Teruskan PRN Melaka

Sebaran :

PETALING JAYA: Kerajaan akan mengumumkan keputusan me­­ngenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka hari ini sama ada ia akan dilaksanakan atau tidak, di sebalik banyak pihak berpendapat wajar dan selamat untuk diteruskan.

Antara alasan PRN Melaka perlu diadakan ialah jumlah pengundi di negeri itu hanya 498,662 orang, kadar vaksinasi yang sudah hampir mencapai 90 peratus, kes jangkitan harian Covid-19 lebih rendah berbanding negeri-negeri lain, kebenaran rentas negeri tidak lama lagi, selain jangka masa 60 hari untuk mengadakan PRN.

Setakat semalam, kadar vaksinasi di Melaka berbaki 0.49 peratus untuk mencapai 90 peratus populasi dewasa dan peratusan itu mungkin dicapai semalam.

Setakat pagi semalam, sejumlah 89.51 peratus daripada 677,400 populasi dewasa telah lengkap menerima dua suntikan dos vaksin.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pakar Kesihatan Awam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, PRN Melaka berbeza dengan PRN Sabah kerana ketika berlangsungnya pilihan raya di Sabah belum ada Program Imunisasi Kebangsaan Covid-19 (PICK).

Selain itu, menurut beliau, situasi di Melaka kini juga semakin selamat apabila peratusan lengkap vaksinasi di seluruh negara sudah melebihi 88 peratus dengan Melaka sendiri menghampiri 90 peratus.

“Situasi terbaharu itu menggambarkan PRN Melaka sesuai dan wajar diadakan apabila negara luar seperti Jerman, Kanada dan Jepun mengambil langkah mengadakan pilihan raya.

“Jepun menjangka ada pilihan bulan ini walaupun negara tersebut sedang berlaku penularan jangkitan Covid-19.
“Kalau kita tidak cuba mengadakan pilihan raya, sampai bila tidak tahu situasi akan datang. Perkara utama ialah ubah cara pilihan raya iaitu daripada tradisional kepada secara hibrid,” katanya.

Isnin lalu, Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan ekoran empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan ke atas kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali.

Dalam pada itu, Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Dr. Jeniri Amir berpandangan, tiada masalah untuk mengadakan pilihan raya kerana terdapat 80 negara luar sudah mengadakan pemilihan dalam situasi Co­vid-19 dan keadaannya terbukti terkawal.

Menurut beliau, kerajaan tidak boleh menjadikan Covid­-19 sebagai alasan tidak boleh mengadakan pilihan raya kerana tidak diketahui sampai bila penyakit ini akan berakhir.

“Cabarannya ialah bagaimana untuk mengadakan pilihan raya dan menguruskan pilihan raya dalam situasi sekarang?
“Selain itu, kebimbangan rakyat untuk keluar mengundi menjadi cabaran kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan parti-parti politik untuk meya­kinkan mereka supaya keluar mengundi,” katanya.

Bagi pensyarah kanan Pusat Pengajian Kerajaan, Undang-undang dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Mohamad Faisol Keling pula berkata, pilihan raya adalah jalan terbaik untuk meleraikan kemelut politik yang melanda tanah air selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Menurut beliau, konflik yang berlaku akibat tiada parti dominan untuk membentuk kerajaan menyebabkan parti-parti yang sebelum ini ‘bermusuh’ terpaksa bergabung untuk membentuk kerajaan.

“Selagi pilihan raya tidak diadakan, selagi itu pentadbiran goyah kerana sikap wakil rakyat yang melompat parti kerana mereka mungkin ada agenda dan kepentingan diri. Jadi pilihan raya sahaja jalan penyelesaian terhadap krisis politik negara masa kini,” katanya.

Dalam pada itu, Pakar Perlembagaan, Dr. Abdul Aziz Bari memberitahu, tiada pilihan lain untuk mengadakan PRN setelah Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam bersetuju untuk membubarkan DUN.

“Kenapa tak boleh (diadakan PRN). Kena tanya TYT kenapa beliau setuju bubar DUN. Apabila sudah bubar, kita tiada pilihan, kena buat PRN. Kalau belum bubar, baru soalan sama ada PRN wajar diadakan relevan atau tidak,” katanya.

Sementara itu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, Kabinet akan membincangkan segala aspek PRN Me­laka dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

Menurut beliau, perkara itu bukan sahaja melibatkan aspek kesihatan tetapi membabitkan aspek perundangan dan Perlembagaan.

“Berhubung isu PRN Melaka, Kementerian Kesihatan telah bentangkan pendirian dalam mesyuarat Jawatankuasa Pandemik semalam. Kita akan bincang sekali lagi dalam mesyuarat Jumaat (hari ini).
“Ini bukan sahaja melibatkan soal kesihatan tetapi perundangan dan Perlembagaan. Kita ambil keputusan Jemaah Menteri, Kementerian Kesihatan akan sediakan SOP diperlukan sekiranya berterusan,” kata beliau semalam. – UTUSAN

Teruskan PRN Melaka


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


‘Idris sila buktikan dakwaan kepada kerajaan negeri’


Sebaran :

Leave a Reply