Siapa bakal menang PRN Melaka

PERSOALAN yang paling kerap ditanya kepada mana-mana penganalisis politik ketika ini ialah siapa yang akan menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kelak. Soalnya, ada atau tidak PRN seperti yang sepatutnya berlaku selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) secara rasmi atau akan ada perkara-perkara luar jangka yang mungkin menangguhkan PRN daripada dilangsungkan.

Melaka adalah antara kubu kuat Barisan Nasional (BN). Ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), BN ketika itu yakin akan menguasai Melaka dengan formula 24451 – formula yang dikemukakan oleh bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron yang menyasarkan 24 kerusi DUN dan lima kerusi Parlimen negeri itu akan dimenangi BN, dengan empat DUN dan satu Parlimen akan dimenangi pembangkang.

Namun, kebangkitan rakyat ketika itu menyaksikan sebaliknya. Pakatan Harapan (PH) berjaya mengalahkan BN dengan menguasai 15 daripada 28 kerusi DUN serta empat kerusi Parlimen, sekali gus menumbangkan BN dan menukar pemerintahan negeri buat pertama kalinya menerusi majoriti mudah. Selepas 22 bulan, PH akhirnya tumbang selepas beberapa ADUN PH mengalihkan sokongan.

Berbalik kepada siapa akan menang PRN nanti, memang sukar dijawab. Walaupun Melaka antara negeri terkecil dengan jumlah pengundi berdaftar sekitar 500,000 sahaja, selera pengundinya jelas bercampur baur.

Di sebalik semua itu, mungkin ada beberapa faktor yang boleh dijadikan asas pertimbangan untuk membaca dan menentukan siapa yang akan memenangi PRN tersebut.

PRU14 memperlihatkan sentimen dan hegemoni politik UMNO di Melaka masih utuh dan kuat terutama di kawasan luar bandar. Semangat kemelayuan yang tinggi dalam kalangan orang Melayu Melaka mungkin antara yang masih kuat berbanding negeri-negeri lain.

Pada masa yang sama, sentimen Melayu-Islam dan persepsi PH-DAP anti Melayu-Islam pasca PRU14 mungkin masih sukar untuk dilunturkan. Jadi ,dalam konteks ini UMNO mungkin ada kelebihan.

Namun, keengganan UMNO untuk bekerjasama dengan Bersatu menerusi Perikatan Nasional (PN) dan lebih mengejutkan, Pas menerusi Muafakat Nasional (MN) boleh menjejaskan peluang tersebut. Hal itu mungkin membawa kepada dua senario

Formula PAS hanya menyulitkan Umno dan Bersatu

Pertama, Pas akan bertanding di bawah tiket PN menggantikan MN yang baharu dengan naratif Melayu-Islam yang menguntungkan PN. Kedua, Pas bertanding sendirian dan akan memecahkan undi Melayu dengan persaingan empat penjuru antara BN, Bersatu, Pas dan PH yang seperti mana PRU14 menguntungkan PH.

Dengan kekuatan DAP di kerusi-kerusi bandar yang sinonim dengan pengundi Cina dan ketidakupayaan komponen bukan Melayu BN mengikis kekuatan tersebut, BN jelas terlalu lemah untuk bergerak solo dalam PRN tersebut.

Lebih parah, PRN ini mengundang defisit kepercayaan kepada UMNO dan memperlihatkan UMNO sedang dilanda perpecahan serta masalah dalam parti yang meruncing.

PRN ini juga mungkin menjadi ujian kepada kepimpinan tertinggi UMNO itu sendiri. Dengan keputusan UMNO pusat sebelum PRN, bagaimanakah jentera kerajaan terutama Perdana Menteri dalam berkempen. Adakah beliau bergerak sebagai ‘Keluarga Malaysia’ dan membantu PN yang menunjangi kerajaannya atau membantu UMNO yang dianggotainya? Jelas ia dilema, jika kalau gagal ditangani dengan baik akan membawa kepada permasalahan seterusnya.

Cabaran terbesar buat PH sudah tentulah sentimen penolakan orang Melayu terhadap DAP yang terpalit kepada parti Amanah dan PKR. Penguasaan dua parti itu di kerusi-kerusi kawasan campuran, ia dilihat kunci kepada kemampuan PH untuk menang PRN.

Kerusi seperti Telok Mas, Durian Tunggal, Klebang atau Rembia misalnya, dilihat antara yang kritikal dalam hal tersebut.

Walaupun Melaka sebuah negeri yang mempunyai demografi pengundi yang bercampur, sokongan pengundi jelas masih setia mengikut jalur kaum dan kepartian.

Jadi apakah trend pengundian PRU14 masih kekal mencorakkan keputusan PRN kali ini ataupun sebaliknya, sama-samalah kita tunggu.

*Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM)

Siapa bakal menang PRN Melaka


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


PRN Melaka: UMNO atau Bersatu, PAS masih dalam dilema

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker