Jangkitan bawah 18 tahun meningkat 32 kali ganda

Jangkitan bawah 18 tahun meningkat 32 kali ganda

Jangkitan COVID-19 membabitkan golongan bawah 18 tahun merekodkan peningkatan lebih 32 kali ganda, dalam tempoh sembilan bulan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, berkata statistik menunjukkan kira-kira 12,000 individu berusia bawah 18 tahun disahkan positif COVID-19 pada tahun lalu.

Katanya, perangkaan semasa berhubung kadar penularan jangkitan dalam kalangan golongan berkenaan melonjak kepada lebih 400,000 tahun ini.

“Jika tahun lalu, kes membabitkan golongan bawah 18 tahun hanyalah sekitar 12,000 kes tetapi pada tahun ini, ia meningkat kepada lebih 400,000.

“Daripada jumlah itu, 252,569 membabitkan murid sekolah dan 42,831 kes adalah kenak-kanak prasekolah. Malah lebih membimbangkan, sebanyak 67 kes kematian dicatatkan.

“Dalam hal ini, tanggungjawab kita bersama untuk terus memastikan anak-anak kita terhindar daripada COVID-19 dengan memastikan persekitaran yang selamat buat mereka, termasuk mengambil langkah-langkah pencegahan dan perlindungan yang sewajarnya,” katanya, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama sempena webinar anjuran Kementerian Kesihatan bertajuk, ‘Hidup Bersama-Sama Virus COVID-19: Kanak-Kanak dan Remaja’ secara dalam talian.

Selari kajian semasa, Khairy berkata, kerajaan memulakan suntikan vaksin kepada golongan remaja antara umur 12 hingga 17 tahun sebagai suatu ikhtiar untuk melindungi mereka.

“Ketika ini, lebih 30 peratus daripada keseluruhan 2.5 juta sasaran vaksinasi remaja sudah menerima dos pertama mereka.

“Walaupun vaksinasi memberikan perlindungan daripada kesan buruk COVID-19, tetapi ia belum cukup. Pembudayaan amalan normal baharu masih perlu terus dipraktikkan bagi memastikan kita dan anak-anak dapat menjauhkan diri daripada risiko jangkitan.

“Antara langkah yang perlu kita amal kepada anak-anak merangkumi pemakaian pelitup muka sepanjang masa, membasuh tangan dengan sabun atau menggunakan cecair pembasmi kuman dan mengamalkan penjarakan fizikal.

“Selain itu, terapkan etika batuk dan bersin dengan betul. Tidak hadir ke sekolah jika bergejala atau mempunyai kontak positif. Memastikan pengudaraan yang baik di sekolah. Melaksanakan nyahcemar di sekolah serta melakukan saringan di pintu masuk sekolah,” katanya.

Khairy berkata, rangkaian usaha sedemikian juga sebahagian persiapan warga sekolah dan ibu bapa sebelum anak mereka memulakan sesi persekolahan tidak lama lagi.

Beliau berkata, perkara paling utama yang perlu diberikan tumpuan ialah untuk anak masing-masing mampu menyesuaikan diri dengan norma baharu kehidupan, dengan memberikan sokongan dan galakan dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP), tanpa mengira sama ada mereka divaksin atau sebaliknya.

“Pastikan anak-anak membudayakan cara hidup sihat dengan mempraktikkan hidup aktif, makan secara sihat dan selamat, memupuk minda yang sihat dan menjauhi amalan merokok,” katanya. BH

Jangkitan bawah 18 tahun meningkat 32 kali ganda


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Buat kerja, jangan bagi alasan – Tok Mat

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker