DAP mahu pasukan petugas khas siasat kematian Beng Hock, Altantuya

Ahli Parlimen DAP mengalu-alukan pengumuman Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob untuk menubuhkan jawatankuasa dan pasukan khas bagi menyiasat tiga kes penting yang tertunggak sebelum ini.

Ini susulan pengumuman Ismail semalam bahawa kabinet setuju menubuhkan jawatankuasa dan pasukan khas bagi menyiasat kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, tuduhan yang dibuat oleh bekas peguam negara Tommy Thomas dalam bukunya dan pertikaian mengenai kes Pulau Batu Puteh.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh berkata, kes-kes lain juga perlu diselesaikan seperti kematian Teoh Beng Hock, yang meninggal dunia secara misteri di bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada tahun 2009.

“Meskipun penemuan Mahkamah Rayuan bahawa kematian Teoh akibat perbuatan menyalahi undang-undang daripada individu yang tidak diketahui, termasuk pegawai SPRM, siasatan masih belum selesai walaupun dengan penubuhan tiga pasukan petugas khas pada 2012, 2014 dan 2018.

“Ini menimbulkan pertanyaan serius mengenai keberkesanan pasukan petugas seperti itu, kerana tentunya penyiasatan mengenai perkara itu seharusnya selesai setelah 12 tahun,” kata Ramkarpal dalam satu kenyataan hari ini.

Ramkarpal berkata mereka yang bertanggungjawab atas kematian Teoh mesti didakwa segera.

Katanya, pihak keluarga mendiang juga akan mengemukakan saman dalam waktu terdekat di Mahkamah Tinggi bagi memaksa polis menyelesaikan siasatan mereka.

Misteri pembunuhan Altantuya

Ramkarpal berkata, Ismail Sabri juga harus menjelaskan mengapa tidak ada kesimpulan daripada siasatan mengenai pembunuhan Altantuya Shaariibuu pada tahun 2005.

“Walaupun pelaku sebenarnya telah disabitkan, dalang di sebalik pembunuhan itu masih belum diketahui.

“Kerana jelas pelaku tersebut tidak memiliki motif untuk membunuh Altantuya, kegagalan untuk mengenal pasti dan mendakwa dalang telah menimbulkan persepsi bahawa ada sesuatu disembunyikan, yang tidak boleh dibiarkan berterusan.

“Kes Teoh dan Altantuya harus diselesaikan dan masih perlu dilihat apakah kerajaan hari ini mempunyai keazaman politik untuk melakukannya kerana mesti ada keputusan muktamad bagi keluarga-keluarga ini,” katanya.

Sehubungan dengan itu dia meminta perdana menteri mengumumkan langkah-langkah yang akan diambil kerajaan bagi menyelesaikan kedua-dua kes ini dengan segera kerana sekiranya tidak, ia hanya akan menimbulkan persepsi ada sesuatu yang disembunyikan.

Sementara itu Lim Guan Eng turut meminta pasukan petugas khas ditubuhkan bagi menyiasat kematian Teoh dan kematian lain dalam tahanan polis, serta meneliti prestasi Peguam Negara Idrus Harun ketika ini.

“Ini untuk memastikan bahawa pembentukan pasukan petugas khas ini bukan mengenai politik balas dendam tetapi untuk memastikan bahawa keadilan tidak hanya dilaksanakan tetapi dilihat dilaksanakan.

“DAP tidak keberatan terhadap pasukan petugas khas yang diumumkan oleh perdana menteri untuk meneliti kematian anggota bomba Adib yang belum diselesaikan, yang merupakan pengakuan terbuka terhadap kegagalan oleh kerajaan pusat,” kata Lim, yang juga anggota Parlimen Bagan.

Dia berkata, para pemimpin kerajaan semasa berada dalam pembangkang mendakwa kerajaan Pakatan Harapan ketika itu tidak menangkap pembunuh Adib dan mendakwa mereka di mahkamah.

“Sekarang mereka berada dalam kerajaan, mereka nampaknya telah kehilangan minat terhadap kes Adib sepanjang 20 bulan lalu ketika tidak ada sesiapa yang ditangkap dan didakwa atas pembunuhannya.

“Hanya apabila diingatkan oleh anggota parlimen PH berulang kali mengenai janji mereka terhadap (siasatan) Adib, barulah kerajaan memutuskan untuk menubuhkan pasukan petugas terhadap (kematian) Adib dengan taktik untuk melengah-lengahkannya,” katanya.

DAP mahu pasukan petugas khas siasat kematian Beng Hock, Altantuya

 


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


PM umum rakyat boleh rentas negeri dan melancong mulai esok

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker