MoU tiga parti Melayu formula menang dua pertiga

PUTRAJAYA: Kesepakatan politik antara tiga parti besar Melayu iaitu UMNO, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) jika berlaku akan menjadi satu-satunya formula memperoleh kemenangan dua pertiga jumlah kerusi Dewan Rakyat pada Pilihan Raya umum Ke-15 (PRU-15).

Kesepakatan itu boleh dimeterai melalui satu memorandum persefahaman (MoU) sebagai satu pasukan mantap termasuk kerjasama dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) Sarawak dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sekali gus mampu menang lebih 148 kerusi Parlimen.

Membangkitkan perkara itu kepada Utusan Malaysia, bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berkata, data dan pola pengundian dalam PRU-14 menunjukkan jaminan keyakinan kejayaan tersebut.

Dalam hal itu, beliau mempersoalkan, jika kerajaan yang ditunjangkan tiga parti besar Melayu Islam boleh dan sanggup mewujudkan persafaham melalui MoU dengan pembangkang semata-mata mengekalkan kedudukan kerajaan dan kestabilan politik, mengapa mereka tidak sanggup untuk berkorban ego dan berjiwa besar bagi mewujudkan MoU serupa sebagai satu kesepakatan kuat untuk berdepan Pakatan Harapan (PH) dalam PRU-15.

“Kesepakatan politik tiga parti Melayu Islam dalam kerajaan meyakinkan peluang untuk menang besar dalam PRU-15.

“Umum sedia maklum, dengan kuasa dua pertiga di Parlimen, terzahir sebuah kerajaan yang teguh, sekali gus mendorong kestabilan politik dan kelangsungan pelaksanaan apa yang baik demi rakyat dan negara. Kestabilan politik mendorong pemulihan ekonomi dan peningkatan pelaburan dalam negara,” katanya di sini semalam.

Wan Ahmad berkata, MoU kerajaan dengan PH secara yang tersurat, kelihatannya ketara menguntungkan pembangkang dan memberikan satu lonjakan politik kepada PH.

Beliau berkata, melalui MoU itu, pembangkang tidak perlu bekerja kuat untuk menjadi kerajaan bagi melaksanakan segala janji-janji mereka dalam PRU-14, kerana mereka ‘telah mengikat’ pihak kerajaan untuk melaksanakan tuntutan perkara-perkara berkenaan atas nama reformasi pentadbiran dan reformasi Parlimen.

“Apapun, MoU sudah termeterai, tidak guna dipersoalkan lagi. Apa yang rakyat harapkan jangan nanti, atas nama transformasi, banyak perkara lain di luar konteks MoU yang akan dituntut oleh PH (seperti mencabar Perkara 152 dan Perkara 153 Perlembagaan
dan lain-lain).

“Pengalaman 22 bulan di bawah PH/DAP telah membuka mata orang Melayu terhadap perkara-perkara yang melibatkan kepentingan orang Melayu,” katanya.

Justeru, kata beliau, kesepakatan politik Melayu yang kuat sebagai satu pasukan bagi menghadapi PRU-15 perlu diusahakan dari sekarang termasuk mengelak pertembungan sesama sendiri yang mengundang kehancuran.

Menurut beliau, daripada jumlah 21 juta jangkaan jumlah pengundi pada PRU-15 (dengan pelaksanaan Undi18 dan sistem pendaftaran automatik), sebanyak 65 peratus daripadanya adalah pengundi Melayu bumiputera.

Katanya, amat merugikan ketika undi Melayu berpecah, 95 peratus pengundi Cina teguh bersama DAP dibuktikan dengan keputusan PRU-14 lalu bahawa golongan itu menolak MCA.

“Daripada 39 kerusi Barisan Nasional (BN) diberikan kepada MCA, hanya satu kerusi dimenangi (P.148 Ayer Hitam), semua yang lain dimenangi DAP.

“Sedang Cina bersama DAP, Melayu berpecah lapan haluan (UMNO, Pas, Bersatu, Amanah, Putra, Pejuang, Muda dan PKR). ‘Menang sorak kampung tergadai’,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, MoU Kesepakatan Parti-Parti Politik Melayu Menjelang PRU-15 akan diusahakan Perundingan Melayu (MPM) bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu Islam lain sebagai satu-satunya formula untuk menjamin kuasa politik inklusif kekal di tangan masyarakat majoriti negara ini.

Kelmarin, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengulangi keputusan Perhimpunan Agung UMNO 2020 dan Majlis Tertinggi (MT) tidak bekerjasama dengan Bersatu pada PRU-15.

UMNO juga mengambil pendirian menolak pembentukan gabungan politik dengan Perikatan Nasional (PN) dalam PRU-15 dan berdiri teguh untuk memperkasa Barisan Nasional (BN).

MoU tiga parti Melayu formula menang dua pertiga


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Total war UMNO-Bersatu pasti berlaku dalam PRU-15

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker