‘Sekarang nak dapat RM1 pun susah’

Pernah menjana hasil jualan mencecah sehingga enam angka sebulan namun kini sukar untuk memperolehi RM1 sekalipun akibat ‘penangan’ pandemik Covid-19.

Itu kata Pengarah Urusan Meta Expert Sdn Bhd Mohd Firdaus Sahat yang menjalankan perniagaan telekomunikasi di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) di sini dan Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Pulau Pinang.

Katanya, pandemik Covid-19 yang melanda negara memberikan kesan cukup teruk dan mendalam kepada perniagaan yang diusahakannya.



“Saya mula menjalankan perniagaan telekomunikasi pada 2014. Kebiasaan syarikat mampu menjana jualan sehingga enam angka sebulan. Namun sejak Mac 2020, syarikat tidak langsung menjana walaupun RM1.

“Dahulu, saya sering mengingatkan pekerja supaya sentiasa mendapatkan hasil jualan tinggi kerana lapangan terbang dipenuhi dengan jutaan pengguna yang memasuki Malaysia.

“Namun, dek kerana virus Covid-19, keseluruhan lapangan terbang di negara ini sunyi. Lebih terasa, KLIA dan klia2 yang sentiasa dipenuhi dengan pengunjung tiba-tiba bertukar suasana suram apabila hampir keseluruhan kedai di dalam lapangan terbang ini tidak beroperasi kerana ketiadaan pengunjung,” katanya.

Beliau berkata, penularan virus Covid-19 hingga menyebabkan negara terpaksa menutup pintu sempadan kecuali untuk keperluan tertentu menyebabkan syarikatnya terpaksa melakukan pemberhentian pekerja kerana tidak dapat melakukan sebarang jualan.



“Jangankan nak harap keuntungan, jualan juga tidak mampu dilakukan kerana langsung tidak ada pengunjung. Syarikat terpaksa memberhentikan pekerja dengan pampasan bagi mengelakkan kerugian lebih besar.

“Syarikat tidak mampu untuk mengekalkan pekerja yang waktu itu mencecah 80 orang. Lebih-lebih lagi terpaksa menanggung beban sewaan mencecah lima angka bagi satu lot kedai.

“Bayangkan, jika dahulu syarikat saya cukup berdaya saing dan mampu menjana keuntungan tinggi kerana KLIA dan klia2 adalah lapangan terbang utama bagi Malaysia dengan menerima jutaan pengunjung dari luar negara namun ia tidak lagi seperti itu tatkala pandemik ini melanda dunia,” katanya.

Mohd Firdaus berkata, sehingga ke hari ini pihaknya masih belum mampu untuk beroperasi kerana kerajaan masih belum membenarkan sempadan negara dibuka untuk warganegara luar terutama pengunjung sosial dan pelancongan.



Ketika ini, katanya, beliau terpaksa menjalankan projek pertanian dan perladangan bagi meneruskan kelangsungan syarikatnya.-HM

Betulkah Lapangan Antarabangsa Kulim akan diibiayai swasta?



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker