Institusi Kehakiman Syariah perlu terus proaktif – Ismail

Institusi Kehakiman Syariah perlu terus proaktif – Ismail

Institusi Kehakiman Syariah di negara ini perlu terus proaktif dalam meneroka norma perkhidmatan baharu yang lebih efektif.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata ia selaras dengan tuntutan Islam yang menggariskan dengan jelas objektif utama Syariah atau Maqasid Syariah yang perlu mendasari setiap dasar.



Beliau berkata, perkara itu dilihat melalui kaedah fiqah yang menuntut supaya tindak tanduk pemerintah terhadap rakyatnya perlu didasarkan kepada maslahah.

Katanya, kaedah itu adalah penting dalam memberi garis panduan kepada kerajaan dalam urusan membentuk sebarang dasar ke atas rakyatnya.

“Ini termasuk memanfaatkan teknologi komunikasi jarak jauh dalam penyampaian perkhidmatan di mahkamah syariah,” katanya ketika merasmikan Persidangan Kehakiman Syariah Antarabangsa 2021 (PKA 2021) secara maya hari ini.

Persidangan dua hari berakhir esok dianjurkan Kerajaan Melaka, Majlis Agama Islam Negeri Melaka (MAIM), Yayasan Taqwa, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Mahkamah Syariah Negeri Melaka (MSNM), Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia.



Yang turut hadir, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Idris Ahmad; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Rohana Yusuf dan Ketua Pengarah dan juga Ketua Hakim Syarie, Datuk Mohd Na’im Mokhtar.

Perdana Menteri berkata, biarpun mahkamah syariah mempunyai bidang kuasa yang eksklusif dan tersendiri di setiap negeri, ia bukan penghalang bagi institusi itu bergerak secara bersama atas semangat Keluarga Malaysia.

Beliau berkata, konsep Keluarga Malaysia yang diperkenalkan oleh pentadbirannya meletakkan kepentingan masyarakat dan rakyat di tempat yang utama.

Katanya, Keluarga Malaysia akan saling bertolak ansur menggalakkan persefahaman, bekerjasama untuk kebaikan, mengelakkan konflik yang merosakkan dan memfokus kepada persamaan matlamat.



“Kita berharap pegawai syariah sentiasa menghayati semangat kekeluargaan ini serta tanggungjawab bagi memastikan hukum syarak dilaksanakan dengan adil dan saksama dengan meletakkan standard yang tinggi dalam melaksanakan usaha keadilan Islam.

“Kita bertanggungjawab kepada Allah untuk memastikan amanah pentadbiran undang-undang Islam di negara ini dapat dilaksanakan dengan baik,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, persidangan antarabangsa sedemikian membolehkan perbincangan ilmiah mengenai pelbagai isu kehakiman syariah dapat diadakan.

Katanya, ia penting dalam membantu kerajaan dan pihak berkuasa agama negeri mendapatkan penjelasan berhubung isu undang-undang syarak yang kadang-kala agak rumit untuk ditangani secara bersendirian.



Ismail Sabri berkata, beliau menyedari bahawa tugas dan tanggungjawab hakim syarie dan pegawai syariah amat berat dalam menegakkan hukum berlandaskan Islam, namun mereka perlu menyempurnakan tugas diamanahkan dengan penuh sabar dan ikhlas.

“Mereka perlu mengamalkan sikap integriti yang tinggi dan sentiasa dalam keadaan yang tenang dalam membuat sesuatu keputusan atau melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing,” katanya. BH

Institusi Kehakiman Syariah perlu terus proaktif – Ismail


Baca Artikel Menarik :



Layari Laman Facebook MYKMU


Mat Sabu tegur Anwar hina kerajaan disokong ulama, sekali Azalina mencelah



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker