium pada Rabu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Lim Guan Eng yang menegaskan DAP menolak Norhizam sebagai calon PRN Melaka mewakili PH.

“Saya tidak kata nak kembali ke DAP, kalau saya masuk PKR (Parti Keadilan Rakyat), Amanah (Parti Amanah Negara), apa ada kena mengena dengan dia? apa kena mengena dengan Guan Eng?” – Norhizam.

Norhizam yang sebelum ini menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) atas tiket DAP mengumumkan menjadi calon Bebas, sekali gus memberi sokongan kepada Perikatan Nasional dan UMNO untuk membentuk gabungan kerajaan baharu di negeri itu pada Mac tahun lalu.

Beliau yang juga bekas Exco Pertanian, Keusahawanan dan Industri Asas Tani sekali lagi membuat langkah sama apabila bersama tiga lagi bekas ADUN mendakwa hilang kepercayaan kepada kepimpinan bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali sehingga hilang majoriti.

Mengulas lanjut, Kok Kiew turut meminta semua pemimpin pembangkang negeri itu menghentikan tindakan memberi kenyataan terbuka terhadap status empat bekas ADUN bebas berkenaan.

Jelas beliau, perkara itu perlu dibincangkan secara dalaman agar sebarang kenyataan yang bersifat kontradiksi tidak berlaku, sekali gus menjejaskan imej PH kelak.

“Apabila bincang (isu Norhizam) secara terbuka, tindakan itu akan beri kesan negatif kepada PH sedangkan beliau bukan isu utama dihadapi rakyat, tetapi masalah pandemik Covid-19 dan kesejahteraan mereka yang terjejas sejak dua tahun kebelakangan ini.

“Saya kira biar semua pihak bincang ikut saluran yang betul dengan semua parti dalam PH perlu mengambil kira pertimbangan pemilihan calon yang baik sebelum membuat keputusan muktamad,” katanya.

TIDAK ADA HAK

Dalam pada itu, Norhizam menegaskan Guan Eng tiada hak untuk menghalangnya bertanding di bawah PH dalam PRN Melaka pada hujung bulan depan.

Menurut bekas ADUN itu, beliau bahkan menerima pelbagai tawaran kerjasama daripada pelbagai parti untuk pilihan raya negeri itu.

“Saya tidak kata nak kembali ke DAP, kalau saya masuk PKR (Parti Keadilan Rakyat), Amanah (Parti Amanah Negara), apa ada kena mengena dengan dia? apa kena mengena dengan Guan Eng?” katanya sebagaimana dilaporkan portal FMT pada Selasa.

DAP Melaka serah isu ‘Pengkhianat’ kepada Majlis Presiden PH


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Anwar, Jangan Ambil Jalan Singkat Atas Nama Strategi– Rafizi Ramli

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker