Ubat pertama cegah COVID-19, Evusheld, dapat kelulusan di UK

Ubat pertama cegah COVID-19, Evusheld, dapat kelulusan di UK

LONDON: Ubat pencegah COVID-19, Evusheld, buatan AstraZeneca mendapat kelulusan penggunaan di United Kingdom (UK) selepas diluluskan di Amerika Syarikat (AS), Perancis dan beberapa negara lain.

Rawatan itu menyasarkan pencegahan jangkitan bagi mangsa yang lemah sistem imuniti dan tidak boleh menerima vaksin, dengan kerajaan AS sudah pun menempah 1.7 juta dos.

The Guardian melaporkan, ubat antibodi yang diluluskan di UK itu mampu menyelamatkan 500,000 rakyat Britain yang lemah sistem imuniti dan bertindak balas dengan baik terhadap vaksin COVID-19.

Evusheld didapati mampu mengurangkan sehingga 77 peratus risiko individu mendapat gejala simptomatik COVID-19 bagi tempoh enam bulan, semasa ujian klinikal dilakukan pada tahun lalu.

Bagaimanapun, Jabatan Kesihatan UK belum membuat sebarang tempahan, walaupun ubat berkenaan sudah digunakan kepada individu berisiko di AS sejak Disember lalu.

Agensi Pengawal Selia Produk Ubat-Ubatan dan Penjagaan Kesihatan (MHRA) yang meluluskan Evusheld menjelaskan ubat berkenaan didapati mempunyai ‘perlindungan yang tahan lama’.

Namun, difahamkan pegawai kesihatan bimbang ubat itu tidak mampu bertindak balas baik terhadap varian Omicron atau subvarian BA.2.

Rawatan Evusheld adalah menerusi dua suntikan pada masa sama dan menggunakan antibodi dikenali sebagai protein imun yang diubah suai dalam makmal bagi menjadikannya tahan lebih lama.

Ketua Pegawai Eksekutif MHRA, Dr June Raine, berkata pihaknya mengesahkan dan memberi kelulusan penggunaan ubat itu bagi membantu mencegah jangkitan COVID-19 selepas semakan teliti data dilakukan.

“Evusheld adalah rawatan mencegah COVID-19, sebelum risiko mendapat jangkitan dan satu dos didapati memberikan perlindungan berpanjangan terhadap penyakit ini sehingga tempoh enam bulan.

“Vaksin masih menjadi ‘pertahanan barisan pertama’, namun sesetengah individu mungkin tidak bertindak balas secukupnya terhadap vaksin dan Evusheld boleh memberikan perlindungan berkesan terhadap COVID-19,” katanya. BH

Ubat pertama cegah COVID-19, Evusheld, dapat kelulusan di UK


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


TERKINI: Komando GGK patahkan cubaan ‘pengganas’ tawan stesen MRT Cheras

Finalis Ratu Cantik Dikritik Kerana Posting Rasis

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker