400 penduduk Medan 88, Bandar Baru Salak Tinggi ‘hilang’ akan diburu

PETALING JAYA: Pihak berkuasa akan memburu dan mengambil tindakan terhadap 400 penduduk Medan 88 Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang yang dikesan hilang pada hari pertama pelaksanaan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD).

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara ini sudah dibangkitkan dalam mesyuarat sidang khas hari ini dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) membuat ketetapan supaya pihak polis mengesan baki 400 penduduk yang gagal dikesan di kawasan berkenaan.

“Kita setuju berikan arahan kepada polis untuk kesan dan tangkap mereka ini. Sebelum ini kita juga sudah buat di Selangor Mansion, apabila kita laksanakan PKPD, ramai pekerja yang lari dan kita dapat kesan satu persatu. Yang ini juga arahan tangkap sudah dikeluarkan.

“Kali ini saya difahamkan lebih mudah sebab ada majikan yang terlibat.

“Saya difahamkan ada yang bawa bas juga, dimaklumkan majikan sendiri yang bersubahat dengan pekerja ini. Memberikan mereka bas untuk dibawa keluar, jadi lebih mudah,” katanya pada sidang media hari ini.

Sebelum ini, pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sepang Mohamad Zain A Hamid berkata, pihaknya meminta bantuan polis untuk mengesan kira-kira 400 penghuni Medan 88 Bandar Baru Salak Tinggi yang gagal membuat saringan Covid-19.

Mohamad Zain berkata, bilangan mereka yang didapati tidak pulang ke kediaman di situ diperoleh melalui rakan dan jiran serta aplikasi MySejahtera selepas polis mengepung kawasan berkenaan pada jam 6 petang Selasa lalu.

Menurut Ismail, pihak berkuasa boleh mengesan pekerja yang hilang menerusi majikan dan sekiranya terbukti majikan terlibat, mereka juga boleh diambil tindakan kerana menyusahkan pihak penguat kuasa dan membahayakan nyawa individu lain.

“Kita sudah minta polis ambil tindakan tegas terhadap majikan, termasuk mereka yang lari ini,” katanya.

“Mereka yang gagal melakukan ujian saringan akan dikenakan tindakan mengikut Seksyen22 (b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).”

Semalam Ismail berkata, Medan 88 Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang dikenakan PKPD bermula hari ini sehingga 25 Nov depan membabitkan 284 premis serta 800 penduduk.

Sementara itu, Ismail turut mengulas isu penganjuran Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) yang dipertikai netizen, susulan tidak berpuas hati kerana pada masa sama MKN melarang acara sukan bola sepak diteruskan.

Katanya, SOP bagi aktiviti sukan dan acara melibatkan kesenian sudah dirangka pada Mei lalu.

Menurutnya, aktiviti sukan seperti bola sepak disenarai sebagai aktiviti yang dilarang memandangkan ia melibatkan sentuhan secara langsung.

“Manakala, program ini termasuk dalam SOP PKPB yang dilepaskan. Ia adalah perkara di luar senarai negatif sebab itu tidak ada rayuan yang dibuat penganjur terhadap MKN. Ia bukan aktiviti terlarang.

“Namun, mereka perlu ikut SOP lain yang diputuskan oleh SKMM, KKMM dan MKN,” katanya.

ABPBH 33 akan berlangsung pada Jumaat ini, mulai jam 9 malam. FMT

Bandar Baru Salak Tinggi ‘dikurung’

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker